Selasa, Mei 13, 2025

Al-Jawa'ib (1861-1885) : Apa yang ia beritahu tentang hubungan antara dunia Melayu dengan kerajaan Uthmaniyah

Salam petang Selasa 13 Mei 2025 bersamaan 15 Zulkaedah 1446 Hijriah. Adapun bagi ramai orang Melayu yang ambil tahu hal "abata" iaitu agama, bangsa dan tanah air, tarikh 13 Mei sering dikaitkan dengan peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Namun bagi saya sendiri iaitu sejak tahu tentangnya 2-3 tahun kebelakangan ia adalah tarikh nikah datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad bin Laksamana Muhammad Amin dengan isterinya Hajah Halijah binti Haji Musa tahun 1875. Pada tarikh tersebut tahun ini pula ada satu majlis ilmu yang terasa ada kaitan. Biar dibuat perkongsian. Kiranya bersambung gerak tentang majlis ilmu daripada artikel Mengapa idea madani wajar dipopularkan Khamis lalu.



Tajuk majlis boleh diterjemahkan sebagai :Al-Jawaib (1861-1885) : Apa yang ia Beritahu Tentang Hubungan antara dunia Melayu dengan kerajaan Uthmaniyah". Membawa tajuk adalah Profesor Madya Dr Mehmet Ozay dengan Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican sebagai pemudahcara, kedua-duanya daripada ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).



Bergeraklah ke lokasi di kampus ISTAC di Bukit Tunku, Kuala Lumpur dengan motosikal besar kesayangan untuk ke majlis jam 2.30 petang tadi.



Kelihatan tidak ramai menyertai.



Pun begitu ada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengikuti secara atas talian. Untuk pengetahuan baginda adalah Canselor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), badan induk yang menaungi ISTAC. Dan sejak hampir penghujung tahun lalu baginda juga sudah menjadi pelajar sarjana di ISTAC.



Pergi terus pada perkongsian ilmu. Pembentang iaitu Mehmet Ozay adalah warga Turki yang pernah menjadi pensyarah di Aceh lalu berkahwin dengan orang sana. Mereka sekarang menetap di Malaysia.




Al-Jawa'ib merujuk pada surat khabar terbitan Turki Uthmaniyah berbahasa Arab yang diasaskan seseorang bernama al-Shidyaq. Ia adalah kata majmuk daripada perkataan Arab ja'ib yang membawa maksud sesuatu yang mengembara, sampai, juga membujur lalu. Ia terbit daripada akar huruf sama dengan perkataan jawab, yang dalam bahasa Melayu turut disebut jawab. Tetapi jika jawab membawa pada resolusi dan penutup suatu isu jawa'ib pula menerbitkan rasa pergerakan, gangguan. menyeberang sempadan. Ia adalah berita yang mengembara tanpa dijangka, memacu rasa ingin tahu lebih lanjut lagi, bukan sekadar memuaskan.




Akhbar diterbitkan tahun 1861 berlatarbelakangkan keadaan semasa kuasa-kuasa Eropah cuba mengasak kerajaan Turki Uthmaniyah yang merupakan satu empayar Islam terbesar.  Pada zaman itu juga kuasa-kuasa Eropah sedang galak menjajah negara-negara di luar Eropah termasuk kerajaan-kerajaan Islam di Alam Melayu. Akhbar seperti Al-Jawa'ib menjadi suatu macam jambatan yang membawa berita dan menyebarkan ke seantero rantau-rantau berkenaan.




Satu gambar muka akhbar. Penumpuan diberikan terhadap terbitan tahun 1861-1885. Ketika itu media cetak sedang berkembang di jajahan takluk Uthmaniyah yang sangat luas termasuk di Semenanjung Arab. Pihak berkuasa mereka memantau segala macam pergerakan berkaitan.




Ditekankan tentang peranan seorang Sayyid atau Habaib dari Aceh yang dikenali sebagai Al-Zahir datang ke Turki untuk meminta  Sultan Uthmaniyah membantu Aceh menghadapi usaha Belanda yang semakin galak mengasak, setelah berjaya mengalahkan dan menjajah banyak kerajaan di dunia Melayu. Kajian tentang Al-Jawa'ib memberikan sebanyak persoalan seperti jawaban. Apakah kepentingan hubungan antara Al-Shidyaq dengan Al-Zahir? Apakah isi dan maksud setiap bentuk perhubungan? Apakah peranan Al-Jawa'ib dalam memperbaharui hubungan antara dunia Melayu dengan Uthmaniyah? Kenapa Kesultanan Aceh, sebagai sebahagian daripada dunia Melayu, meminta hubungan politik dengan Uthmaniyah? Apakah dibalas? Apakah akibat sebenar daripada proses berkenaan?




Saya tidak ingin mengulas panjang. Sebentar lagi hendak masuk waktu Maghrib lalu ingin membuka puasa sunat bagi 15 Zulkaedah, hari ketiga berpusa putih sejak siang Ahad 13 Zulkaedah.







Cukuplah dikongsikan sedikit lagi slaid tanpa penerangan...










Cukuplah dikatakan Al-Jawa'b, pada tempoh masa berkenaan, menunjukkan memang ada hubungan antara dunia Melayu dengan kerajaan Uthmaniyah.



Ada yang jelas dinyatakan dalam akhbar lalu dapat ditelaah semua pihak termasuk musuh seperti Belanda yang bakal membentuk negara Indonesia, juga British/Inggeris yang bakal membentuk Malaysia.






Namun ada yang dapat ditelaah secara tersirat. Zahirnya Uthmaniyah tidak dapat memberikan bantuan yang diharap oleh kerajaan Melayu kerana dikekang masalah sendiri sambil segala hubungan, surat menyurat dipantau pihak musuh. Batinnya ada gerakan-gerakan tidak rasmi. Dan ada rantaian termasuk melalui jaringan ulamak menghubungkan perjuangan di dunia Melayu dengan kerajaan Uthmaniyah di Turki yang dilihat sebagai pusat kekhalifahan.


1 ulasan:

  1. Wah, menarik betul kisah hubungan dunia Melayu dengan Uthmaniyah ni! Siap ada ‘surat khabar pengembara’ dari zaman 1800-an lagi. Macam zaman dulu pun dah ada berita viral juga rupanya. Memang power bila sejarah lama ni buka mata, tunjuk betapa eratnya jaringan dan usaha bangsa kita dulu dalam menangkis kuasa asing. Terima kasih sebab kongsi ilmu yang buat kita rasa macam naik “time machine” kejap!

    BalasPadam