Ahad, Mei 14, 2023

Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Persediaan dalam kegelisahan

Salam semua. Adapun  Sabtu baru ini 13 Mei 2023 bersamaan 22 Syawal 1444 Hijriah telah diadakan majlis pelancaran buku terbaru saya "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai" berserta majlis rumah terbuka. Setelah kurang rasa penat akibat segala macam persediaan yang perlu dilakukan bagi menjayakan majlis baru boleh mula berkongsi cerita...


Sekadar bagi mengingati turutan perkara. Usaha penulisan buku ada disebut di celah artikel-artikel lain sejak lebih setengah tahun lalu tetapi cuma diwar-warkan secara khusus apabila kemajuan penulisan sampai satu peringkat yang terasa cukup meyakinkan. Lalu terbitlah artikel Buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad" sedia untuk tempahan pada 10 Februari lalu. Dikongsikanlah beberapa muka surat pilihan daripada deraf kedua buku yang siap petang itu.

Rancangan untuk mengadakan majlis pada tarikh 13 Mei juga telah difikirkan sejak lebih setengah tahun lalu. Ini adalah setelah mendapat tahu bahawa datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arsyad bin Laksamana Muhammad Amin berkahwin dengan isterinya Hajah Halijah binti Haji Musa pada tarikh tersebut tahun 1875. Kemudian apabila disemak kalendar didapati 13 Mei 2023 jatuh pada hari Sabtu 22 Syawal 1444 Hijriah. Memang sesuai sangat untuk  mengadakan majlis. Soalnya apakah sempat menerbitkan buku sebelum tarikh tersebut?

Apabila deraf terakhir siap berserta reka bentuk kulit buku lalu dapat dihantar ke kilang cetak pada 13 April baru berani mewar-warkan insyaallah majlis akan diadakan pada 13 Mei. Ini ada dinyatakan dalam artikel Buku Laksamana Muhammad Amin dan Orang Kaya Arsyad dah masuk kilang hari itu. Namun hakikatnya sampai hampir tarikh saya dilanda kegelisahan menunggu bilakah buku siap. Ini kerana belum mendapat berita yang pasti daripada kilang cetak. 

Petang 12 Mei, selepas selesai menunaikan solat Jumaat kemudian menghantar anak ke sekolah agama saya pun bergegas ke kilang di Batu Caves. Seorang kawan lama zaman kolej datang kemudian untuk bertemu di sana. Ini kerana beliau ada rancangan untuk menerbitkan buku sendiri lalu meminta saya menunjukkan selok perkara. 

Setelah beberapa lama menunggu saya diminta melihat sendiri perkembangan cetakan di bahagian berkenaan kilang. Ketika itu sudah jam 3.30 petang. Tengok-tengok buku masih tak siap. Sedangkan majlis pelancaran mahu diadakan kurang 20 jam lagi. Adus...



Gambar ini diambil jam  6.30. Alhamdulillah baru dapat buku siap.



Dapat juga jumlah yang diminta bagi kegunaan majlis. Lega sungguh rasa. Tapi itu urusan buku. Sedangkan banyak lagi persiapan perlu dilakukan bagi menjayakan majlis.




Gambar ini dan seterusnya diambil sekitar jam 8.21 pagi Sabtu 13 Mei.







Kawasan kebun di seberang rumah baru sahaja dipotong rumput petang Jumaat, ketika masih menunggu buku siap di kilang.




Sebelum itu saya telah membersihkan garaj dan menyusun apa yang patut.




Sejak beberapa lama garaj dan kebun tidak terurus. Ini kerana hilang semangat akibat beberapa batang pokok tercabut hingga ke akar diterjah angin seperti puting beliung menyebabkan sebuah pondok yang dibina sendiri serta sebuah rumah pokok musnah.




Beberapa hari kebelakangan telah digunakan untuk membersihkan dan mengatur isi rumah dan halaman termasuk pondok di hadapan.





Sambil itu dilanda kegelisahan bilakah buku siap. Beberapa hari itu cuma dapat tidur ayam...




Sekali lagi, lega amat rasa apabila buku siap lalu sejumlah dapat dibawa kembali ke rumah. Pagi selepas Subuh baru mengatur tikar, meja, kerusi dan sebagainya khas bagi majlis.




Semua ini dilakukan dalam keadaan penat tak cukup rehat, susah nak tidur dan tekanan macam-macam.



Sambil itu isteri bertungkus lumus memasak dan menyediakan juadah seorang diri. Jam 5 pagi baru ada kelapangan untuk melelapkan sedikit mata. Sebelum jam 8 sudah kembali ke dapur...



Begitulah kami suami isteri.



Kami sudah beberapa kali mengadakan majlis di rumah sehingga boleh menampung lebih 100 orang tetamu tanpa bantuan orang lain.



Itu belum campur sekian banyak majlis yang dianjurkan atas nama NGO HIKMAH. Lihat  Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)..







Cuma selalunya majlis di rumah kami bermula paling cepat tengah hari.



Kali ini mahu dimulakan pagi kerana saya dijadualkan menghantar anak yang belajar di tahfiz di Janda Baik kembali ke asrama sebelum waktu Maghrib.



Selepas selesai membuat atur cara dan mewar-warkannya baru mendapat kebenaran untuk menghantar anak selepas Maghrib.






Dengan itu kami sudah bersedia untuk menerima tetamu seawal jam 8.30 pagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan