OK. Sedikit perkongsian daripada aktiviti semalam.
Tengah hari Jumaat 17 Disember 2025. Motosikal besar kesayangan di hadapan pejabat lama saya The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar.
Tak ingat kali terakhir pernah sampai dengan motosikal. Asbabnya untuk menikmati nasi beringin kegemaran di medan selera bersebelahan.
Solat Jumaat di masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).
Asbab utama saya keluar semalam adalah untuk mengikuti majlis ilmu di ISTAC, kali pertama ke tempat pengajian saya peringkat pascasiswazah itu bagi tahun baru 2025. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Islamisasi Ilmu Pengetahuan : Satu Perspektif Pengurusan Islam & Robotik, AI dan Penghasilan Hidupan Buatan dan Warisan Saintifik Islam serta Implikasi terhadap Islamisasi Ilmu Pengetahuan". Sebetulnya ia adalah gabungan dua tajuk yang mahu dibawa oleh dua orang pembentang tentang Islamisasi ilmu pengetahuan. Rujuk artikel lama Renungan terhadap legasi pengIslaman ilmu pengetahuan dan masa hadapannya - Satu gagasan besar ummah yang harus diteruskan.
Pembentang pertama, Profesor Madya Dr Rodrique Ancelot Harvey Fontaine memulakan dengan memberikan satu gambaran keseluruhan tentang falsafah Barat meliputi sedikit pemikiran Plato dan Aristotle daripada zaman Yunani kuno hingga ke pemikiran Nietsche dan Karl Max pada zaman Eropah moden. Dinyatakan bagaimana pemikiran Barat yang asalnya masih memikirkan hal-hal metafizik yang bersifat keTuhan menjadi rosak disebabkan kemunculan aliran Positivisma yang hanya percaya pada apa yang dapat dicerap melalui pancaindera zahir dan alatan sains.
Oh. Saya telah mengambil lebih 40 gambar slaid daripada majlis ini. Terlalu banyak. Untuk perkongsian biar dipilih cuma sejumlah.
Pembentang yang memiliki nama Islam Ridhwan itu menyatakan bahawa cara fikir Barat menjadi rosak disebabkan pemikiran Positivisma yang menolak kewujudan Tuhan. Namun cara fikir berdasarkan logik akal itu mendominasi dunia malah negara-negara Islam dalam segenap bidang. Untuk memperbaiki keadaanlah muncul usaha Islamisasi ilmu pengetahuan (Islamisation of knowledge) bermula penghujung tahun 1970an. Namun masing-masing pihak yang terlibat ada cara dan faham tersendiri dalam melaksanakan perkara. Sedangkan setelah beberapa lama ia masih dilihat kurang berkesan.
Disebutlah tentang teori pengurusan sebagai satu cara menangani keadaan. Ada yang dipanggil sebagai "uninteded consequences", kesan tidak dijangkakan. Misalnya semasa mengimplementasikan suatu polisi nampak seperti semua sudah difikirkan bagi mendapatkan hasil terbaik. Selepas 15 tahun lain pula jadinya. Tak terjangkau sebelum itu bagaimana boleh jadi begitu.
Ini disebabkan delay atau penangguhan antara sebab dan kesan. Antara suatu sebab boleh makan bertahun-tahun baru betul-betul terlihat kesan. Namun ada pula yang pada awalnya kelihatan tidak baik. Tetapi setelah beberapa lama muncul kesan baik malah berganda baiknya...
Diberikanlah contoh kehidupan Nabi Muhammad SAW. Ridhwan melihat ia harus dimulakan dengan Tahun Gajah, tahun ketika pasukan gajah Abrahah dari Yaman menyerang Ka'abah di Mekah. Pada tahun itulah baginda Rasullah SAW dilahirkan. Ini diikuti peristiwa-peristiwa lain dalam sirah seperti mula berdakwah, tentangan orang kafir Quraish Mekah, peristiwa Hijrah juga perang Badar dan lain-lain.
Setelah beberapa lama baru baginda betul-betul mencapai kemenangan yang nyata, melalui peristiwa pembukaan atau Fathul Mekah. Sedangkan ia adalah susulan daripada Perjanjian Hudaibayah yang dilihat sangat merugikan umat Islam.
Lihat bagaimana Rasulullah SAW bermula dengan cuma beberapa puluh orang sahaja memeluk Islam, tetapi kemudian meningkat mendadak terutama selepas Fathul Mekah. Ada pelajaran pengurusan di sebalik itu yang boleh digunakan untuk memajukan Islamisasi ilmu pengetahuan.
Sampai giliran pembentang kedua Safiyah Sabreen Syeed membuat perkongsian. Beliau membentang secara atas talian dari wilayah Kashmir di utara India. Dalam poster dinyatakan bergelar doktor (PhD). Rupa-rupanya masih dalam usaha bagi menyelesaikan pengajian.
Pun begitu beliau memberikan pembentangan yang sangat matang. Dinyatakan perkongsian adalah seperti berikut :-
1. Tentang perkembangan robotik dan alat-alat yang boleh diprogramkan pada zaman revolusi saintifik Islam.
2. Permula cara penaakulan algoritma dan alat-alat computational (saya tidak dapat menemui terjemahan bahasa Melayu yang betul-betul sesuai untuk perkataan ini, kalau setakat "perkiraan" tidak cukup untuk mencakupi makna).
3. Islamisasi ilmu pengetahuan - Prosedur dua langkah
4. Implikasi sosial, keagamaan dan ekonomi terhadap Islamisasi teknologi-teknologi ini.
Disebutlah teknologi robotik dan alatan yang boleh diprogramkan sudah wujud dalam dunia Islam sejak abad ke-13 Masihi lagi. Ilmuwan Islam bernama Al-Jazari telah melakukannya secara mekanikal menggunakan tekanan air dan sebagainya (sekarang adalah berdasarkan elektrik).
Ini turut dilakukan oleh adik beradik Banu Musa. Terbit dalam fikiran saya - Sebetulnya pada air dan tekanannya ada prinsip serupa seperti terdapat pada elektrik. Sebab itu ada istilah arus letrik. Memang ada prinsip sama seperti arus air.
Ilmuwan Islam bernama Al-Khwarizi pula membawa konsep aturan fikir dan perkiraan bagi menghasilkan sesuatu. Itulah yang kemudian ditiru Barat lalu menamakan prinsip tersebut sebagai Algoritma. Prinsip ini masih terpakai hingga sekarang termasuk bagi menerbitkan AI - Artificial Intelligence atau kecerdasaran buat.
Seorang lagi ilmuwan silam Islam, Jabir bin Hayyan terkenal sebagai pengasas kimia eksperimental. Beliau menetap asas dan langkah bagi melakukan ujikaji makmal.
Seawal abad ke-8 Masihi lagi Jabir telah berteori tentang penerbitan kehidupan buatan. Inilah konsep yang membawa pada pembuatan robot juga kecerdasaran buatan.
Masuk pada Islamisasi ilmu pengetahuan. Dinyatakan prosedur dua langkah seperti diangkat oleh pemikir besar kita Profesor Diraja Tan Sri Syed Naquib al-Attas seperti berikut :-
1. Mengasingkan elemen-elemen yang merosakkan daripada ilmu pengetahuan
2. Memasukkan konsep-konsep utama Islam lalu menjadikan ia 'ilmu pengetahuan benar'.
Sesungguhnya kerangka falsafah Barat dalam memanfaatkan teknologi sebegitu adalah bersifat utilitarianisma (memenuhi keperluan semasa semata-mata), berseronok dan materialisma (mengaut keuntungan dunia). Ini memenuhi kehendak bagi menjajah dan hegemoni (memegang kuasa mutlak). Perkara-perkara ini harus dikeluarkan daripada pengajian dan pembentukan teknologi di negara-negara Islam.
Dengan kerangka Islamisi ilmu pengetahuan teknologi boleh digunakan untuk memahami kesedaran manusia dan teori-teori tentang minda. Boleh juga menyelami makna "dua wahyu" iaitu dunia dan kitab. Rujuk artikel lama Kenapa ciptaan adalah wahyu : Mengimbau teori dua kitab. Dapat juga menilai kembali sistem-sistem ilmu pengetahuan. Sambil itu boleh meningkatkan industri-industri halal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan