Khamis, Januari 19, 2023

Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Menutup melalui Perak

Sampai masanya untuk menutup proses penceritaan yang telah berlangsung lebih 2 minggu kebelakangan. Pergi kita pada hari ke-9 dan terakhir perjalanan selatan Thailand baru ini. Bersambung daripada Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Memenuhi hajat sebelum diangkut ke sempadan.



Awal pagi Jumaat 30 Disember 2022. Keadaan di masjid di Lawin, Perak tempat kami anak beranak bermalam sejurus sebelum solat Subuh berjemaah.




Alhamdulillah tempatnya cukup selesa.




Inilah masjidnya. Lihat artikel Masjid (Mosque of) An-Nur, Lawin  dblogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Ini pula keadaan kereta kami. Lihat 'mata' kirinya tiada, 'rongak' nampak bateri.




Kenapa boleh jadi begitu sudah diceritakan cukup terperinci. Ikuti urutan perkara melalui artikel-artikel berikut :-










Disebabkan hak keretalah maka kami  mengambil laluan yang sedang dilihat ini.




Sampai di Tasik Raban berhenti untuk bersarapan. Lihat Breakfast at a nice spot at Tasik Raban di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Kalau tidak kerana keadaan kereta begitu tentu malam itu kami menginap di hotel yang sudah ditempah dan dibayar awal di Kota Bahru. Tentu pagi Jumaat kami berjalan-jalan di Kelantan. Selepas itu sama ada masuk ke negeri Pahang melalui Gua Musang atau melalui Terengganu.



Menurut rancangan asal pada hari Jumaat malam Sabtu kami sama ada akan menginap di sekitar Bentong atau di Kuantan sebelum menghantar seorang anak masuk kembali ke asrama sekolah tahfiz di Janda Baik pada petang Sabtu 31 Disember. Selepas itu baru kembali ke rumah di Bandar Sungai Buaya. Oh, gambar ini diambil ketika meter kereta menunjukkan nombor 555.5. Ia menunjukkan ia telah dipandu sejauh 1,555 km sejak meninggal rumah pada pagi Khamis 22 Disember.



Ketika gambar meter diambil harus sekitar Lubuk Merbau di Kuala Kangsar. Selepas itu terus menuju ke tol masuk Lebuh Raya PLUS.




Terus mengambil lebuh raya. Tidak ada lagi singgah di mana-mana kerana anak-anak mahu sampai ke rumah cepat disebabkan keadaan kereta.




Keadaan kereta itulah yang membuatkan kami bertukar rancangan lalu masuk kembali ke Malaysia melalui Bukit Bunga supaya boleh cepat sampai ke rumah melalui negeri Perak.




Tetapi kerana lampu pula didapati bermasalah selain gear (seperti telah diceritakan dalam artikel-artikel sebelum ini) maka terpaksa bermalam di Lawin. Kalau tidak malam itu juga harus kembali ke rumah.




Semua ini ada sebab. Seperti ada kena mengena dengan hakikat bahawa perjalanan dimulakan pagi Khamis 22 Disember dengan membuat persinggahan di Teluk Intan kerana ada mesyuarat keluarga keturunan Laksaman Raja Mahkota Perak. Lihat Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Mukadimah di Perak dan Kedah.




Disebabkan keadaan kereta membuat anak-anak mahu cepat kembali ke rumah dan saya sendiri pun tidak mahu mengambil risiko kalau singgah di mana-mana timbul kerana kereta tidak boleh diundurkan akibat masalah gear maka Lebuh Raya PLUS menjadi pilihan.



Kalau tidak harus saya akan mengambil jalan lama kerana sukakan suasana melalui bandar-bandar kecil, pekan dan kampung orang.




Maka dengan mengambil terus Lebuh Raya PLUS itu lalulah di tempat di mana kereta yang sedang dipandu itu pernah tersadai akibat rosak teruk dalam perjalanan ke selatan Thailand penghujung 2019. Lihat artikel lama Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Manusia merancang Allah SWT jua menentukan diikuti Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Antara minyak enjin bocor meleleh dengan bandar raya Ipoh. Sesungguhnya perjalanan penghujung 2022 ini dibuat untuk melengkapkan apa yang kurang dan tidak dapat dibuat dalam perjalanan penghujung 2019. Tentang apa yang kurang dan perlu dilengkapkan itu akan diterangkan sedikit dalam artikel kompilasi kemudian.




Sekarang biar dinyatakan sedikit penghargaan terhadap beberapa individu yang ada disebut dalam cerita-cerita sebelum ini tetapi tidak dinyatakan nama. Pertama kepada kawan kami tuan Nik Rakib yang dahulu adalah pensyarah universiti di Patani yang kini telah bersara lalu menetap di Bacho, Narathiwat. Di rumahnyalah kami bermalam sebelum beliau membawa ke Masjid Wadi Hussein dan Pondok Sala Anak Ayam seperti diceritakan dalam artikel Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Memenuhi hajat sebelum diangkut ke sempadan.




Ketika kereta kami menghadapi masalah sebelum sampai ke bandar Patani beliaulah yang dihubungi. Lalu dipanjangkan kepada kawannya Zawawi yang masih mengajar di universiti sana. Zawawi inilah yang mengatur untuk mendapatkan mekanik seperti diceritakan dalam artikel. Kemudian esoknya terserempak tanpa dirancang di tengah bandar lalu beliau membawa ke bengkel. Lihat Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Berjimba di Patani walau kereta rosak.



Rupa-rupanya Zawawi inilah yang pernah membawa kami berjalan ke tempat-tempat bersejarah dengan keretanya dalam lawatan awal tahun 2018. Lihat artikel lama Jejak Wasilah Patani - Bersyarah di Prince of Songkla University sebelum menjejak makam-makam bersejarah di sekitar wilayah. Kemudian di bengkel pula dia tanpa dipinta memohon bayaran bagi membaiki masalah enjin dikurangkan lalu diberikan boleh tahan banyak.




Seterusnya penghargaan harus diberikan kepada mekanik Abe Mat. Beliau dapat menyelesaikan masalah enjin tetapi tidak masalah gear akibat kekangan masa dan ketiadaan alat ganti. Walaupun berlaku kemalangan di bengkel beliau cuba sebaik mungkin untuk memperbaiki. Selain itu beliau menghantar kami ke rumah Nik Rakib dengan van mewah yang turut membawa ke tempat-tempat persinggahan secara percuma seperti diceritakan dalam artikel Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : 'Teguran Tok Pasai' sebelum meneruskan ke Narathiwat, dipandu oleh adik iparnya bernama Saudi. Esoknya Abe Mat mengambil kami lalu menghantar sekali kereta hingga sampai ke sempadan, juga secara percuma,  diikuti Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Memenuhi hajat sebelum diangkut ke sempadan.




Kami sampai ke rumah sebelum jam 9.30 pagi. Sempatlah menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan. Meter kereta menunjukkan ia sudah dipandu sejaruh 1,758 km. Ini adalah termasuk sekitar 9 km isteri membawa anak-anak ke tengah bandar Teluk Intan dan kembali ketika saya bermesyuarat bersama saudara mara pada pagi Khamis 22 Disember seperti diceritakan dalam Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Mukadimah di Perak dan Kedah

Namun ini adalah bagi perjalanan dengan kereta sahaja sedangkan kami ada membuat perjalanan dengan kenderaan lain semasa kereta berada di bengkel dan sebelum ia dapat digunakan kembali. Perjalanan pusing-pusing di bandar Patani pada hari  Selasa 27 Disember termasuk ke bengkel seperti diceritakan dalam Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Berjimba di Patani walau kereta rosak walau tidak begitu jauh harus memakan jarak 12 km. Esoknya pagi Rabu 28 Disember seperti diceritakan dalam Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : 'Teguran Tok Pasai' sebelum meneruskan ke Narathiwat saya ke bengkel seorang diri sebelum di bawa ke makam-makam lalu kembali ke hotel. Ini mencapai jarak sekitar 37 km. 

Kemudian dari hotel pergi ke rumah Nik Rakib dengan van mewah sambil membuat beberapa persinggahan. Ini memakan jarak 80 km. Seterusnya adalah perjalanan ke Masjid Wadi Hussein diikuti ke Pondok Sala Anak Ayam seperti diceritakan dalam Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Memenuhi hajat sebelum diangkut ke sempadan. Pergi balik ke rumah Nik Rakib ia memakan jarak 40 km. Kemudian ke sempadan dalam kereta atas pick up. Itu adalah lagi 100 km.

Nah. Campurkan jarak-jarak iaitu 12 km + 37 km + 80 km + 40 km + 100 km = 269 km. Campurkan dengan jarak pemanduan kereta iaitu 1,758 km jadilah 2,027 km. Cukuplah cerita. Semoga perkongsian ini menghiburkan juga memberikan faedah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan