Kembali pada cerita perjalanan. Oh, hari ini 5 Januari 2025 adalah hari kelahiran isteri saya yang ke-50. Bersambung daripada artikel Perjalanan selatan penghujung 2024 - Dari penghujung tanah besar Asia ke Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kluang.
Pagi Jumaat 27 Disember 2024. Saya membawa anak-anak untuk mendaki Gunung Lambak di Kluang.
Seperti pada hari sebelumnya di Tanjung Piai isteri tinggal di hotel. Ini supaya dapat menyambung kerja-kerja pejabat secara atas talian. Lagipun beliau tak berapa lasak seperti saya dan anak-anak.
Saya sudah banyak kali membawa anak-anak mendaki bukit. Tetapi ini adalah kali pertama membawa ke yang bertaraf gunung.
Saya sendiri pertama kali mendaki Gunung Lambak semasa di Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Sains Johor yang terletak di bahagian lain Kluang. Semasa itu pergi atas aktiviti pengakap lalu berkhemah di lereng bawah gunung kalau tak salah 2 malam.
Kali kedua pula semasa Tingkatan 3, bersama rakan-rakan sekelas tahun 1985. Ke satu tingkatan semua pergi panjat? Yang pasti satu kelas tu memang ada. Lihat artikel lama Nostalgia Sekolah Menengah Sains Johor...
Kali ketiga adalah berseorangan pada bulan puasa awal tahun 1998. Ketika itu baru mendapat cuti panjang setelah setahun lebih bertugas sebagai wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times. Ia adalah semasa membuat perjalanan solo motosikal besar pusing sekeliling Semenanjung meliputi jarak hampir 4,000 km. Dalam perjalanan turut naik Gunung Ledang dan Gunung Jerai juga Bukit Larut (gunung sebenarnya) di Taiping. dan Penang Hill (bertaraf gunung juga) selain kawasan pergunungan Cameron Highlands. Lihat Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung.
Sekarang anak-anak pula dapat mengecapi pengalaman lama penuh makna yang membentuk jati diri. Cuma dahulu tidak ada segala macam kemudahan seperti hari ini. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH...
Turun dari gunung terus mengambil isteri check out dari hotel lalu ke stesyen kereta lama Kluang untuk menikmati hidangan kopinya yang terkenal.
Ketika bersekolah di Kluang tahun 1983-1986 selalu ke stesyen. Tetapi bukan untuk hidangan sebaliknya melihat kereta api datang dan pergi...
Alhamdulillah walaupun turun dari gunung pun sudah jam 1 kemudian makan di stesyen masih sempat menunaikan solat Jumaat di masjid jamek.
Inipun satu kenangan dan pengalaman lama yang diajak anak merasa.
Dan alhamdulillah juga selepas itu mendapat kebenaran untuk membawa anak-anak berjalan dalam kawasan sekolah. Lihat Checking out (again) my alma mater in Kluang.
Secara rata saya membawa anak-anak untuk mengecapi pengalaman daripada zaman Sekolah Sains. Malah ketika menuju ke pekan Ayer Hitam di barat Kluang pun masih dalam konteks mengecapi pengalaman lama. Ini kerana apabila balik kampung di Muar memang perlu mengambil laluan itu.
Cuma semasa zaman saya hampir 40 tahun lalu tidak wujud lagi masjid ini. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Ayer Hitam, Johor di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Dan lagi, dahulu selepas Ayer Hitam sama ada melalui Batu Pahat atau Yong Peng ke Muar. Tapi kali ini cuma ada lalu Yong Peng untuk ke Labis diikuti Segamat dan Gemas di mana saya suka singgah untuk melihat kenangan kereta api lama. Masih terkait dengan zaman sekolah menengah. Kerana kereta api dari Kluang mesti melalui Gemas untuk ke Kuala Lumpur. Saya pernah melarikan diri dari sekolah lalu ke KL naik kereta api seorang diri. Lihat 'Muzium kereta api' ('Train museum' of) Gemas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan