Khamis, Disember 22, 2022

Misi keluarga Laksamana dan mencari jejak melalui dokumentasi lama

Salam. Adapun saya telah memulakan satu perjalanan jauh sejak pagi tadi, perjalanan penutup saya dan keluarga bagi tahun 2022. Perjalanan ini dijangka akan meliputi jarak tidak kurang 2,000 km. Sekarang baru sekitar 400 km. Sebelum pergi lebih jauh biar diberikan 'buah tangan' berupa satu artikel kompilasi yang mengandungi beberapa lagi artikel kompilasi. Untuk pengetahuan, artikel ini juga menutup satu rentetan peristiwa pada tahun ini.


Sudah diberitahu beberapa kali bahawa sejak beberapa bulan kebelakangan saya aktif terlibat dengan hal tuntutan harta pusaka, atau lebih tepat tuntutan pampasan terhadap tanah moyang kepada datuk saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah. Ia merujuk pada tanah yang setakat diketahui ada dua lot berdekatan Masjidil Haram. Ini menjadikannya antara tanah yang harus diambil alih oleh kerajaan Arab Saudi kerana mahu membesarkan bangunan dan persekitaran masjid. Projek berkenaan dimulakan tahun 2008 lalu semua pemilik tanah yang terkesan mahu diberikan pampasan. 

Hal ini membuatkan saya telah beberapa kali turun naik Perak terutama ke Mahkamah Tinggi Syariah di Ipoh untuk mengikuti perbicaraan berkenaan. Seperti biasa dalam perjalanan pergi dan balik saya mengambil peluang untuk singgah ke banyak tempat terutama yang terkait dengan jejak nenek moyang. Perbicaraan berlaku kerana ada cabang-cabang lain keluarga besar telah memulakan proses tuntutan pampasan sejak beberapa tahun lalu tanpa memberitahu yang lain. Apabila kami dapat tahu lalu mahu masuk bersama mereka menolak atas alasan cuma keluarga belah mereka sahaja layak. Yang lain tidak kerana didakwa datang daripada keturunan anak-anak Muhammad Amin yang meninggal lebih awal daripada bapa mereka.

Termasuk yang ditolak adalah keluarga besar saya iaitu daripada belah Orang Kaya Muhammad Arshad bin Laksamana Muhammad Amin dan anak cucu adinda seibu sebapanya Aminah. Hal ini menuntut saya untuk membuat banyak kajian kepustakaan seperti meneliti dokumen-dokumen asli lama zaman British berusia lebih seabad selain melihat batu-batu nesan untuk menunjukkan dakwaan mereka tidak benar. Malah didapati ada antara pihak mereka yang sebenarnya tidak layak. Apabila diselidik dengan lebih mendalam didapati ada yang sudah lama diterima sebagai anak Laksamana Muhammad Amin tetapi dokumen-dokumen asli zaman British menyatakan beliau lahir pada tahun 1907 sedangkan Laksamana meninggal dunia pada tahun 1904. Bagaimana boleh menjadi anak Laksamana lalu mewarisi gelaran dan harta? Nampaknya orang tersebut cuma anak balu Laksamana iaitu isteri bongsu melalui perkahwinan kemudian.

Namun bukan mudah hendak mendedahkan ini dalam keadaan ramai pihak berkepentingan telah 'dipasak' sana sini menurut kelaziman tuntutan kehidupan berpolitik yang pentingkan keduniaan, bukan kebenaran. Kes mahkamah pula kelihatan mengambil banyak masa lagi untuk selesai. Itu baru untuk mendapatkan hak  ke atas pampasan, belum lagi proses bagi mendapatkan pampasan. 

Tak mengapa. Sampai masanya kebenaran akan terserlah jua lalu yang bathil akan gugur dengan sendirinya. Di sini biar dikumpulkan artikel-artikel berkenaan yang telah ditulis untuk berkongsi pelbagai hal tentang perkara. Ia terbahagi kepada dua bahagian, satu lebih pada perjalanan, satu lagi lebih pada kajian seperti berikut...


Tentang perjalanan-perjalanan berkenaan (setiap satu pautan mengandungi sehingga 50 buah artikel) :-






6. Misi keluarga Laksamana part VI

7. Misi keluarga Laksamana part VII


Tentang kajian kepustakaan :-

1. Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British 

2. Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part II 

4. Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part IV 

5. Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part V

6. Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part VI

7. Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part VII


Rabu, Disember 21, 2022

Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part VII

OK. Pada penghujung artikel sebelum ini iaitu Celoteh tentang aktiviti 9 hari kebelakangan dan signifikan nombor 13 yang dipersembahkan lebih seminggu lalu ada dinyatakan bahawa pada Selasa minggu lalu 13 Disember saya sepatutnya ke Ipoh lagi supaya dapat mengikut mesyuarat keluarga Laksamana pada malamnya dan perbicaraan berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah pada pagi Rabu 14 Disember. Tapi tak jadi pergi kerana perlu menjimatkan belanja dan tenaga untuk satu perjalanan jauh akan datang. Selain itu harus dibuat beberapa persediaan kerana perjalanan adalah di luar negara selepas 3 tahun tidak keluar Malaysia. Sekarang biar dilepaskan satu cerita yang boleh dikatakan ada kena mengena juga...



Dalam tempoh seminggu lebih  kebelakangan itu saya dan keluarga harus ke Kuala Kubu Baru dua kali untuk urusan memperbaharui paspot. Pertama untuk saya, isteri dan anak bongsu. Kedua untuk anak laki-laki yang belajar di ma'ahad di Janda Baik, selepas mengambil beliau yang dilepaskan bercuti baru Sabtu lalu 17 Disember.



Adapun dalam tempoh masa itu juga saya bercadang untuk membuat satu lagi sesi kajian kepustakaan melibatkan keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak di Perpustakaan Negara. Cuma kelapangan baru muncul tadi pagi Rabu 21 Disember atas asbab mahu keluar ke Kuala Lumpur sekali bersama isteri dan empat orang anak. Isteri perlu melakukan kerja berdekatan Tasik Titiwangsa sedangkan anak-anak mahu keluar berjalan-jalan tengok wayang dan macam-macam.




Selepas menghantar mereka ke tempat-tempat sepatutnya saya pun ke perpustakaan.




Terus menuju dahulu ke bahagian manuskrip tingkat 11...



Selepas itu ke tingkat 8 lalu tergerak pula untuk mengkaji beberapa bacaan...



















Selepas itu baru ke tingkat 7 yang merupakan dewan bacaan umum.




Berehat sat di satu sudut kegemaran. Sebetulnya saya sedang amat penat kerana dua hari kebelakangan kurang tidur akibat datang gerak menulis berpanjangan yang tidak boleh ditolak ke tepi. Kalau tolak takut ilham dan gerak tersangkut lagi. Oh, saya telah memulakan penulisan buku baru iaitu tentang Laksamana Muhammad Amin dan anaknya Orang Kaya Arshad pada 1 September. Ia kini telah mencapai 429 muka surat.




Berehat pun dalam 5 minit sahaja. Kemudian terus menyambung pengajian melibatkan Laksamana dan anaknya itu.




Buku-buku yang dipilih sudah dikaji sebelum ini.




Cuma kali ini ingin dibuat semakan terhadap apa yang telah ditulis dalam buku terbaru yang sedang diusahakan itu berdasarkan rujukan-rujukan yang kelihatan.



Cukuplah perkongsian ini bagi menjadikan ia artikel ke-7 atas nama "Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British". Lepas satu gerak supaya dapat memulakan perjalanan tidak lama lagi dalam keadaan lebih lapang.