Rabu, September 27, 2023

Kenapa kena rajin menulis?

Salam semua. Sedikit coretan mengambil keberkatan masuknya tarikh Hijriah 12 Rabiual Awal malam ini, tarikh Maulidur Rasul. 

اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ 



Petang semalam Selasa 26 September 2023 saya mendapati ada surat berdaftar sampai dialamatkan kepada isteri di rumah. Adapun isteri pergi berkursus di Port Dickson bermula petang Ahad 24 September dan saya bersama anak bongsu menghantarnya ke sana. Apabila isteri kembali malam semalam menumpang kawan barulah dibuka surat berdaftar. Entah-entah surat saman kata isteri? Ini kerana baru beberapa hari lalu mendapati melalui telefon bimbit bahawa ada saman JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) baru masuk melibatkan kereta Kenari kami yang didaftarkan atas nama beliau. Sebelum itu tiada. Isteri baru 3 minggu lebih mendaftar masuk ke sistem atas talian JPJ bagi memperbaharui lesen kenderaan.




Tengok-tengok memang betul surat saman. Jika dahulu, berdasarkan maklumat dalam JPJ, kami cuma boleh meneka bila pula tak pasal-pasal kena saman ni? Katanya sebab langgar lampu merah. Ah. Kat mana pula? Bila dapat surat baru tahu di satu jalan di Ipoh pada 24 Ogos. Saya terus menyemak simpanan gambar-gambar untuk memastikan apakah ada ke Ipoh lalu apa dibuat pada tarikh tersebut.




Tengok-tengok saya tidak ada mengambil apa-apa gambar antara tarikh 21 hingga 24 Ogos. Yang tahu pada hari Sabtu 19 Ogos ada pergi ke Ipoh dan balik keesokannya. Lihat artikel Antara Perak 6-9 ke Muar 26 Ogos. Lima hari kemudian bergerak ke Sendayan dekat Seremban sebelum ke Muar. Lihat Asbab pertanyaan ibu. Bagaimana boleh berada di Ipoh pada 24 Ogos seperti dinyatakan dalam surat saman?




Dalam keadaan terkial-kial cuba mencari-cari lagi apakah yang sebenarnya dilakukan pada tarikh tersebut baru isteri tersedar. Ia adalah pada 24 Ogos 2022 bukan 2023. Kali baru dapat membuat semakan yang tepat. Ya. Memang saya berada di Ipoh pada hari itu. Ada sesi perbicaraan melibatkan harta Laksamana Muhammad Amin di Mekah. Pada ketika masa yang dicatatkan melakukan kesalahan sesi sudah selesai. Saya mahu ke Batu Gajah untuk menghantar seorang bapa saudara ke rumah iparnya. Lihat Misi Laksamana part IV - Dari Ipoh ke Batu Gajah membawa ke Kota Bharu Perak




Ya. Rekod-rekod gambar dalam simpanan menunjukkan memang saya ada mengambil jalan berkenaan pada waktu yang dinyatakan. Cuma seburuk-buruk diri pun tahu bukan perangai saya melanggar lampu merah sebegitu rupa. Melihat pada kedudukan kereta-kereta dalam gambar besar kemungkinan saya sedang mengejar bibit-bibit akhir lampu hijau atau lampu kuning. Apabila didapati naik lampu merah, saya membrek secara mengejut tetapi sudah terlajak melepasi garisan putih. Keadaan ini dapat dibuktikan dengan lampu brek merah menyala terserlah dalam gambar.

Pun begitu timbul persoalan. Sebaik sahaja mendaftar ke sistem atas talian JPJ 3 minggu lebih lalu isteri menyemak jika ada saman. Nampaknya tiada. Beberapa hari lalu baru timbul dalam sistem. Dan ia sebenarnya adalah saman bagi kesilapan yang dibuat lebih setahun lalu. Kenapa begitu? Adakah kerajaan (atau lebih tepat pentadbiran) sekarang begitu terdesak nak cari dan pakai duit? Kelihatannya memang begitu. Baru-baru ini banyak timbul kes saman, dibuat sekatan jalan macam-macam sehingga ada laporan mengatakan lebih 3,000 motosikal telah disita. Nampak seperti memang betul-betul terdesak nak 'cekau' duit.

Salah ke membuat telahan sebegitu? Teringat beberapa tahun lalu. Ketika pihak yang sedang mentadbir sekarang sebahagian besar adalah pihak pembangkang. Mereka ini yang galak berkempen kalau dapat surat saman trafik jangan bayar. Peguam-peguam yang menyokong mereka mengatakan cukup faham selok belok undang-undang lalu mengatakan keluarnya saman berkenaan belum dapat membuktikan kesalahan. Mereka-mereka inilah yang sibuk berkempen mengatakan pertadbiran ketika itu sedang mencari duit untuk dipakai bagi perbelanjaan pilihan raya. Tu yang sibuk hendak keluarkan saman merata.

Jadi bagaimana pula pentadbiran sekarang? Dahulu sibuk kata pentadbiran selain mereka tidak bertimbang rasa sedangkan mereka mendapat begitu banyak ruang untuk menyatakan bangkangan sehingga hampir setiap waktu ada sahaja demonstrasi jalanan. Sekarang, nampak begitu galak hendak menutup ruang bagi orang lain menyatakan ketidakpuasan hati atau menyampaikan berita yang tidak berpihak kepada mereka. Sekarang mereka pula yang nampaknya sanggup menggali kesalahan lama, sehingga keluarlah surat saman yang saya dan isteri baru terima.

Antara pelajaran atau hikmah yang dapat ditimba daripada episod ini terutama bagi seorang penulis seperti saya adalah jangan berhenti menulis. Kena selalu rajin mencatatkan apa yang berlaku walau tak semua boleh atau mahu dikongsikan kepada umum. Cukuplah supaya dengan membaca suatu tulisan lama dapat terus timbul ingatan suatu peristiwa walau yang diceritakan adalah peristiwa lain 2-3 hari sebelum atau selepas itu. Jangan sampai terkial-kial hendak mencari apakah yang dilakukan pada 24 Ogos hingga boleh disaman itu. Tetapi ia sebenarnya berlaku lebih setahun lalu.




Atas keinsafan ini biar dinyatakan bahawa 2 hari lepas saya baru menerima surat menyatakan telah diterima menjadi ahli Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) cawangan Perak. Surat bertarikh 11 September iaitu 2 minggu sebelum itu. Sedangkan permohonan dibuat pada 1 September. Selain dinyatakan dalam surat ia ada dalam rekod hubungan WhatsApp dengan pihak berkenaan yang mencadangkan agar masuk persatuan. Walhal sudah lebih 10 tahun saya selalu ke majlis-majlis anjuran atau melibatkan PSM pusat di Lembah Klang. Baru kini tergerak hendak masuk persatuan, kerana faktor keturunan di Perak.




Sedikit barangan yang diterima bersama pengesahan dan penerimaan permohonan. Untuk pengetahuan saya pernah diundang PSM untuk berkongsi ilmu dan pengalaman di ibu pejabat mereka, Wisma Sejarah berdekatan Perpustakaan Negara. Lihat artikel lama Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah. Sejarawan tersohor tanah air, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali yang sudah dikenali sekalian lama lalu sudi memberikan kata-kata aluan bagi buku terbaru saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai adalah pengarang kehormat dan felo PSM. Beliau bertanggungjawab melancarkan buku pada 13 Mei 2023 kemudian terlibat dalam bual bicara berkenaan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Lihat artikel-artikel berikut :-









Lagi satu perkara mahu dikongsikan malam ini adalah sekembalinya isteri dari kursus di Port Dickson malam semalam baru dibuka bungkusan-bungkusan baju Laksamana yang diambil daripada pihak pencetak 3 hari lalu. Oh. Sebelum itu biar dikongsikan 3 buah artikel yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi, dua melibatkan isteri ketika hendak menghantar ke tempat kursus, ketiga dilakukan pagi semalam dekat kawasan rumah di Sungai Buaya :-









Gambar tadi dan ini diambil siang tadi. Semalam,seperti beberapa hari sebelumnya, di celah aktiviti-aktivi lain, saya sangat sibuk dengan kerja-kerja pembetulan akhir tesis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Tadi baru timbul rasa untuk melihat betul-betul rupa baju. 

Baju ini mengunakan bulat-bulat reka bentuk kulit depan dan belakang buku Laksamana. Ia sebenarnya telah ditempah lebih sebulan lalu. Buat masa ini ia adalah untuk keluarga terdekat sahaja. Tetapi tempahan boleh dibuka kepada sesiapa sahaja yang berminat. Harganya RM55 bagi lengan pendek, RM60 bagi lengan panjang. Mari. :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan