Jumaat, Oktober 20, 2023

Misi hartanah dan wacana Laksamana - Mem"Bawong" ke hulu daerah Kuala Kangsar

Salam petang Jumaat. Sukacita dimaklumkan bahawa saya baru sahaja kembali malam tadi daripada perjalanan baru di Perak. Namun ada beberapa acara mahu diikuti hari ini membawa ke hujung minggu lalu mahu dilepaskan cerita perjalanan secepat mungkin. Dengan itu biar dikongsikan kisah daripada hari ke-3 perjalanan. Untuk menjadikan ia cukup lengkap harus disediakan terlebih dahulu  8 buah artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 3 dblogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Bersambung daripada Misi hartanah dan wacana Laksamana - Dari Ulu Kinta ke hulu Sungai Siput.



Awal pagi Rabu 18 Oktober 2023. Keadaan ketika hendak menunaikan solat Subuh di masjid tempat menginap malam sebelumnya.




Ia terletak dalam satu pusat penempatan masyarakat Orang Asli bernama Bawong, ke hulu daerah Kuala Kangsar. Lihat Masjid (Mosque of) Bawong, Sungai Siput. Bawong adalah pusat setempat yang menyediakan kemudahan moden Orang Asli bagi kampung-kampung sekitar sehingga berpuluh kilometer lagi ke pendalaman. 




Nama Bawong mengikatkan pada sayuran bawang.  Selalu orang sebut membawang yang membawa makna bercerita gosip macam-macam. Sebab dalam gotong royong kenduri orang selalu buat sambil potong bawang. Kiranya saya pula datang hendak mem"Bawong".

Menariknya talian Internet cukup bagus di situ. Selepas membaca beberapa muka surat Al Quran saya pun menyemak beberapa perkara atas talian. Dalam masjid inilah ditulis dan dipersembahkan artikel pertama siri iaitu Misi hartanah dan wacana Laksamana - Panggilan tak dirancang ke Tanjung Rambutan dua hari lalu. Ketika itulah baru menyedari saya secara rasmi telah menjadi graduan Master daripada ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) seperti dinyatakan dalam artikel.




Hampir jam 11 baru keluar melihat persekitaran lalu bersarapan pagi lambat. Lihat The Orang Asli centre called Bawong.




Perjalanan diteruskan ke arah timur untuk masuk lebih jauh ke pendalaman hulu daerah Kuala Kangsar.




Melihat papan tanda ada tertera nama Pos Poi teringat pernah mengikuti konvoi kereta lasak 4x4 masuk ke dalam hutan sekitar malah lebih jauh hingga ke Grik di utara mengikut jalan balak hampir 30 tahun. Ketika itu tidak ada jalan tar juga kemudahan. Lihat artikel lama Kenangan 4x4 tahun 1997.



Kali ini mahu ke arah timur. Dan memang pun jalan elok adalah ke arah situ, kalau ke utara tadi katanya masuk jalan tanah tidak berturap. Terlihat satu bahagian memberikan pemandangan terbuka bukit bukau dan gunung ganang berhenti untuk mengambil gambar. Lihat Hills and mountains from the east of Bawong. Tempat-tempat yang pernah dijejaki hampir 30 tahun lalu harus ke arah tengah gambar.




Sesekali terlihat sungai begitu cantik dari atas jalan. 




Di satu bahagian berhenti untuk melihat lebih dekat. Lihat A scenic river after Pos Legap.




Sampai ke simpang ini apakah mahu terus ke timur atau ambil kanan ke arah selatan?




Ikut rancangan asal  cuma mahu ke air terjun Lata Penyel lagi kira-kira 6 km lagi ke arah timur.




Tetapi timbul rasa untuk melihat Kuala Mu 17 km ke selatan.




Cuma laluannya banyak pendakian yang agak mencabar enjin kereta.




Namun amat berbaloi pergi. Tempatnya begitu cantik dan mendamaikan. Dan seperti di Bawong talian Internet juga cukup   bagus. Dapatlah menghabis bacaan juz ketiga Al-Quran sebelum menyemak lagi perkara-perkara atas talian. Lihat artikel-artikel berikut :-








Kemudian baru ke Lata Penyel dan kampung Orang Asli berdekatan.  Lihat artikel-artikel berikut :-









Selepas itu berkejar ke bandar diraja Kuala Kangsar...






Sampai ke Bukit Chandan selepas masuk waktu Maghrib terus menziarahi makam Laksamana Muhammad Amin di kawasan pemakaman diraja Perak. Untuk makluman  ini adalah artikel ke-2,444 di blogspot  CATATAN SI MERAH SILU.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan