Dalam artikel Tentang Isra' Mikhraj - Persimpangan unik antara agama dan sains ada dinyatakan bahawa pada petang semalam saya dan isteri baru menghabiskan satu perjalanan 3 hari 3 malam yang meliputi jarak pemanduan 370 km. Sekarang biar dikongsikan cerita perjalanan.
Perjalanan bermula sekitar jam 1.30 pagi Sabtu 25 Januari 2025, selepas menghantar anak ke sekolah untuk mengikuti rombongan ke Langkawi. Dari situ bergerak ke kampung isteri di Tanjung Sepat lalu menginap. Gambar ini diambil pada waktu tengah hari. Ada majlis nikah diadakan di rumah abang isteri.
Sekitar jam 4.30 meninggalkan Tanjung Sepat untuk ke lokasi seterusnya.
Lalu di pusat bandar raya Seremban sebelum mengambil jalan ke Pantai kemudian menghala ke Lenggeng untuk ke sebuah pusat peranginan persendiri milik kawan.
Rasanya ada 15 tahun juga tidak bertemu. Kawan yang merupakan seorang novelis terkenal, Aina Emir sudah lama tidak aktif. Tiba-tiba satu hari sekitar 2 minggu lalu menelefon untuk bertanya khabar. Itu yang dapat tahu ada pusat peranginan di Lenggeng lalu diajak bertandang.
Kami menginap di salah satu daripada 8 bilik sewa. Pagi Ahad 26 Januari, selepas bersarapan mengikuti aktiviti.
Berjalan melihat pelbagai jenis pokok yang ada, sejumlah dari hutan Amazon di Amerika Selatan, juga memberi makan kuda. Oh, nama tempat adalah Jelatok Retreat Farm. Sila kik sini untuk maklumat juga membuat tempahan.
Biasanya saya akan mengambil banyak gambar apabila keluar berjalan. Kali ini kurang kerana kamera digital ada masalah papan skrin rosak. Kelihatan seperti ada terhentak sehingga pecah cecair kristal (liquid cristal) lalu rosak langsung paparan.
Sebetulnya masih boleh mengambil gambar dengan cara agak-agak. Masalahnya tak nampak kalau ada tersilap tetapan atau setting, ada tertekan butang berkenaan atau terpusing dial. Hasil cuma nampak apabila dimuatnaik ke komputer riba. Didapati banyak gambar rosak jadi terlalu gelap, terlalu terang atau tidak fokus untuk jarak jauh disebab tidak sengaja termasuk tetapan-tetapan berkenaan. Sedangkan selepas meninggalkan pusat peranginan ada diambil gambar di sebuah masjid lama di Lenggeng kemudian tempat-tempat menarik di Broga diikuti Sungai Tekala dan Sungai Semungkis di Hulu Langat.
Gambar ini pula diambil di rumah saya yang di Hulu Langat, pada awal pagi Isnin 27 Januari. Ketika itu sudah malam 27 Rejab 1446 Hijriah, malam Isra' dan Mikhraj.
Ini pula gambar dengan kamera digital yang rosak skrin, selepas meninggalkan rumah sekitar jam 9 pagi. Nasib baik dapat gambar elok...
Kami mahu ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak bagi mengikuti majlis ilmu seperti dinyatakan dalam artikel Tentang Isra' Mikhraj - Persimpangan unik antara agama dan sains,
Baru teringat. Asalnya saya merancang hendak bermalam Isra Mikhraj di masjid warisan keluarga di Batak Rabit. Tetapi isteri mengingatkan ada majlis pernikahan anak buah di Tanjung Sepat. Disebabkan itulah berlaku perjalanan ke Lenggeng diikuti ke UIA ini. Disebabkan itu juga dapat singgah menyemak dokumen keluarga Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di pejabat peguam di bahagian lain Gombak selepas majlis di UIA. Kalau berada di Batak Rabit tentu tak sempat.
Lagipun hari sebelumnya, ketika berada di Lenggeng baru diberitahu perlu datang ke pejabat peguam petang Isnin 27 Januari. Sampai rumah sekitar waktu Asar didapati saya telah memandu sejauh 370 km.
Didapati ada barang aksesori untuk motosikal besar kesayangan sudah sampai di rumah. Lalu dipasang petang itu juga dan diambil gambar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan