Rabu, Februari 02, 2022

Perjalanan kecil ke Raub awal 2022 - Melepaskan rindu pada arwah Nenek

Salam malam Khamis 1 Rejab 1443 Hijriah. Itulah tarikh Islam yang ditunjukkan dalam kalendar saya walaupun ada mengatakan Rabu siang tadi sudah 1 Rejab, malam ini masuk 2 Rejab. Apapun sampai masanya untuk melengkapkan gerak penulisan yang dimulakan melalui artikel Majlis Maulidur Rasul yang membawa pada pembelian pedang dan sekitarnya jam 2.17 petang tadi. Sebelum itu biar diberitahu selepas mempersembahkan artikel seterusnya iaitu Al-kisah pedang dan perjalanan menyusuri Sungai Langat jam 3.49 saya telah membuat 3 artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang tidak ada kena mengena dengan mana-mana artikel baru di CATATAN MERAH SILU. Namun gerak penulisan memerlukan saya mempersembahkannya sebelum menulis artikel ini. Lihat :-


1. Destruction caused by unusual rain and wind at my garden

2. Selangor river close to Bukit Beruntung

3. Views from the highest building in Bukit Beruntung and around






Adapun petang semalam Selasa 1 Februari 2022 saya dan keluarga selamat kembali dari satu perjalanan di Raub. Sejumlah perkara menarik telah berlaku selain mengambil beberapa laluan yang tidak pernah diambil sebelum ini. Sayangnya timbul pula masalah pada kamera menyebabkan saya tidak dapat mengambil sebanyak gambar yang suka... 


Perjalanan berkenaan sendiri bermula sebelum jam 9.30 pagi Isnin 31 Januari. Destinasi kami adalah rumah arwah Nenek di Raub, Pahang. 




Sebetulnya kami merancang mahu ke sana sebelum Hari Krismas 25 Disember tahun lalu iaitu selepas puas berjalan di Pantai Timur. Namun disebabkan keadaan yang mana banyak jalan ditutup di negeri Pahang akibat banjir dan tanah runtuh kami mengubah rancangan dengan kembali ke rumah melalui Grik di Perak, bukan Gua Musang di Kelantan yang laluannya membawa ke Raub. Rujuk Kompilasi cerita perjalanan Pantai Timur penghujung 2021.




Kali terakhir kami ke rumah Nenek adalah pada awal bulan Julai 2020. Lihat KKB-Fraser-Raub-JB dan sedikit luahan rasa. Maka itu sudah dekat 2 tahun juga tak singgah. 




Kali terakhir bermalam pula nampaknya adalah pada bulan Oktober 2015. Inilah berdasarkan cerita dalam artikel Melangsaikan 'hutang' Raub demi kelangsungan buku yang dibuat sejurus selepas itu.




Tadi saya telah mengambil masa untuk meneliti sejumlah artikel lama tetapi tidak berjaya menemui apa-apa catatan yang menunjukkan saya ada menginap selepas tahun 2015. Yang ingat ada singgah sekurang-kurangnya sekali pada tahun 2018, begitu juga halnya pada tahun 2019. Walaupun sudah lupa butiran kenapa perjalanan dibuat dan sebagainya saya ingat ada menyerahkan buku ke-11 dan ke-12 saya yang diterbitkan secara berkembar awal tahun 2018 (rujuk Pelancaran rasmi buku berkembar Nabi Adam dan Benua Tua Melayu di kedai buku Khazanah Fathaniyah) kepada ibu saudara yang menetap di rumah Nenek. Begitu juga halnya bagi buku ke-13 yang terbit selepas pertengahan tahun 2019 (rujuk Ulasan buku KEMBARA EROPAH 1995 dalam akhbar Berita Harian). 



Besar kemungkinan persinggahan berlaku dalam perjalanan ke Kelantan atau kembali dari situ. Nak pastikan kena ambil masa lagi meneliti lain-lain artikel lama. Dari rumah kami ke Sungai Choh lalu mengambil Rawang Bypass ke arah selatan menuju ke Selayang. Selepas itu masuk lebuh raya MRRII di Batu Caves untuk ke Lebuh Raya Karak. 




Biasanya kami akan lalu bandar Bentong selepas Lebuh Raya Karak tapi kali ini mengelak melalui jalan baru yang dipanggil sebagai Central Spine Road (CSP). Ia bakal menghubungkan hingga ke Kota Bahru di Kelantan sambil mengelak bandar-bandar yang perlu direntas melalui jalan lama.  Cuma setakat ini ia baru siap hingga ke satu tempat sebelum Lurah Bilut lalu perlu masuk kembali ke jalan lama sebelum Raub.



Pun begitu dapatlah mengelakkan kesesakan yang biasanya mengambil banyak masa di sekitar Bentong lalu sampai ke Raub sekitar jam 11.40. Terlihat satu jalan menaiki bukit tergerak untuk mengambilnya sehingga ke puncak. Ada sebuah rumah lama menarik daripada zaman British yang seingat saya belum pernah disinggahi sebelum ini. Lihat artikel Views from a hilltop colonial house in Raub.



Oh. Perjalanan ini dibuat mengambil kesempatan atas cuti umum Tahun Baru Cina pada hari Selasa dan Rabu 1-2 Februari. Cuma isteri turut mendapat cuti kerja 31 Januari maka bergeraklah kami pada hari itu. Kalau ikutkan kami boleh bergerak seawal petang Jumaat 29 Januari tetapi tidak mahu terperangkap dengan kesesakan jalan raya. Ini akibat ramai mahu pula ke kampung pada waktu itu juga pada hari Sabtu membawa ke awal hari Ahad...



Satu lagi tujuan kami ke Raub adalah kerana mahu menikmati hidangan gulai asam rong ikan keli yang digemari di sebuah kedai tertentu. Ketika hendak mengambil gambar hidangan didapati kamera digital saya rosak tidak boleh fokus. Nak tak nak terpaksa gunakan kamera telefon bimbit. Sedangkan saya tak suka begitu kecuali bagi mengambil sekeping dua gambar bagi suatu masa.



Gambar isteri dan anak-anak berhadapan dengan hidangan kegemaran kami yang sudah lama tidak dirasai. Saya selalunya cuma mengambil gambar dengan telefon bimbit jika mahu diletakkan ke dalam Facebook.




Untuk persinggahan ke tempat seterusnya saya tentu akan mengambil banyak gambar jika kamera masih elok berfungsi. Ini kerana kami pergi buat pertama kali ke rumah seorang kawan berpangkat adik di Dong. Di sebelah rumahnya terdapat bangunan kayu tempat suluk tinggalan moyangnya. Gambar ini diambil dari tingkat atas yang seperti sebuah menara. Cukuplah syarat ada satu gambar. 




Di tempat persinggahan seterusnya di Kuala Atok kami menemui pula seorang kawan dalam dunia persilatan yang umurnya hampir seperti bapa. Seperti kawan tadi ini juga kali pertama kami ke rumahnya. Di sini saya tidak mengambil langsung apa-apa gambar. Nasib baik isteri ambil beberapa. Bolehlah dikongsikan satu ini. Setelah lebih sejam di situ baru ke makam Nenek menghampiri bandar Raub melalui satu laluan yang tidak pernah diambil sebelum ini. Banyak tempat dan bangunan kayu menarik dapat dilihat dalam perjalanan itu. Tetapi tanpa kamera digital yang bukan telefon bimbit saya tiada mood untuk mengambil gambar.




Malam itu kami sekeluarga dapat bermalam di rumah arwah Nenek setelah beberapa tahun tidak berbuat begitu. Selain bertemu ibu saudara yang menetap di rumah iaitu Mak Uda bersama suaminya dapat berjumpa adik bongsu bapa iaitu Mak Cu dan anak-anaknya di rumah berdekatan sebelum mereka bertolak ke Temerloh selepas Maghrib. Gambar ini pula diambil di halaman rumah baru Pak Ngah saya di atas sebuah bukit. Rumah masih dalam pembinaan... saya rasa boleh siap dalam tempoh 2-3 bulan lagi insyaallah. Yang pasti lokasinya memberikan pemandangan menarik. 




Atas asbab menziarahi Pak Ngah dapat juga berjumpa dua orang sepupu iaitu anak-anak lelaki beliau yang sudah lama tidak ditemui. Mereka yang sudah lama menetap di Lembah Klang kembali bercuti lalu menolong Pak Ngah menyiapkan rumah juga mengerjakan kebun di sebelah. Dari Raub kami kembali ke rumah sendiri di Sungai Buaya, Rawayang melalui jalan ke Bukit Fraser membawa ke Kuala Kubu Baru. Singgah mandi sungai, jeram dan air terjun di Pertak sebelum makan tengah hari di Kuala Kubu.


Lakaran laluan keseluruhan perjalanan menunjukkan jarak 308 km. Tetapi ada butiran tidak ditunjukkan lalu jarak sebenar melebihi 310 km.


Sebagai mengakhiri cerita biar ditunjukkan gambar pedang daripada artikel Menyelesaikan bab Perak : Mencari pedang warisan di satu ceruk Selangor? yang ditulis November 2010. Artikel dan gambar pedang ditemui ketika hendak mencari bilakah kali terakhir ada bermalam di rumah arwah Nenek. Dalam artikel iaitu di bawah gambar ada disebut bahawa pedang ini paling mirip dengan yang dilihat dalam satu mimpi tahun 2007. Rujuk ceritanya berkenaan dalam artikel itu. Cuma ia adalah barangan diraja Perlis. Apa kena mengena pula dengan saya yang berdarah Aceh-Bugis-Perak?



Ini pula gambar pedang yang baru dimiliki 3 minggu lalu, pedang yang ditunjukkan dalam artikel Semangat pedang bagi tahun 2022. Telah dinyatakan dalam artikel itu bahawa inilah yang paling mirip dengan pedang dalam mimpi tahun 2007 sekurang-kurangnya setakat waktu ini. Yang pasti ia bertelinga seperti dalam mimpi. Lengkuknya agak sama dengan pedang yang ditunjukkan di atas tadi. Lebih meyakinkan ia terasa begitu serasi setelah 'ditimbang' dan 'dirasa'. Semoga ia menjadi pelengkap hak diri lalu zahirlah seterusnya apa yang sepatutnya buat saya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan