Sabtu, Disember 21, 2024

Pemahaman kerohanian dan falsafah yang tercermin dalam teknologi kecerdasan buatan

Pergi ke majlis ilmu kedua dihadiri  di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak siang tadi. Bersambung daripada Minda ketauhidan dan keummahan - Misi pendidikan Islam sejagat.



Selesai syarahan tentang ketauhidan berkejar pula ke bahagian lain kampus, satu bahagian yang belum pernah dijejaki sebelum ini iaitu di fakulti teknologi maklumat dan komunikasi UIA.




Ada wacana menarik yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Pemahaman Kerohanian dan Falsafah yang Tercermin dalam Teknologi Kecerdasan Buatan". Cuma tak dapat ikuti lebih awal kerana ketika dijadualkan bermula jam 10 pagi saya mengikuti  majlis tentang ketauhidan di auditorium utama UIA.




Sebagai seorang yang sudah mengenali terma "kecerdasan buatan" (artificial intelligence) sejak zaman sekolah rendah lagi tahun 1970an melalui pembacaan komik dan buku fiksyen sains juga seorang yang sudah belajar sendiri melalui bacaan cara membina perisian komputer sejak tahun 1982 (semasa Darjah Enam menggunakan komputer murah Sinclair ZX81 kemudian Sinclair Spectrum diikuti Apple II dan IBM) tentu saya tertarik dengan tajuk dan pengisian. Apalagi guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang kini juga adalah Rektor UIA dijadualkan memberikan ucaptama jam 11.30. Apapun ketika masuk ke bilik majlis jam 11.39 didapati komponen kedua majlis iaitu perkongsian tentang falsafah dalam kecerdasan buatan masih berlangsung.




Ketika itu pembicara, Profesor Dr Akram Mohammed Zeki dari fakulti itu sedang bercakap tentang teknologi blockchain yang mana maklumat seperti transaksi jual beli sesuatu (contoh daripada saya) boleh disimpan dalam bentuk blok data yang mengandungi ciri-ciri seperti sifat barangan, harga, nama penjual dan pembeli, tarikh dan waktu transaksi kemudian disambung dengan blok data transaksi seterusnya dan seterusnya secara berantai sehingga tidak boleh diubah atau dimanipulasikan sesiapa. Kerana ada semakan atau check and balance yang boleh dicapai semua orang. Teknik itu boleh dilihat ada dalam tradisi Islam yang mana sesuatu hadis ada rantaian penyampai dan isi lalu dapat disemak kesahihan pada setiap peringkat rantaian berdasarkan kredibiliti setiap penyampai.




Selepas itu baru dibawa isu-isu lain. Secara rata ia adalah tentang bagaimana kecerdasan buatan yang teknologinya semakin hari semakin meningkat boleh dimanfaatkan, namun boleh juga disalahgunakan.




Antaranya adalah soal cabaran etika. Misalnya menggunakan teknologi untuk peperangan, tentang kepalsuan yang boleh timbul apabila kecerdasaran buatan diharapkan sebagai sumber maklumat, tentang pekerjaan manusia yang boleh hilang disebabkan boleh digantikan..




Disebut pula tentang tingkat-tingkat perkembangan AI. Ya, singkatan ini lebih mudah untuk penceritaan. Memang begitupun ia dikenali umum walau dalam bahasa Melayu.




Dan perkembangan ini sangat terkait dengan rangkaian Internet. Kerana disebabkan keluasan capaian rangkaian jaringan sistem (ibarat sarang labah-labah, sebab itu selalu disebut sebagai The Web) di seluruh dunia berserta kecepatan membuat capaian AI dapat menelaah dan memproses begitu banyak maklumat dalam masa yang singkat, baik yang benar mahupun tidak lalu menerbitkan sesuatu daripada maklumat.




Tidak lama kemudian baru Osman memberikan ucaptama. Beliau memulakan dengan menyatakan jangan begitu terpesona dengan AI seperti halnya berlaku sekarang. Ia cuma bermula sebagai usaha untuk membuat komputer dapat meniru cara pemikiran manusia. Daripada bagaimana manusia dapat melihat objek dan persekitaran lalu menterjemahkannya menjadi bentuk simbolik dalam fikiran lalu membuat aturan seperti perbandingan, penggabungan dan sebagainya bagi menerbitkan maklumat baru (seperti "buah fikiran"). Daripada situ komputer yang semakin lama semakin meningkat kelajuan memproses maklumat dibantu perisian AI yang dapat belajar pantas dilihat boleh mengatasi begitu jauh kemampuan manusia biasa. Lalu Osman mengulangi sedikit daripada syarahan beliau tentang ketauhidan. Kata beliau minda yang terbaik adalah minda kenabian (prophetic mind). Lalu beliau percaya sehebat mana pun perkembangan teknologi AI tidak akan dapat mengatasi minda kenabian yang dipandu wahyu daripada Tuhan. 

Sebetulnya di sini ada satu pesanan besar bagi mereka yang faham. Pada saya, dalam keghairahan semua orang bercerita tentang bagaimana AI telah begitu maju lalu dijangka akan meningkat jauh lebih maju, sehingga dikatakan sudah boleh menulis tesis penuh PhD cuma berdasarkan beberapa penetapan awal (initial parameters), misalnya tajuk diikuti pernyataan permasalahan (problem statement), jangan terlupa pada kecerdasan sebenar yang boleh dicapai oleh manusia. Sesungguhnya manusia dijadikan sebagai khalifah supaya dapat memimpin segala makhluk termasuk AI. Kalau dapat menghampiri jika tidak pun mencapai minda kenabian, melalui peningkatan kesedaran hasil amalan-amalan kerohanian yang dapat mendekatkan diri kepada Tuhan maka kita boleh mencapai tahap ketinggian minda yang mengatasi AI. Ini kerana mendapat maklumat dan panduan terus daripada Tuhan. Soalnya bagaimana hendak mencapai tahap berkenaan? Sedangkan kalau sentiasa berharap pada AI seperti sudah berlaku pada sesetengah orang sehingga hendak membuat sekecil-kecil karangan pun harus minta tolong AI, minda sendiri akan menjadi lemah kerana selalu bertongkatkan kecerdasan buatan. Fahamkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan