Rabu, Jun 22, 2022

Kerohanian Islam, keSufian dan percambahan saintifik

Masih berkisar tentang majlis ilmu. Kiranya menyambung gerak penulisan daripada artikel Ilmu jiwa daripada sudut pandang Al-Ghazali - Kefahaman Al-Ghazali tentang kesihatan dan penyakit jiwa.



Poster ini menunjukkan satu Webinar ilmu anjuran CENTRIS (Pusat Islamisasi), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM, singkatan dalam bahasa Inggeris IIUM). Tajuk Webinar dalam bahasa Inggeris ini boleh diterjemahkan menjadi "Kerohanian Islam, keSufian dan Percambahan Saintifik". Objektifnya disenaraikan seperti berikut :-


1. Menghuraikan hubungan antara kerohanian Islam dengan disiplin-disiplin intelektual seperti terpakai pada sarjana silam Islam.

2. Meneroka sinergi antara kerohanian Islam, keSufian dan percambahan saintifik untuk mencari kemungkinan yang saling menyokong.

3. Mendalami warisan disiplin kerohanian Islam, pendidikan dan usaha-usaha nenek moyang kita, dan mengambil pelajaran daripada kekayaan warisan itu.

4. Menyiasat cara-cara untuk membawa warisan kerohanian Islam, intelektual dan saintifik menjadi relevan dan praktikal bagi abad ke 21 Masihi.



Para pembicara adalah :-


1. Dr Wan Mohd Azam bin Mohd Amin, Profesor Madya di KIRKHS (Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusian), UIAM.

2. Dr Suleyman Derin, Profesor dalam bidang Tasawuf di Marmara Universiti, Turki,

3. Dato' Hamidon bin Abdul Hamid, KIRKHS, UIAM

4. Dr Waleed Fekry, Profesor dan timbalan dekan di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), UIAM




Majlis berlangsung petang semalam jam 2.15 hingga hampir jam 5 waktu Malaysia. Menurut poster ia dibuka oleh Prof. Dr Akmal Khuzairy bin Abd. Rahman, pengarah CENTRIS. Tajuk-tajuk yang dibawa adalah (saya terjemahkan ke dalam bahasa Malaysia) :-


1. Kerohanian Islam, KeSufian dan Disiplin-dispilin Islam Intelektual Sarjana Islam Zaman Lampau - Prof Dr. Wan Mohd Azam Mohd Amin

2. KeSufian dan Percambahan Saintifik : Satu Kesalingan Berbisa Zaman-Zaman KeIslaman? - Prof Dr. Suleyman Derin

3. Pendidikan Kerohanian, Disiplin Kerohanian & Usaha-usaha Saintifik : Tauladan daripada Warisan kita - Dato' Hamidon bin Abdul Hamid

4. Menjadikan Kerohanian Islamik Relevan dalam Kebangkitan Revolusi Industri yang ke 4 dan ke-5 : Pendekatan Praktikal - Prof. Dr. Waleed Fekry





Namun apabila sampai waktunya yang membuka adalah orang lain iaitu Dr Nur Jannah Hassan dari KIRKHS. Beliau adalah pengacara majlis. Selepas Nur Jannah memberikan pengenalan baru Akhmal Khuzairy memberikan kata-kata aluan. Secara rata beliau mahu apa yang dibincangkan dapat diterapkan ke dalam pendidikan demi menjadikan manusia betul-betul insan, dalam konteks apa yang dipanggil sebagai humanising education (saya lihat boleh diterjemahkan sebagai menginsankan pendidikan).




Saya tidak mahu mengulas panjang kecuali menyatakan tajuk Webinar itu sendiri sudah cukup menarik, diikuti tajuk-tajuk yang dikemukakan setiap pembentang. Secara peribadi membincangkan ilmu Sufi atau Tasawuf dalam konteks zaman sekarang itu sendiri sesuatu yang menyemarakkan minda juga kebatinan. Menarik antaranya kerana saya tahu dalam kalangan intelektual Islam boleh tahan ramai yang menolak keSufian dan Tasawuf. Tiba-tiba dapat mendengar perbincangan yang mencerahkan, termasuk daripada seorang Profesor dalam bidang Tasawuf dari Turki. 

Sila ikuti sendiri majlis melalui video atas. Oh. Webinar betul-betul bermula pada minit ke-32: 25 video...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan