Rabu, November 22, 2023

Penyalahgunaan maklumat sejarah di media sosial - Bagaimana hendak menanganinya?

OK. Setelah masuk sedikit hal dunia pemikiran melalui artikel Antara dunia Melayu dan pemikiran ketamadunan Islam sejagat hampir 3 minggu lalu diikuti hal perjalanan dan acara dalam artikel Dari Muar 2 minggu lalu ke acara ke-23 HIKMAH di Tanjung Malim 2 hari lalu pada 9 hari lalu dan Daripada bicara bab harta Laksamana ke bicara Pi Mai Tang Tu pada 3 hari lalu beralih kita ke satu topik menarik yang harus menjadi perhatian semua peminat sejarah. Untuk penceritaan biar digunakan gambar-gambar yang diambil daripada Facebook ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).



Semalam, selepas mengambil jubah di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di Gombak bagi majlis konveksyen yang akan berlangsung tidak lama lagi saya ke kampus ISTAC di Bukit Tunku untuk menghadiri majlis ilmu seperti tertera dalam poster atas.



Sampai masanya selepas jam 2.30 petang majlis pun bermula dengan guru dan penyelia tesis saya di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar memperkenalkan lalu memberi mukadimah tentang majlis. Beliau adalah pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC. Majlis diadakan atas nama dan tajaan Kursi.



Difahamkan sebelum majlis ini berlangsung topik berkenaan telah dipilih kerana sejumlah sejarawan melihat ada individu-individu bergelar Profesor daripada universiti-universiti terkemuka di Malaysia telah membuat dakwaan melampau tentang asal usul orang Melayu dan pencapaiannya. Apabila diwar-warkan melalui media sosial masyarakat umum menerima tanpa soal malah disebarkan merata sehingga menjadi kepercayaan dan diperkatakan ramai. Walhal apa yang dinyatakan belum terbukti benar secara ilmiah. Namun Osman sekadar mengulas ringkas tajuk secara umum sebelum menyebut nama-nama ahli panelis. Kata beliau terpulanglah kepada mereka untuk menangani tajuk penyalahgunaan maklumat sejarah itu. 




Panelis pertama Prof Dr Dato' Ahmad Murad Merican, juga daripada ISTAC memberikan sejarah ringkas Tanah Melayu dan peristiwa-peristiwa berkenaan seperti Perang Dunia Kedua yang dilihat membawa kepada wacana-wacana melibatkan sejarah di media sosial. Beliau melihat wacana sebegitu menjadi aktif dalam tempoh dua dekad kebelakangan.  




Menurut beliau perkara pokok yang menimbulkan reaksi ramai adalah tentang memaknai Malaysia, bagaimana sebenarnya sifat negara dan warganya. Dalam menyatakan ini beliau melihat ada sejarah dipalsukan demi kepentingan pihak tertentu. Bahkan beliau secara terus terang menyatakan ada buku sejarah peringkat sekolah menengah yang sebenarnya berdiri atas sejarah palsu.




Kelihatan dalam gambar ini saya bertanjak duduk di satu hujung memberikan perhatian penuh terhadap majlis. Selalunya saya rajin mengambil gambar untuk mengisi dan memandu artikel dalam blogspot. Tetapi sejak kamera digital kesayangan bermasalah dah jarang ambil gambar.




Panelis kedua Prof Dr Syed Muhammad Khairudin Aljunied daripada Universiti Malaya pula menjadikan apa yang sedang berlaku di Gaza sebagai contoh pemalsuan sejarah. Israel sebagai pihak berkepentingan menggunakan segala cara termasuk menggunakan media sosial untuk memberikan gambaran bahawa negara Palestin 'sebenarnya' tidak pernah wujud. Dengan itu bolehlah diabsahkan usaha untuk menghapuskan bangsa Arab Palestin dengan pelbagai cara.




Panelis ketiga, Dr Shazwan Mokhtar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia melihat pelbagai wacana yang muncul tentang sejarah di media sosial adalah sesuatu yang bagus kerana menunjukkan ramai ingin ambil tahu tentang identiti diri dan kebenaran. Namun perlu dipantau apakah maklumat yang dikongsikan itu benar atau tidak? Kalau benar pula, apakah ia disampaikan dengan tujuan yang benar, atau diselewengkan, untuk mencari populariti misalnya?




Panelis keempat Dato' Dr Qassim Ahmad, mantan profesor di Universiti Sains Malaysia membawa persoalan kelayakan untuk membicarakan sejarah. Jika dalam bidang kedoktoran dan undang-undang misalnya harus ada kelulusan yang setimpal bagi melayakkan seorang itu menjadi perawat atau peguam bagaimana pula dalam bidang sejarah?




Selesai pusingan pertama perkongsian daripada para panelis Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmad Adam yang merupakan seorang hadirin terkenal dalam bidang sejarah diminta memberikan pandangan. Hasil itu dan perbincangan berikutnya banyak perkara telah dikongsikan dalam majlis. Antaranya, persoalan mitos lawan kebenaran, makna negara bangsa dan kesan definisinya terhadap Alam Melayu dan pensejarahannya. Saya sendiri mengambil peluang untuk berkongsi pemerhatian sejak aktif menulis di blogspot juga media sosial sejak tahun 2006. Saya melihat pelbagai wacana termasuk penyalahgunaan maklumat muncul akibat dua faktor besar. 

Satu adalah apabila pihak-pihak tertentu mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam seperti dinyatakan dalam perlembagaan. Atas alasan orang Melayu (kononnya) juga adalah pendatang seperti halnya orang Cina dan India di Malaysia. Kedua adalah berkenaan kisah-kisah akhir zaman seperti dinyatakan dalam hadis-hadis tertentu. Misalnya tentang kedatangan panji-panji hitam dari Timur. Ada melihat yang akan membawa panji-panji hitam itu adalah orang Melayu. Lalu muncullah pelbagai pendapat berkenaan sehingga ada yang menyalahgunakan maklumat sejarah. Untuk penerangan lanjut sila ikuti sendiri rakaman video di bawah...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan