Tadi tengah hari Ahad 19 Disember 2025 saya membawa isteri dan anak ke rumah seorang bapa saudara di Bukit Damansara.
Ada majlis hari jadi ke-80 bapa saudara.
Kami sampai lebih sejam selepas majlis bermula lalu mendapati ruangan telah dipenuhi saudara mara.
Ini adalah saudara mara daripada sebelah ibu saya. Tetapi ada juga daripada belah bapa saudara yang merupakan suami kepada adik ibu.
Yang berbaju biru itu adalah bapa saudara. Beliau adalah Datuk Dr Hamid Arshat pakar sakit puan terkenal tapi sudah beberapa tahun pencen. Sebetulnya beliau banyak membantu saya dalam pelbagai hal sehingga dewasa. Ketika lahir tak cukup bulan iaitu selepas 8 bulan dalam kandungan berlaku satu masalah kesihatan yang kalau tidak ditangani cepat boleh membawa maut. Menurut ceritanya, beliau yang ketika itu baru bergelar doktor dapat mengesan. Lalu dibawa ke hospital dan diambil tindakan. Yang keluarga cerita, saya kena tukar darah untuk menyelamatkan.
Beberapa tahun kebelakangan saya banyak bercerita tentang keluarga sebelah bapa yang merupakan keturunan pejuang Perak abad ke-19 Masihi, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Ini disebabkan pencarian sejarah saya lebih menjurus ke arah itu. Selain itu ada kes mahkamah 3 tahun kebelakangan yang membuat lebih keterlibatan dengan saudara mara belah situ. Lihat Perbicaraan hak faraid harta Laksamana Muhammad Amin dan hal-hal berkaitan.
Tapi saya sebenarnya banyak kali juga menyebut tentang keluarga belah ibu yang bapanya berdarah Bugis, dipercayai daripada keturunan Daeng Parani, ibunya berdarah Jawa, dipercayai daripada keturunan Sunan Gunung Jati. Malah sebelum mengeluarkan buku tentang keluarga belah bapa tahun 2023 (lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023) saya telah lebih awal mengeluarkan buku tentang keluarga belah ibu iaitu pada tahun 2011. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia diikuti Sneak peek "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah". Untuk makluman bapa saya anak sulung, begitu juga ibu. Saya adalah cucu sulung dalam kedua belah keluarga.
Cuma saya membesar bersama keluarga belah ibu di Muar iaitu sejak dilahirkan tahun 1970. Maka asalnya memang lebih rapat belah sana. Keluarga itu lebih mengidentifikasikan diri dengan ibu kepada ibu yang berdarah Jawa. Bila bercerita apa-apa selalu terbawa ke arah itu walau seorang pun tak pandai cakap Jawa. Seingat saya lama kemudian baru ambil tahu hal Bugis belah bapa kepada ibu.
Bapa saudara saya Dr Hamid pula memang pandai bercakap Jawa. Memang ibu bapanya Jawa, kampung di Parit Pinang Seribu memang rata-rata orang Jawa. Tapi tak sampai pada anak-anaknya, sepupu-sepupu saya. Mereka membesar di Kuala Lumpur kemudian menyambung pengajian di luar negara. Malah dua orang berkahwin bangsa luar.
Saya sendiri tidak pernah mengidentifasikan diri dengan belah mana-mana. Selepas memasuki umur 31 baru didorong oleh pelbagai alamat dan peristiwa untuk lebih mendekati keluarga belah bapa yang didapati berdarah Aceh-Bugis. Sejak itu lebih merasakan diri sebagai keturunan Aceh. Tetapi tidak sampai melupakan keluarga belah ibu yang berdarah Bugis-Jawa itu. Majlis hari jadi bapa saudara memberi peluang untuk kami berkumpul beramai-ramai lalu dapat membincangkan hal-hal keluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan