Khamis, Disember 21, 2023

Dari Selangor ke Perak : Lengkap satu pusingan

Salam petang Khamis 8 Jamadil Akhir tahun 1445 Hijriah. Setelah 8 hari ia berlalu pergi kita pada hari ke-5 dan terakhir perjalanan baru Perak. Bersambung daripada Dari Selangor ke Perak : Lagi panggilan Ulu Kinta.



Awal pagi Rabu 13 Disember 2023. Keadaan waktu solat Subuh di masjid Batu 8, Ulu Kinta, Ipoh.



Asalnya mahu bermalam di masjid Tanjung Rambutan. Tetapi muncul hal tertentu menyebabkan beralih ke masjid Batu 8 lalu bersarapanlah di warung berdekatan.



Jam 7.50 bergerak kembali ke arah pusat bandar raya Ipoh.



Pun begitu, selepas jam 10 baru ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk mengikuti sesi perbicaraan tentang hartanah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah yang bersambung daripada sesi hari sebelumnya pagi Selasa 12 Disember. Seperti pada Selasa sesi Rabu 13 Disember juga selesai selepas jam 1 petang. Sekarang bolehlah dikongsikan perkembangan. Bahawa sesi penggulungan hujah semua peguam (ada 4 orang peguam memberikan hujah Selasa dan Rabu) sudah pun selesai.



Selepas ini cuma ada sesi menyerahkan salasilah ahli keluarga bagi setiap pihak terlibat mewakili anak-anak tertentu Laksamana Muhammad Amin dan keturunan kepada mahkamah pada 31 Januari 2024. Kemudian mahkamah akan memberikan keputusan perbicaraan pada 20 Februari. Gambar ini pula diambil di restoran "Nasi Vanggey" berdekatan. Sudah banyak kali lalu, baru hari sebelumnya ternampak lalu kali ini singgah makan.



Dengan selesainya urusan di mahkamah saya sudah boleh kembali ke rumah. Tetapi masuk ke pusat bandar raya...



Menjamakkan solat Zuhur dan Asar di Masjid Panglima Kinta.



Dekat jam 3 baru bergerak meninggalkan Ipoh.



Singgah di masjid lama Kampung Kepayang di Sungai Raya...



Di sini, sekitar jam 3.42 petang dapat mengkhatamkan bacaan Al-Quran bagi bulan Jamadil Awal, satu pencapaian unik dalam usaha peribadi untuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran pada setiap bulan Islam sejak lebih 2 tahun kebelakangan. Ini kerana usaha bagi bulan itu dimulakan di negeri Perak ketika mahu mengikuti sesi perbicaraan sebelumnya di Ipoh pada 15 November. Disebabkan bergerak pada malam sebelumnya lalu ketika itu juga masuk tarikh 1 Jamadil Awal maka bacaan bagi bulan itu dimulakan. Lihat Daripada bicara bab harta Laksamana ke bicara Pi Mai Tang Tu

Sama juga halnya ketika memulakan, bacaan tidak dirancang untuk dikhatamkan di Perak. Yang ada cuma usaha untuk melakukan sebelum masuk Maghrib 13 Disember lalu masuk bulan baru Jamadil Akhir. Kebetulan pada hari terakhir Jamadil Awal sedang berada di Perak, atas asbab sama iaitu bagi menghadiri sesi perbicaraan di mahkamah. Sungguh perkara ini tidak dirancang tetapi berlaku atas satu 'kebetulan' yang harus ada makna tersirat.



Dengan perbicaraan pula sudah lengkap penggulungan lalu menunggu masa sahaja untuk mendapatkan keputusan terasa seperti sudah lengkap satu pusingan. Pusingan apakah itu? Anggaplah sebagai selesai satu fasa kehidupan. Bahkan menulis tentangnya pada ketika ini (saya sedang berada di rumah ibu bapa di Muar, sejak sampai jam 1 pagi lebih Selasa 19 Disember) pun sudah terasa seperti dapat melengkapkan sesuatu...



Kembali pada hal perjalanan. Singgah di masjid ini yang artikel tentangnya iaitu Masjid (Mosque of) Jeram, Kampar menjadi yang ke-2,646 dblogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Sedangkan artikel yang anda sedang baca ini adalah yang ke-2,646 di CATATAN SI MERAH SILU. Sementara blogspot berbahasa Inggeris saya BERPETUALANG KE ACEH telah mencapai jumlah tersebut pada 23 November. Masjid ini ada disinggahi untuk bersolat Maghrib dan Isyak selepas meninggalkan Teluk Intan petang Isnin 11 Disember. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel Dari Selangor ke Perak : Antara bandar dan tapak kota lama Lumut.



Sebelum sampai ke bandar Kampar masuk sebentar ke kampung Kuala Dipang lalu singgah di masjid sana. Lihat Masjid (Mosque of) Kuala Dipang. Entah kenapa beberapa hari kebelakangan itu nama Kuala Dipang asyik bermain dalam fikiran. Itu yang terasa mesti singgah.



Dekat jam 7 baru sampai ke pekan Tanjung Malim lalu berhenti makan rojak.




Kemudian menjamakkan solat Maghrib dan Isyak di masjid jamek sana.



Sebelum sampai rumah masuk dahulu ke Bukit Sentosa dekat Bukit Beruntung lalu pekena roti canai dengan teh Massala. Tak banyak kedai ada hidangan teh berkenaan.



Sampai ke rumah jam 9.30 malam didapati meter bawah yang dikosongkan ketika memulakan perjalanan dengan pergi ke Shah Alam tengah hari Sabtu 9 Disember (lihat Dari Selangor ke Perak : Asbab bicara Laksamana) telah kosong kembali menandakan saya telah memandu lebih 1,000 km. Kali terakhir ada memandu kereta melebih jarak tersebut bagi satu pusingan perjalanan adalah ketika ke selatan tanah air pada musim raya Aidil Fitri lalu. Lihat Kompilasi cerita perjalanan selatan sempena cuti Aidil Fitri 2023. Dengan ini berakhirlah siri "Dari Selangor ke Perak". Oleh kerana tinggal 11 hari sahaja sebelum masuk tahun baru 2024 boleh dikatakan itu adalah perjalanan terakhir saya ke negeri kelahiran bapa bagi tahun 2023.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan