Jumaat, Januari 31, 2025

'Berbulan madu' dengan motosikal besar ke Cameron Highlands

Salam petang Jumaat 1 Sya'aban. Lewat malam tadi saya baru selesai perjalanan 2 hari bersama isteri ke Cameron Highlands. Sementara masih lagi ada saki baki  siang Jumaat 1 Sya'aban biar dilepaskan cerita.



Sebetulnya sudah sebulan begitu isteri asyik mengajak naik motosikal besar kesayangan yang berumur hampir 28 tahun ke Cameron Highlands. Petang Rabu 29 Januari 2025 mengambil kesempatan atas cuti Hari Raya Cina baru dimulakan. Setelah mendapati cuaca elok, sedangkan beberapa hari berturut sebelum itu asyik hujan memanjang.




Telah dinyatakan dalam artikel Motosikal besar kesayanganku dan tarikh 12/12/24 kurang 2 bulan lalu bagaimana motosikal ini sudah lama rosak lalu terbengkalai, lebih 2 tahun sebenarnya. Ketika itu baru selesai diperbaiki lalu boleh dibawa berjalan. Meter asalnya pula sudah rosak sejak sekitar 15 tahun lalu. Yang berjalan cuma penanda kelajuan. Penanda jarak perjalanan sudah rosak kedua-duanya atas dan bawah. Baru 2 minggu lalu gitu dipasang meter baru. Ini penting supaya dapat menjangkakan bila perlu diisi minyak. Untuk pengetahuan motosikal ini tiada langsung meter minyak.




Bersedia untuk memulakan perjalanan. Motosikal ini memiliki tangki 13.5 liter. Nak selamat selepas 200 km kena isi minyak penuh. Perjalanan dimulakan dengan minyak masih ada sekitar tiga suku tangki.




Dari rumah kami terus mengambil Lebuh Raya Utara Selatan hingga ke Bidor. Kemudian mengisi minyak di Tapah. Tak perlu tunggu 200 km baru nak isi penuh. Gambar ini diambil setelah beberapa lama mendaki ke Cameron Highland dari Tapah. 




Ada kereta jatuh masuk gaung sedang ditarik. Alhamdulillah penumpangnya sekeluarga semuanya selamat.




Berhenti sebentar minum di suatu tempat tidak jauh sebelum Lata Iskandar.




Oh. Ini boleh dikatakan perjalanan 'berbulan madu' kami suami isteri.




Di Lata Iskandar sempat mandi air terjun kemudian mengaji 10 muka surat terakhir juz-30. Dengan itu khatamlah bacaan bulanan Islam saya bagi bulan Rejab.




Sampai di Ringlet dekat jam 6.30 petang. Ini adalah pekan pertama di Cameron Highlands dari arah Tapah.




Berhenti sebentar di tempat peranginan ini di tepian jalan. Lihat artikel Latest visit to Cameron tea valley di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Sampai ke pekan Tanah Rata selepas masuk waktu Maghrib.




Selepas makan malam di kedai makan saudara berjalan-jalan melihat keadaan waktu malam.




Pagi Khamis 30 Januari. Selepas menginap di rumah saudara bersarapan di kedai mamak tepian jalan utama di pekan.




Selepas itu bergerak ke Brinchang. Singgah ke masjid sini untuk menunaikan hajat. Lihat Lawatan terbaru ke masjid Brinchang (New visit to Brinchang mosque) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Destinasi seterusnya Mossy Forest memerlukan pendakian gunung yang agak mencabar dengan motosikal. Kenapa mencabar? Kerana jalannya kecil berliku-liku curam sedangkan motosikal saya jenis aircooled - enjin disejukkan oleh angin, bukan radiator. Kalau jalan perlahan lama sangat enjin jadi terlebih panas lalu bermasalah. Ini kali pertama isteri sampai. Lihat artikel Going to Mossy Forest with the wife diikuti Views from the Mossy Forest viewing tower.




Sebetulnya ini adalah kali pertama saya membawa isteri berjalan jauh ke mana-mana dengan motosikal besar. Sebelum itu cuma setakat ke sekitar Lembah Klang dan kawasan perumahan. Ini disebabkan tidak lama selepas bernikah penghujung tahun 2008 isteri mengandungkan anak pertama kami. Jadi tak eloklah dibawa berjalan dengan motosikal. Bila ada anak kami lebih banyak berjalan dengan kereta. Kalau setakat di kawasan perumahan bolehlah bawak anak dan isteri sekali.




Selepas Mossy Forest naik pula ke puncak Gunung Brinchang di mana terdapat ibu sawat TM (Telekom Malaysia). Isteri saya adalah kakitangan TM.  Sekarang setelah anak bongsu kami hampir menjejak umur 13 tahun, abangnya ada di asrama tahfiz baru isteri asyik mengajak berjalan jauh dengan motosikal. Kami keluar inipun sebab ada anak bujang berumur hampir 23 tahun dapat menengokkan adik di rumah.




Gambar ini pula diambil di ladang teh Boh. Seingat saya, inilah kali pertama saya sendiri sampai walau sudah ke Cameron Highlands banyak kali. Lihat Boh tea plantation at Sungai Palas.




Kami meninggalkan Cameron Highland melalui jalan ke Simpang Pulai. Alhamdulillah ada perhentian terakhir untuk membeli buah strawberry buat anak. Sebelum naik ke Mossy Forest dan Gunung Brinchang tak terfikir. Selepas itu tak jumpa kedai. Atau jumpa yang ada strawberry tapi tutup.




Pergi ke Ipoh beriktikaf di Masjid Panglima Kinta. Sebetulnya nak makan "nasi vanggey" sekali di kedai berdekatan. Tapi tengok-tengok dah tutup.




Dari Ipoh pergi ke Bota Kanan lalu mengambil jalan kampung menghala ke Kampung Gajah. Minum petang di Teluk Bedayung...




Destinasi sebenar adalah ke Batak Rabit di Teluk Intan. Sampai ke bandar Teluk Intan waktu malam.




Sampai ke masjid warisan keluarga di Batak Rabit hampir waktu Isyak. Oh. Ketika itu sudah malam Jumaat 1 Sya'aban.




Selepas menjamakkan solat Maghrib kemudian solat Isyak berjemaah dapat melakukan wirid kebiasaan malam kemudian membaca Surah Yassin. Selesai itu baru memulakan bacaan Al Quran bagi bulan Sya'aban. Cukuplah dapat beberapa muka surat sebagai syarat.



Sampai ke rumah selepas tengah malam. Kami ada singgah makan di tempat rehat Hulu Bernam juga isi minyak. Ketika meninggalkan rumah meter baru atas menunjukkan 268 km sedangkan apabila kembali sudah 796 km. Ini menunjukkan perjalanan ini meliputi jarak keseluruhan 528 km (796 - 268). Cukuplah perkongsian.


Selasa, Januari 28, 2025

Dari Tanjung Sepat ke Lenggeng ke Hulu Langat ke UIA

Dalam artikel Tentang Isra' Mikhraj - Persimpangan unik antara agama dan sains ada dinyatakan bahawa pada petang semalam saya dan isteri baru menghabiskan satu perjalanan 3 hari 3 malam yang meliputi jarak pemanduan 370 km. Sekarang biar dikongsikan cerita perjalanan.



Perjalanan bermula sekitar jam 1.30 pagi Sabtu 25 Januari 2025, selepas menghantar anak ke sekolah untuk mengikuti rombongan ke Langkawi. Dari situ bergerak ke kampung isteri di Tanjung Sepat lalu menginap. Gambar ini diambil pada waktu tengah hari. Ada majlis nikah diadakan di rumah abang isteri.

 





Sekitar jam 4.30 meninggalkan Tanjung Sepat untuk ke lokasi seterusnya.




Lalu di pusat bandar raya Seremban sebelum mengambil jalan ke Pantai kemudian menghala ke Lenggeng untuk ke sebuah pusat peranginan persendiri milik kawan.




Rasanya ada 15 tahun juga tidak bertemu. Kawan yang merupakan seorang novelis terkenal, Aina Emir sudah lama tidak aktif. Tiba-tiba satu hari sekitar 2 minggu lalu menelefon untuk bertanya khabar. Itu yang dapat tahu ada pusat peranginan di Lenggeng lalu diajak bertandang.




Kami menginap di salah satu daripada 8 bilik sewa. Pagi Ahad 26 Januari, selepas bersarapan mengikuti aktiviti.


Berjalan melihat pelbagai jenis pokok yang ada, sejumlah dari hutan Amazon di Amerika Selatan, juga memberi makan kuda. Oh, nama tempat adalah Jelatok Retreat Farm. Sila kik sini untuk maklumat juga membuat tempahan.


Biasanya saya akan mengambil banyak gambar apabila keluar berjalan. Kali ini kurang kerana kamera digital ada masalah papan skrin rosak. Kelihatan seperti ada terhentak sehingga pecah cecair kristal (liquid cristal) lalu rosak langsung paparan.




Sebetulnya masih boleh mengambil gambar dengan cara agak-agak. Masalahnya tak nampak kalau ada tersilap tetapan atau setting, ada tertekan butang berkenaan atau terpusing dial. Hasil cuma nampak apabila dimuatnaik ke komputer riba. Didapati banyak gambar rosak jadi terlalu gelap, terlalu terang atau tidak fokus untuk jarak jauh disebab tidak sengaja termasuk tetapan-tetapan berkenaan. Sedangkan selepas meninggalkan pusat peranginan ada diambil gambar di sebuah masjid lama di Lenggeng kemudian tempat-tempat menarik di Broga diikuti Sungai Tekala dan Sungai Semungkis di Hulu Langat.



Gambar ini pula diambil di rumah saya yang di Hulu Langat, pada awal pagi Isnin 27 Januari. Ketika itu sudah malam 27 Rejab 1446 Hijriah, malam Isra' dan Mikhraj.




Ini pula gambar dengan kamera digital yang rosak skrin, selepas meninggalkan rumah sekitar jam 9 pagi. Nasib baik dapat gambar elok...




Kami mahu ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak bagi mengikuti majlis ilmu seperti dinyatakan dalam artikel Tentang Isra' Mikhraj - Persimpangan unik antara agama dan sains,



Baru teringat. Asalnya saya merancang hendak bermalam Isra Mikhraj di masjid warisan keluarga di Batak Rabit. Tetapi isteri mengingatkan ada  majlis pernikahan anak buah di Tanjung Sepat. Disebabkan itulah berlaku perjalanan ke Lenggeng  diikuti ke UIA ini. Disebabkan itu juga dapat singgah menyemak dokumen keluarga Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di pejabat peguam di bahagian lain Gombak selepas majlis di UIA. Kalau berada di Batak Rabit tentu tak sempat. 




Lagipun hari sebelumnya, ketika berada di Lenggeng baru diberitahu perlu datang ke pejabat peguam petang Isnin 27 Januari. Sampai rumah sekitar waktu Asar didapati saya telah memandu sejauh 370 km.




Didapati ada barang aksesori untuk motosikal besar kesayangan sudah sampai di rumah. Lalu dipasang petang itu juga dan diambil gambar.

Tentang Isra' Mikhraj - Persimpangan unik antara agama dan sains

Salam semua. Adapun petang semalam saya dan isteri baru menghabiskan satu perjalanan 3 hari 3 malam yang meliputi jarak pemanduan 370 km. Sebelum berkongsi cerita tentangnya biar dilepaskan ini dahulu. Ia adalah aktiviti pada penghujung perjalanan, sebelum kembali ke rumah.



Pagi Isnin 27 Januari 2025 yang tarikhnya adalah bersamaan 27 Rejab 1446 Hijriah, hari Isra' Mikhraj kami singgah ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia).



Ada majlis ilmu mahu dihadiri.



Ia adalah syarahan yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Isra' Mikhraj - Persimpangan Unik Antara Agama dan Sains" oleh Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Beliau juga pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam).




Tentang Isra' Mikhraj harus semua orang Islam tahu. Ia adalah peristiwa di mana junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW telah dibawa menaiki satu bentuk tunggangan yang dipanggil Buraq bergerak dari Mekah ke Baitul Maqdis kemudian menaiki tujuh tingkat langit dalam masa yang singkat. Bahkan baginda dibawa lebih tinggi hingga sampai ke hadirat Allah SWT. Selepas menyaksikan pelbagai keajaiban termasuk isi syurga dan neraka juga turun naik antara langit  dan hadirat Ilahi untuk mengurangkan perintah solat dari 50 waktu hingga menjadi 5 waktu baru dibawa kembali ke rumahnya di Mekah. Dikatakan semua ini berlaku dalam suatu tempoh sebelum fajar.




Dalam syarahan ini mahu diperkatakan bagaimana peristiwa itu boleh dilihat daripada sudut sains selain pelbagai tafsiran oleh ulamak Islam. Antaranya apa itu Buraq, tunggangan yang boleh melangkau jarak pandang ufuk (horizon) dengan sekali langkah. Apakah mungkin ia suatu bentuk kenderaan masa hadapan tetapi digambarkan seperti suatu binatang bersaiz antara keldai dan kuda yang memiliki sayap hanya sebagai penerangan simbolik bagi orang Arab zaman itu? Bagaimana pula keadaan jiwa dan jasad Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan? Pada Osman harus berlaku perubahan sifat dari satu tingkat ke tingkat supaya boleh bergerak pada kelajuan cahaya malah melangkaui itu. Kalau tiada perubahan sifat mustahil boleh bergerak pada kelajuan cahaya menurut hukum fizik yang difahami sekarang.

Apakah kelajuan cahaya memang harus tetap pada 186,000 batu per saat (atau 300,000 kilometer per saat) seperti dikatakan dalam sains? Atau itu untuk alam fizikal biasa kita sahaja? Ada tingkat-tingkat alam yang lebih halus sifatnya lalu cahaya boleh bergerak lebih laju melepasi had tersebut. Ini adalah antara persoalan-persoalan yang dibangkitkan dalam syarahan. Sila tonton sendiri video bawah...


Sekadar memberitahu. Ini adalah artikel ke-2,616 di CATATAN SI MERAH SILU.