Salam. Lagi sekali tentang majlis ilmu. Tapi kali ini agak lambat hendak dikongsikan cerita kerana entah kenapa kepala asyik terasa berat semacam setiap kali apabila memikirkan hal berkenaan iaitu tentang Masjid Al-Aqsa dan nasib orang Palestin terutama di Gaza.
Seperti beberapa cerita yang berlaku hari Jumaat, cerita kali ini yang berlaku Jumaat baru ini 16 Mei 2025 boleh dianggap dibuka dengan menikmati hidangan nasi beringin di medan selera bersebelahan pejabat lama saya iaitu akhbar The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar.
Saya pergi dengan menaiki motosikal besar kesayangan. Kebetulan ada ruang parkir betul-betul di hadapan pintu masuk utama pejabat. Jumaat minggu sebelumnya ada datang menaiki motosikal bersama isteri, selepas menghantar beliau untuk mesyuarat persatuan sekerja di satu bangunan agak berdekatan. Tetapi kali itu dapat ruang parkir sedikit jauh dari pintu masuk ini.
Apapun, tujuan utama keluar hari itu adalah untuk ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Kalau sempat selalunya saya akan makan tengah hari nasi beringin di Bangsar sebelum ke ISTAC.
Suasana selepas selesai solat Jumaat di masjid ISTAC.
Sekarang pergi pada majlis ilmu yang bermula jam 3 petang itu. Ia adalah syarahan yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Al-Aqsa - Sekarang di Malaysia" oleh Dr Osama Odeh, seorang jurutera warga Palestin. Syarahan diadakan sempena pameran "Al-Aqsa Hidup : Semangat Ketamadunan dan Kebebasan Palestin" yang baru bermula di ISTAC.
Kelihatan Osama yang dinyatakan dalam poster sebagai pengerusi sebuah syarikat yang menjadi satu-satunya pembeli/pemilik logam aluminium yang pernah meliputi kubah as Sakharah di Masjidil Aqsa. Pelik juga memikirkan kenapa hal itu ditekankan. Sabar. Nanti akan diterangkan.
Beliau memulakan dengan menceritakan kepentingan kedudukan kota Jerusalem atau Baitul Maqdis dalam peradaban dunia. Ia pernah dilihat sebagai pusat dunia, pertengahan dan penghubung antara benua Asia, Eropah dan Afrika. Turut diceritakan kedudukan dalam peristiwa Isra' dan Mikhraj. Sesungguhnya di kota itulah Nabi Muhammad SAW pernah mengimamkan solat bersama para nabi terdahulu selepas sampai dari Mekah. Dari Baitul Muqaddis baginda kemudian dibawa menaiki langit.
Lakaran Masjidil Al Aqsa di Baitul Muqaddis.
Kubah As Sakhrah, disebut sebagai "Dome of the Rock" (oleh dunia Barat. Ini kerana kubah tersebut dibina melindungi sebuah batu besar yang menjadi kedudukan Rasulullah SAW mula diangkat ke langit.
Gambar-gambar lama kubah.
Pada tahun 1964 kubah diliputi aluminium kerana struktur lama sudah mudah dimasuki air hujan. Kata Osama proses pembuatan aluminium baru ditemui waktu itu. Ia dianggap logam terbaik untuk meliputi bangunan. Pada masa itu harganya lebih mahal dari perak.
Tahun-tahun kemudian menyaksikan penemuan-penemuan baru menyebabkan aluminium menjadi lebih mudah untuk dihasilkan lalu turun harga. Sambil itu muncul logam brass atau loyang yang dilihat lebih baik dan tahan. Tahun 1992 hingga 1994 diadakan projek bagi memperbaiki lagi Kubah As Sakhrah. Aluminum yang pernah meliputi sejak tahun 1964 dicabut keluar digantikan dengan loyang yang disadur emas, membentuk kubah berwarna keemasan yang wujud hingga sekarang.
Osama adalah jurutera utama yang terlibat dalam proses pembaikan. Kelihatan beliau di sisi kubah dalam gambar paling kanan atas.
Syarikat beliau adalah satu-satunya pembeli dan pemilik aluminium yang pernah melindungi kubah.
Daripada aluminium itu dibuat sejumlah barangan sebagai lambang Masjid Al-Aqsa serta perjuangan warga Palestin akan terus bertahan. Anda boleh lihat sendiri sebahagian di pameran di ISTAC. Lihat artikel "Al-Aqsa Alive" exhibition in ISTAC di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Nota : Pada awal artikel ada disebut cerita ini agak lambat dikongsikan kerana entah kenapa kepala terasa berat semacam setiap kali apabila memikirkan hal berkenaan iaitu tentang Masjid Al-Aqsa dan nasib orang Palestin terutama di Gaza. Sebetulnya saya sangat sedih dengan apa yang sedang berlaku di Gaza, tetapi jarang sekali menyatakan rasa dalam apa-apa penulisan. Bukan kerana tidak prihatin tapi dah tak terkata apa. Apabila menulis ini baru dapat menyatakan sedikit rasa.
Nak turun padang pergi berperang tak mampu. Kita boleh cakap dan mengaku macam-macam. Tapi kalau setakat sampai ke lapangan terus kena letup tidak mampu membawa perubahan yang cukup bermakna apa guna? Sedangkan di negara kita sendiri ini pun banyak yang perlu dibela.
Lihat sahaja tanah-tanah kita yang diambil orang bukan Melayu dan bukan Islam sesuka hati, kes durian Musang King, kes kuil haram. Dalam keadaan begini tak guna bercakap banyak. Lagipun dah ramai yang melakukan "kerja" bercakap banyak itu. Tak perlu menambah rencah.
Adakalanya rasa yang terbuku itu lebih elok dizahirkan secara isyarat. Misalnya melalui syarahan dan pameran berkenaan. Biar orang lain yang mahu kelihatan lebih hero memekik terlolong melaungkan slogan perjuangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan