Selasa, Januari 28, 2025

Tentang Isra' Mikhraj - Persimpangan unik antara agama dan sains

Salam semua. Adapun petang semalam saya dan isteri baru menghabiskan satu perjalanan 3 hari 3 malam yang meliputi jarak pemanduan 370 km. Sebelum berkongsi cerita tentangnya biar dilepaskan ini dahulu. Ia adalah aktiviti pada penghujung perjalanan, sebelum kembali ke rumah.



Pagi Isnin 27 Januari 2025 yang tarikhnya adalah bersamaan 27 Rejab 1446 Hijriah, hari Isra' Mikhraj kami singgah ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia).



Ada majlis ilmu mahu dihadiri.



Ia adalah syarahan yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Isra' Mikhraj - Persimpangan Unik Antara Agama dan Sains" oleh Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Beliau juga pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam).




Tentang Isra' Mikhraj harus semua orang Islam tahu. Ia adalah peristiwa di mana junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW telah dibawa menaiki satu bentuk tunggangan yang dipanggil Buraq bergerak dari Mekah ke Baitul Maqdis kemudian menaiki tujuh tingkat langit dalam masa yang singkat. Bahkan baginda dibawa lebih tinggi hingga sampai ke hadirat Allah SWT. Selepas menyaksikan pelbagai keajaiban termasuk isi syurga dan neraka juga turun naik antara langit  dan hadirat Ilahi untuk mengurangkan perintah solat dari 50 waktu hingga menjadi 5 waktu baru dibawa kembali ke rumahnya di Mekah. Dikatakan semua ini berlaku dalam suatu tempoh sebelum fajar.




Dalam syarahan ini mahu diperkatakan bagaimana peristiwa itu boleh dilihat daripada sudut sains selain pelbagai tafsiran oleh ulamak Islam. Antaranya apa itu Buraq, tunggangan yang boleh melangkau jarak pandang ufuk (horizon) dengan sekali langkah. Apakah mungkin ia suatu bentuk kenderaan masa hadapan tetapi digambarkan seperti suatu binatang bersaiz antara keldai dan kuda yang memiliki sayap hanya sebagai penerangan simbolik bagi orang Arab zaman itu? Bagaimana pula keadaan jiwa dan jasad Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan? Pada Osman harus berlaku perubahan sifat dari satu tingkat ke tingkat supaya boleh bergerak pada kelajuan cahaya malah melangkaui itu. Kalau tiada perubahan sifat mustahil boleh bergerak pada kelajuan cahaya menurut hukum fizik yang difahami sekarang.

Apakah kelajuan cahaya memang harus tetap pada 186,000 batu per saat (atau 300,000 kilometer per saat) seperti dikatakan dalam sains? Atau itu untuk alam fizikal biasa kita sahaja? Ada tingkat-tingkat alam yang lebih halus sifatnya lalu cahaya boleh bergerak lebih laju melepasi had tersebut. Ini adalah antara persoalan-persoalan yang dibangkitkan dalam syarahan. Sila tonton sendiri video bawah...


Sekadar memberitahu. Ini adalah artikel ke-2,616 di CATATAN SI MERAH SILU.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan