Isnin, Ogos 28, 2023

Sedikit kajian di Perpustakaan Negara 15-16 Ogos

Dalam artikel Aktiviti antara perjalanan Perak 6-9 Ogos hingga ke Muar 26 Ogos ada dinyatakan saya ada ke Perpustakaan Negara untuk membuat sedikit kajian. Sekarang biar dikongsikan cerita berkenaan.



Disebabkan isteri bekerja tetap lalu pada hari-hari tertentu mesti berada di pejabat setiap minggu sementara saya bekerja sendiri dari rumah kami ada membuat aturan bagi menguruskan anak pergi balik sekolah. Jikalau saya perlu ke luar kawasan biarlah pada hari isteri dibenarkan bekerja dari rumah lalu dapat menguruskan anak. Begitulah persefahaman yang telah diatur sejak anak pertama kami bersama (kami masing-masing ada anak-anak lebih tuah daripada perkahwinan terdahulu) masuk sekolah rendah 9 tahun lalu. 



Selasa merupakan satu hari yang mana isteri dibenarkan bekerja dari rumah. Rabu perlu masuk ke pejabat, biasanya di ibu pejabat di Shah Alam, tetapi kadangkala boleh ke cawangan di Setapak atau di Rawang. Adapun sejak 2 minggu kebelakangan timbul rasa saya harus ke Perpustakaan Negara untuk membuat sedikit kajian. Namun disebabkan kesibukan pelbagai hal ini baru dapat dilaksanakan pada petang Selasa 15 Ogos 2023.




Gambar pertama iaitu paling atas diambil di surau perpustakaan jam 2.40 petang, di paras 11 kalau tak salah. Sebaik sahaja sampai saya menunaikan solat kemudian membaca beberapa muka surat Al Quran bagi mengejar kuota habis satu juz sehari. Gambar kedua diambil di paras 6 kalau tak salah. Saya mahu mencari buku peta lama bagi melihat di manakah punca Sungai Bidor. Untuk pengetahuan Sungai Sungkai dan Sungai Batang Padang (yang mengalir di Tapah) masuk ke Sungai Bidor. Sungai Bidor pula masuk ke Sungai Perak di Teluk Intan. Kawasan kualanya menjadi pusat pemerintahan Laksamana sejak 300 tahun lalu.

Minat untuk mengenal pasti kedudukan punca sungai adalah rentetan daripada persinggahan ke belah sana yang dibuat petang Selasa 8 Ogos. Lihat Antara perpustakaan dan mahkamah - Menyumbang buku dari Ipoh ke hulu Bidor. Selepas itu baru ke bahagian buku umum di paras 7. Gambar ketiga iaitu di atas adalah daripada buku yang tajuknya dipaparkan. Ia merujuk kepada seorang pegawai British bernama Pickering yang memegang jawatan Protector of Chinese iaitu pelindung orang Cina di Tanah Melayu.

Bayangkan boleh wujud jawatan sebegitu rupa di Tanah Melayu. Sebab apa? Cukuplah dikatakan British memang ada agenda untuk mengangkat para pendatang dari Cina supaya dapat melebihi orang Melayu juga melemahkan Islam demi kepentingan mereka. Tetapi kita orang Melayu pula dituduh asyik mahu bertongkat di bawah DEB (Dasar Ekonomi Baru). Padahal polisi itu terbit selepas peristiwa berdarah pergaduhan kaum tahun 1969 akibat kepincangan yang telah menyaksikan pendatang berbangsa Cina dan keturunan dapat menguasai ekonomi bermula seabad sebelum itu padahal semua punca kekayaan termasuk lombong-lombong bijih timah di Perak adalah asalnya milik orang Melayu. British mengambil alih kesemuanya lalu membantu malah menyerahkan sebahagian aset kepada pendatang dan mereka-mereka yang dapat membantu menaikkan kepentingan mereka.




Seterusnya saya mencari buku yang kelihatan. Isi buku sudah dikaji bagi mencari jejak datuk kepada datuk saya, Orang Kaya Muhammad Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Lihat Misi keluarga Laksamana dan mencari jejak melalui dokumentasi lama. Kalau rajin membaca buku-buku sebegini insyaallah boleh datang langkah-langkah yang dilakukan British bagi menghilangkan penguasaan orang Melayu terhadap Tanah Melayu. Namun mereka pandai berselindung di sebalik slogan mahu membawa kemajuan lalu mengajar anak tempatan cara pentadbiran yang betul.



Tidak dinafikan memang mereka ada membawa kebaikan kerana diakui sistem pentadbiran kerajaan mereka yang sudah menjadi empayar yang menguasai banyak belahan dunia memang lebih maju. Tetapi itu semua untuk sebenarnya demi kepentingan mereka, antaranya bagi mendapatkan bahan mentah untuk menyokong perkembangan industri yang sedang pesat berlaku di tanah air mereka juga sebahagian besar Eropah. Apapun, walaupun sudah membaca buku seperti catatan Birch yang merupakan Residen pertama British ke Perak saya perlu membuat ulang kaji serta penelitian tambahan. Ini adalah sebagai persediaan bagi apa yang dirancangkan mahu dilakukan bagi menaikkan nama Laksamana Muhammad Amin dan buku berkenaan yang saya tulis, pada masa-masa mendatang. 




Tiba-tiba muncul pengkaji sejarah muda Arif Sukor lalu mengajak untuk bergambar. Berasal dari Muar beliau sudah beberapa tahun bertugas sebagai leftenan tentera darat di Sarawak. Dia ke Kuala Lumpur kerana menyertai satu acara. Kata beliau kemudian hendak membuat kajian di Arkib Negara. Tetapi apabila mendapati sudah suntuk masa pergilah ke perpustakaan yang terletak lebih dekat dengan Mindef iaitu pejabat Kementerian Pertahanan.




Kalau ikutkan rancangan asal selepas perpustakaan tutup jam 5 petang harus kembali ke rumah supaya dapat menguruskan anak. Kemudian isteri memberitahu muncul satu kelapangan menyebabkan saya boleh berada di luar kawasan sehingga Rabu malam Khamis. Dengan itu ada lebih ruang masa untuk menyambung kajian hari Rabu. Timbul gerak untuk ke Chow Kit pekena mee Aceh selepas perpustakaan tutup petang Selasa. 



Selepas itu berjalan-jalan di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Lalu di sekitar Lebuh Ambang ternampak kedai makan ini. Yang faham faham le...




Asalnya saya bercadang untuk bersenam di Tasik Titiwangsa tidak jauh dari perpustakaan. Timbul pula rasa untuk ke bangunan PNB 118, bangunan setinggi 679 meter yang masih belum siap sepenuhnya.




Selepas menukar ke pakaian bersukan timbul rasa untuk berjalan sambil bersenam melalui jalan di sebelah.




Jalan ini sebenarnya merupakan laluan asal utama untuk ke Stadium Merdeka. Tetapi bahagian sekeliling telah ditutup akibat kerja-kerja pembinaan.




Tengok-tengok jalan bersambung ke arah selatan. Dahulu tiada. Nampaknya sebahagian daripada rangkaian pembinaan yang terkait dengan PNB 118.




Saya pun berjalan kaki menyusuri sebelum membelok ke arah Chinatown kemudian mengarah balik ke PNB 118.




Pagi Rabu 16 Ogos. Selepas bermalam di rumah kawan di Hartamas pergi ke bahagian lain Chow Kit untuk menikmati hidangan mee lontong pecal.




Hidangan ini agak istimewa. Selepas itu pekena teh telur, teh panas yang 'ditarik' dengan telur mentah sehingga menjadi masak...




Selepas itu baru bersenam di Taman Tasik Titiwangsa. Saya keluar pagi itu siap berpakaian sukan.




Selepas mandi lalu bersalin pakaian di masjid berdekatan pekena pula nasi kukus ayam.




Selepas itu baru menyambung kajian di perpustakaan. Cukuplah cerita bagi melepaskan gerak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan