Sabtu, Mac 15, 2025

Pantai Timur Ramadan 2025 - Sasaran yang sedikit lari

Merujuk pada artikel Balik kampung Ramadan 2025 yang dipersembahan petang Khamis. Ada disebut bahawa pagi itu 13 Mac 2025 saya dan isteri secara rasminya telah memulakan satu lagi sesi permusafiran bulan Ramadan, kali ini ke Pantai Timur. Sekarang ada sedikit kelapangan untuk berkongsi cerita walaupun sedang kepenatan amat akibat telah memandu sejauh 743 km (setakat ini) sambil melakukan banyak perkara di celah-celah itu, dalam keadaan berpuasa. Jadual aktiviti diikuti cerita-cerita yang perlu dilepaskan dijangka berderet-deret hingga hujung bulan Ramadan. Tak mahulah tertunggak.



Perjalanan secara rasminya bermula sekitar jam 7.15 apabila saya membawa isteri meninggalkan rumah lalu masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan.



Isteri harus masuk bekerja di Shah Alam lalu saya pun beriktikaf di masjid negeri.




Selepas itu duduk di replika rumah Bugis di Muzium Sultan Alam Shah. Dapatlah membaca beberapa muka surat Al Quran bagi proses pengkhataman bulan Ramadan. Di situ juga ditulis artikel Balik kampung Ramadan 2025.




Selepas isteri dibenarkan keluar pejabat bergeraklah kami menghala ke Lembah Klang.




Ambil lebuh raya yang boleh memotong kesesakan bandar raya Kuala Lumpur untuk ke Gombak.




Seterusnya ambil Lebuh Raya Karak. Tidak beberapa lama kemudian sampai ke terowong Genting Sempah yang menandakan masuk ke negeri Pahang.




Kali ini lebih banyak mengambil lebuh raya kerana mahu mengejar masa.




Sempatlah berbuka puasa di sebuah masjid di satu bahagian Pantai Timur. Lihat Masjid (Mosque of) Cherating di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Cuma sebetulnya sasaran saya adalah masjid lain Pantai Timur yang terletak sedikit lebih ke utara tapi tak sempat. Bersantai sebentar di pantai Cherating.



Yang disasarkan adalah berbuka puasa di masjid lama ini di bandar Chukai.




Sebaliknya cuma sempat menunaikan solat Tarawikh di sana.




Sasaran asal saya adalah bersolat Tarawikh di Kuala Berang. Sebaliknya tengah malam baru sampai :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan