Selasa, Mei 09, 2023

Dari Ipoh ke Teluk Intan ke pendalaman Sungkai - Satu misi berkenaan keluarga Laksamana Perak

Salam petang Selasa 18 Syawal. Adapun seminggu lalu saya telah membuat satu perjalanan kecil ke Perak. Ketika itu penat perjalanan ke selatan seperti diceritakan dalam artikel Kompilasi cerita perjalanan selatan sempena cuti Aidil Fitri 2023 masih amat terasa. Tetapi perjalanan harus dilakukan dan penceritaan ini menyusul demi kesinambungan gerak. Untuk itu telah disediakan terlebih dahulu 3 buah artikel sokongan dblogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 7 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Pagi Selasa 2 Mei 2023 bersamaan 11 Syawal 1444 Hijriah. Selepas menghantar anak ke sekolah iaitu hari pertama kembali setelah cuti panjang sempena musim raya Aidil Fitri campur cuti Hari Buruh 1 Mei perjalanan baru ke Perak pun dimulakan.




Seperti diceritakan dalam Iktikaf hujung Ramadhan 2023 dan selamat hari raya lebih 2 minggu lalu juga Misi keluarga Laksamana dan mencari jejak melalui dokumentasi lama penghujung tahun lalu perjalanan berlaku atas asbab mahu menghadiri perbicaraan berkenaan harta Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah. Kali ini terus bergerak ke Ipoh melalui Lebuh Raya Utara Selatan. 




Perjalanan dilakukan dalam keadaan baru Isnin itu memulakan Puasa Enam. Dengan melakukan secara berturut boleh dapat sekali manfaat puasa sunat Isnin dan Khamis juga Puasa Putih iaitu tarikh 13, 14 15 haribulan Islam yang kebetulan Syawal ini jatuh pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.



Penatnya boleh dikatakan bertimpa kerana perjalanan ke selatan yang meliputi tempoh masa 9 hari 9 malam dan jarak perjalanan lebih 1,300 km pun baru Jumaat malam Sabtu itu selesai. Namun alhamdulillah didapati amat berbaloi hadir kerana perbicaraan hari itu semakin menunjukkan kebenaran bagi pihak kami. Pihak lawan pula kelihatan semakin kalut kerana tidak berjaya memanipulasikan kami agar mengikut naratif palsu cerita yang mereka rancang.



Perbicaraan yang bermula jam 10.10 pagi itu ditangguhkan jam 12.15 tengah mari. Selepas itu saya bergerak ke arah Bota. Kali ini mengambil sedikit masa untuk berpusing-pusing di Seri Iskandar lalu singgah di sebuah masjid sana. Lihat Masjid (Mosque of) Bandar Universiti, Seri Iskandar.




Kurang sebulan lalu, dalam perjalanan selepas sesi perbicaraan terdahulu saya juga mengambil jalan yang sama dari Ipoh. Tetapi kali ini baru ada masa untuk menziarahi sejumlah makam utama berdekatan laluan.




Dahulu jadi terkejar kerana mahu berbuka puasa di sekitar Teluk Intan. Sedangkan banyak masa telah dihabiskan di Ipoh, dekat jam 5.40 petang baru meninggalkan persekitaran.  Lihat Iktikaf hujung Ramadhan 2023 - Dari mahkamah ke Batak Rabit.




Kali ini dapatlah ke makam-makam Sultan Muzaffar Syah I, II dan III yang mewakili tiga fasa besar sejarah Kesultanan Perak.



Cuma laluan dari arah utara membuatkan sampai dahulu ke makan Sultan Muzaffar Syah III kemudian baru Muzaffar II diikuti Muzaffar I.




Sultan Muzaffar Syah III yang merupakan Sultan ke-13 Perak, bertakhta (1728-1754) adalah orang yang bertanggungjawab mengangkat moyang saya, Nakhoda Hitam @ Tok Kuala Bidor menjadi Laksamana Raja Mahkota Perak. Muzaffar II dihantar dari Aceh untuk menjadi Sultan ke-10 (1636 - 1653) sementara Muzaffar I adalah Sultan pertama Perak (1528-1549), anakanda Sultan terakhir Melaka iaitu Sultan Mahmud Syah (mangkat di Kampar, Sumatera 1528).







Sampai di Teluk Intan bertemu beberapa orang saudara yang sama-sama berada di Ipoh pagi itu lalu berhari raya di beberapa rumah sanak saudara. Ziarah sekali makam kaum kerabat di masjid warisan keluarga di Batak Rabit.




Malam itu saya beriktikaf di sebuah masjid di Sungkai. Lihat Masjid Jamek (Main mosque of) Sungkai. Awal pagi Rabu 3 Mei bersamaan 12 Syawal selepas solat Subuh bergerak masuk ke kawasan pendalaman yang dikenali sebagai Jernang. 



Ikut rancangan asal selepas bersahur pagi itu harus kembali rumah supaya boleh menghantar anak ke sekolah sementara isteri ke pejabat. Tengok-tengok isteri sanggup menghantar. Maka cuma perlu mengambil anak kembali dari sekolah jam 1.30.




Kemudian isteri memberitahu rupa-rupanya anak ada program kokurilum yang selesai jam 3 petang. Dapatlah lebih banyak masa lalu dapat dilihat beberapa tempat di sekitar pendalaman Sungkai. Lihat artikel-artikel berikut :-













Kewujudan Jernang di bahagian hulu Sungai Sungkai masuk ke Banjaran Titiwangsa ini baru disedari dalam perjalanan Perak terdahulu penghujung Ramadhan. Namun baru kini bersempatan untuk melihatnya. Peta atas adalah lakaran lebih kurang jangkauan perjalanan di pendalaman. 



Jam 1 petang baru meninggalkan negeri Perak melalui pekan Tanjung Malim. Walaupun sekadar perjalanan kecil meliputi tempoh masa 2 hari 1 malam ia menjangkau jarak pemanduan lebih 500 km. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,393 di CATATAN SI MERAH SILU.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan