Salam petang Ahad 10 Muharram, Hari Asyura. Setelah beberapa lama sampai kita pada cerita hari ke-6 merangkap hari terakhir perjalanan baru selatan Thailand. Bersambung daripada Jejak Langkasuka 2025 - Ke Batu Kaoseng dan Hatyai sebelum kembali ke Malaysia.
Pagi Ahad 29 Jun 2025 bersamaan 3 Muharram 1447 Hijriah. Setelah bermalam di rumah kawan di Seberang Perai, atau lebih tepat di Kubang Semang keluar ke masjid berdekatan.
Saya telah berjanji untuk bertemu dengan seorang bapa saudara, sepupu ayah saya daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak, di masjid jam 9.30. Beliau menetap di bahagian lain Seberang Perai tidak berapa jauh dari situ. Kemudian mengajak beliau keluar bersama, singgah di pasaraya Ayam Ory tidak jauh dari masjid.
Kawan yang disebut-sebut membawa untuk perjalanan (rujuk artikel pertama siri, Jejak Langkasuka 2025 - Bagaimana ia bermula) sebenarnya adalah pengurus besar Ayam Ory. Beliau mahu menunjukkan bagaimana pasaraya yang memiliki beberapa cawangan termasuk di selatan Thailand beroperasi.
Sesungguhnya tajaan yang datang dari beliau sebahagian besar sebenarnya adalah dari syarikat, sebahagian daripada beliau sendiri. Ini kerana sambil mahu memenuhi pencarian dan kajian peribadi tentang penggunaan matawang emas, perak dan timah di Alam Melayu perjalanan juga digunakan untuk meninjau pasaran tempatan.
Seterusnya kami membawa bapa saudara ke satu tempat lain di Seberang Perai.
Tempat yang dituju ada batu bersurat dengan tulisan Pallava bahasa Sanskrit berusia lebih 1,500 tahun. Lihat artikel Lawatan baru ke (New visit to) batu bersurat (inscribed stone of) Cherok Tok Kun di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN. Rupa-rupanya kawan dan bapa saudara tak pernah sampai walau sudah lama duduk berdekatan. Malah isteri kawan memberitahu kampungnya terletak di kawasan itu, pun tak pernah sampai.
Pada saya wujudnya batu bersurat dalam kawasan yang sejak beberapa lama menjadi perkarangan kompleks gereja yang sangat besar menandakan kepentingan kawasan pada masa lampau. Tulisan pada batu dikatakan membawa makna berikut :-
“Saya mengakui kewujudan musuh Raja Ramaunibha. Ini dikatakan oleh Manikatha, pelindung kesemua Buddha-Buddha. Dalam setiap bentuk kehidupan pengetahuan bermanifestasi di semua tempat dan semua cara. Karma merupakan punca kepada kelahiran semula”
Saya melihat ia terkait dengan keberadaan kerajaan Kedah Tua yang saya percaya ketika itu sudah termasuk dalam persekutuan empayar Srivijaya. Ia juga terkait dengan empayar Langkasuka yang beberapa abad kemudian menjadi kerajaan Melayu Patani.
Di atas batu bersurat itu dibincangkan keberadaannya dengan jejak perjalanan lalu dibuat sedikit rumusan dengan kawan. Ia adalah tentang kehebatan tamadun Melayu juga kepentingan Kedah dan susur galur raja-rajanya dalam pensejarahan awal.
Selepas itu berpisah arah. Kawan yang membawa isteri menumpangkan bapa saudara ke masjid sementara saya dan isteri bergerak menuju ke arah rumah di selatan melalui lebuh raya.
Keluar di tol Kuala Kangsar singgah menziarahi makam Tok Temong.
Keris tajong yang dibeli di Muzium Al-Quran di Narathiwat (lihat kembali Jejak Langkasuka 2025 - Dari Padang Besar ke Narathiwat, Saiburi dan Pattani) menjadi teman sepanjang perjalanan termasuk ketika menziarahi batu nesan tempat tempat Sultan kedua Perak dikatakan ghaib ketika menunaikan solat Jumaat di masjid Kota Lama Kanan hampir 500 tahun lalu.
Menikmati laksa sarang di warung berdekatan masjid.
Ziarah makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di kawasan perkuburan diraja Perak di Bukit Chandan.
Ziarah juga makam Daeng Selili, Maharajalela Pancung Tak Bertanya pertama Perak di Kampung Padang Changkat, belakang Istana Iskandariah dan Bukit Chandan.
Makam terletak dekat rumah seorang kawan yang ada darah keturunan Maharajalela. Beliau ada mengundang datang ke majlis perkahwinan anaknya hari Sabtu tapi tak sempat kerana masih berada di Thailand. Kami datang petang Ahad sebagai ganti sambil menumpang rehat melelapkan mata. Tengok-tengok terlajak lelap. Selepas jam 6 baru hendak bergerak meninggalkan Kuala Kangsar.
Tak sempat dan tak jadilah nak ziarah makam beberapa orang Sultan Perak antara Bota Kanan ke Kampung Gajah. Sebaliknya menuju terus ke masjid warisan keluarga Laksamana di Batak Rabit.
Menunaikan solat Maghrib dan Isyak, menyambung bacaan Al Quran bagi bulan Muharram juga beriktikaf. Selepas itu singgah ke rumah ibu saudara yang terletak berdekatan. Seperti kawan di Kuala Kangsar yang juga sebenarnya ada hubungan persaudaraan, ibu saudara ada mengundang ke majlis perkahwinan anak hari Sabtu, di Teluk Intan.
Apabila sampai kembali ke rumah selepas tengah malam didapati saya telah memandu sejauh 754 km. Tapi itu setakat jarak menuju ke rumah kawan di Seberang Perai kemudian kembali ke rumah. Campur jarak naik kereta kawan ke Padang Besar (173 km menurut Google Map), berjalan di selatan Thailand (tak kurang 677 km) dan kembali ke rumah kawan termasuk pusing-pusing di Alor Setar (lebih 192 km) perjalanan kami suami isteri kali ini mencapai jarak tidak kurang 1,796 km. Ini adalah perjalanan paling jauh sejak memandu lebih 2,000 km lebih 2 tahun lalu meliputi lebih banyak tempat di Thailand. Lihat artikel lama Kompilasi cerita perjalanan selatan Thailand penghujung 2022. Dengan ini selesailah penceritaan. Selepas ini akan dikongsikan artikel khas untuk perkongsian melalui Tiktok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan