Sabtu, Oktober 21, 2023

Teater "Tun Perak Penghulu Klang" di Panggung Bandaraya.

Daripada cerita perjalanan di Perak (lihat  Misi hartanah dan wacana Laksamana - Akhirnya terlaksana rancangan lebih 3 bulan lalu) beralih ke teater. Tetapi masih melibatkan nama Perak. Ia adalah tentang seorang tokoh besar Melayu yang hidup lebih 600 tahun lalu.



Sejak beberapa lama isteri saya dimaklumkan oleh pihak berkenaan bahawa mereka mahu mengadakan teater tentang tokoh zaman Kesultanan Melaka iaitu Tun Perak yang pernah menjadi Bendahara di bawah empat orang Sultan Melaka. Baru dalam 2-3 minggu lalu diberikan kepastian diikuti tarikh pementasan.



Pihak berkenaan adalah mereka yang bertanggungjawab membawa dua pementasan teater berkait yang kami hadiri sekitar 3 bulan lalu. Lihat Teater "Kasa Rubiah" di MATIC - Siapakah Rubiah itu? diikuti Teater "Waris Rubiah" di Panggung Bandaraya - Sejauh manakah kebenaran sejarahnya?.




Semalam, Jumaat malam Sabtu 20 Oktober 2023 saya bersama isteri pun membawa anak bagi pementasan malam pertama teater baru yang diberi tajuk "Tun Perak Penghulu Klang : Kebijakan yang Mengatasi Segalanya" di Panggung Bandaraya.







Alhamdulillah walaupun keluar sedikit lewat kami dapat sampai ketika teater baru diberikan pengenalan oleh mereka yang bertindak seperti pengacara.






Barisan pelakon dan mereka yang menjayakan boleh dikatakan sama seperti pada teater-teater 3 bulan lalu.




Format juga sama. Ada 7 babak diselangselikan dengan persembahan seperti tarian moden dan tarian tradisional.




Cerita dibuka tentang bagaimana seorang Bendahara keSultanan Melaka didapati mati atas sebab tertentu. Dengan itu naik Bendahara baru yang sangat membenci keluarga Bendahara lama. Pun begitu, anak Bendahara lama yang bernama Tun Kudu dinikahi Sultan. Sebaliknya adik Tun Kudu iaitu Tun Perak seperti terbuang dari bumi Melaka lalu keluar merantau bersama beberapa orang sahabat.







Dalam perantauan sampai ke Klang di mana mereka diterima baik penduduk. Ini disebabkan sifat elok berbudi bahasa Tun Perak selain ramai sudah sedia mengenali kerana selalu menemani almarhum Bendahara lama apabila bertandang ke Klang. Oleh kerana Penghulu Klang sudah tua dan uzur Tun Perak diminta mengambil alih tempatnya.








Seterusnya berlaku babak perlantikan Tun Perak dimaklumkan lalu diterima oleh Sultan Melaka. Kemudian datang utusan dari Siam datang membawa pesanan. Tunduk kepada kerajaan Siam atau diserang. Sultan memilih untuk melawan. Namun tiada pembesar dapat memberikan buah fikiran bagaimana hendak menghadapi serangan.






Timbul babak utusan dari Melaka datang ke Klang membawa titah agar orang Klang berkumpul di Melaka bagi membantu menghadapi serangan. Tun Perak menyuruh angkatan bersama isteri dan anak.







Tidak lama kemudian angkatan Siam pun datang hendak menyerang.







Namun dapat dikalahkan angkatan dari Klang kerana berjuang bersungguh-sungguh. Ini disebabkan lebih bersemangat kerana ada keluarga masing-masing perlu dijaga dan dipertahankan selain mereka memberikan sokongan.







Disebabkan kebijaksaan Tun Perak menyuruh angkatan membawa keluarga sehingga bersungguh-sungguh berjuang lalu kalah Siam beliau dijadikan Bentara di Melaka. Namun hal ini menimbulkan kecemburuan dan rasa terancam Bendahara baru serta seorang Bentara yang kuat menyokongnya. Ini adalah set up bagi teater akan datang yang mana nanti Tun Perak akan naik menjadi Bendahara. Tetapi itu untuk minggu hadapan. Sementara itu masih boleh menonton teater sekarang di Panggung Bandaraya iaitu di hadapan Dataran Merdeka pada hari ini Sabtu malam Ahad 21 Oktober juga Ahad malam Isnin 22 Oktober.  Ia adalah terbuka dan percuma kepada semua. Meh.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan