Sabtu, Mac 27, 2021

Kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - Terlajak lebih 370 km selepas menghantar isteri lama

Salam petang Sabtu 13 Sya'aban. Masuk penceritaan sebenar perjalanan. Bersambung daripada artikel Kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - Sedikit latar belakang.


Sudah disebut dalam artikel sebelum ini bahawa ketika perjalanan berlaku isteri lama sedang bertugas sebagai guru di Changkat Lada. Seingat saya sekitar 6 bulan selepas bernikah pada penghujung tahun 1999 baru ditukarkan ke Kuala Lumpur seperti yang diminta. Oleh itu perjalanan harus berlaku pada separuh pertama tahun 2000. Tetapi tak ingat langsung suasana ketika menghantar isteri kembali ke Changkat Lada dari KL. Yang ingat adalah beberapa hal seterusnya. 

Oh. Lagi satu perkara baru teringat. Ketika itu saya sedang menyewa rumah teres di Jalan Limau Manis, Bangsar bersama kawan-kawan. Letaknya sekitar 2 km ke tempat bekerja iaitu ibu pejabat akhbar The New Straits Times dan kumpulannya di Jalan Riong. Seharusnya dari situlah kami bergerak  ke Changkat Lada. Tak ingat ikut mana tetapi kesukaan saya kalau tidak perlu mengejar masa adalah mengikut jalan lama.



Oleh itu harus lebih kurang beginilah laluan yang diambil pada suatu hari yang tidak ingat bila itu. Boleh tahan jauh tetapi cukup selesa dengan motosikal besar. Walaupun terdapat jalan ke Kampung Gajah kemudian Changkat Lada dari Tapah saya biasa ikut Bidor ke Teluk Intan kemudian naik ke Kampung Gajah. Laluan ini lebih menghampiri Sungai Perak lalu digemari.


Close up peta. Lihat bagaimana laluan mendekati Sungai Perak, sungai kedua terpanjang di Semenanjung iaitu selepas Sungai Pahang. Ketika itu belum lagi zaman saya hendak mengenali asal usul keturunan (yang membentuk cita rasa kebanyakan penulisan sejak blogspot ini dibuka tahun 2006). Walau tahu ayah berasal dari Perak tidak nampak lagi bagaimana sungai berkenaan sebenarnya sangat relevan dengan diri dan perjalanan hidup. 


Yang tahu memang suka dan tertarik dengan sungai. Laluan dari Kampung Gajah ke Changkat Lada ada menyeberang Sungai Perak dengan jambatan. Ia adalah jambatan kedua menyeberangi sungai terbesar di pantai barat Semenanjung ini dari arah hilir. Pertama adalah dekat Hutan Melintang, beberapa kilometer ke barat Teluk Intan. 

Gambar atas menunjukkan Sungai Perak dari atas jambatan dekat Kampung Gajah. Gambar diambil menggunakan kemudahan Street View di Google Map. Walaupun sudah banyak kali mengambil laluan berkenaan saya tidak dapat menemui gambar yang diambil sendiri. Padahal terdapat lebih 50 buah artikel menunjukkan pemandangan Sungai Perak dari pelbagai tempat dan sudut telah dibuat menggunakan gambar-gambar yang diambil sendiri lalu diletakkan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH

Hal serupa turut dibuat pada lebih 30 lagi sungai yang kelihatan signifikan besar dan panjang di seluruh Semenanjung. Ini boleh lihat melalui ratusan pautan, entah lebih yang telah dikumpulkan atas nama "Kesukaan pada sungai" di bahagian kanan bawah blogspot ini. Pada yang melihat dalam telefon bimbit sila masuk "View web version" untuk mendapatkan paparan berkenaan. Terdapat beribu gambar sungai boleh dilihat melalui pautan yang disenaraikan.


Selepas menghantar isteri hingga ke rumah sewa berdekatan sekolah saya berpatah balik ke arah Kampung Gajah lalu menaiki jambatan sama. Tiba-tiba timbul rasa untuk menyusur sungai ke arah hulu dengan motosikal besar. Fikirnya cukup setakat sampai ke Bota Kanan sekitar 24 km ke utara Kampung Gajah. Selepas itu bolehlah kembali ke KL. 


Dah sampai Bota terasa belum puas lalu meneruskan perjalanan lagi 17 km untuk sampai ke Parit. Oh tiba-tiba teringat. Bagaimana dari Kampung Gajah boleh memilih untuk ke Bota kemudian Parit? Ini disebabkan selain tarikan sungai tempat-tempat tersebut dirasakan tidaklah terlalu jauh. Saya tahu ini setelah terlihat papan-papan tanda berkenaan di tepi jalan. Ke Bota cuma 20 lebih kilometer (tak ingat angka tepat yang dilihat pada papan tanda). Fikirnya eleh... tak jauh pun. Begitu juga apabila terlihat papan tanda ke Parit dari Bota. Fikirnya tak jauh sangat hendak kembali ke KL selepas itu.


Punyalah seronok mengambil jalan menyusuri sungai walau tak sentiasa boleh nampak sungai dari atas jalan tau-tau sahaja sudah sampai ke Kuala Kangsar 44 km ke utara Parit.



Pun begitu masih tetap terasa tidak begitu jauh untuk kembali ke KL. Terasa bila-bila sahaja boleh bergerak kembali dan sampai, Walaupun zaman itu tiada Google Map saya biasa berjalan keluar kawasan dengan membawa peta besar kertas Semenanjung. Maka itu tahulah jarah KK ke KL itu sekitar 240 km. Dengan menggunakan Lebuh Raya PLUS boleh sampai dalam tempoh sejam setengah atau kurang. 

Walaupun motosikal besar saya bukan daripada jenis superbike tetapi easy rider saya pernah pulas minyak habis sehingga mencapai kelajuan 180km/h. Bukan senang tu kerana bentuk motosikal yang tidak begitu aerodinamik berbanding superbike, terasa sungguh pukulan angin ke badan selain lebih susah hendak mengawal. Sebetulnya motosikal jenis easy rider (yang biasa dibawa dengan badan menegak, dada terbuka luas, kaki dan tangan mencapah) ini sesuai paling laju pun 140 km/j. Kalau 120 km/j kira kelajuan ideal (walaupun had kelajuan di lebuh raya adalah 110 km/j). Namun kebiasaan saya ketika itu adalah cruising atau bergerak jauh pada 160 km/j. Ini dilakukan kalau tiada kepeluan untuk bergerak perlahan bagi menikmati pemandangan.


Tapi saya tetap tak puas lagi menyusuri sungai lalu meneruskan perjalan menghala ke Gerik malah lebih jauh. Terus lagi hingga ke Tasik Banding, tasik buatan yang terbentuk akibat bahagian hulu Sungai Perak diempang. Ketika itu perjalanan sudah melepasi jarak 400 km. Nampaknya tiada masa hendak kembali ke KL. 

Nasib baik sudah ambil cuti beberapa hari. Alang-alang sudah mengambil jalan berkenaan disambung lagi perjalanan masuk ke negeri Kelantan...


Tahu-tahu sahaja sudah sampai ke Dabong hampir 600 km dari KL. Itu sudah terlajak lebih 370 km dari tujuan asal perjalanan iaitu untuk menghantar isteri kembali ke Changkat Lada. Cuma bila dilihat jarak dan masa yang diperlukan untuk meliputinya menurut Google Map timbul pertanyaan apakah ini dibuat dalam tempoh sehari sahaja ke atau ada menginap di mana-mana di celah-celah itu? Tetapi seingat saya memang satu hari. Seingat saya sampai ke Dabong sudah lewat petang. Itupun ada hati hendak meneruskan perjalanan lebih jauh ke Gua Musang kalau tidak disebabkan terdapat sesuatu yang menarik di Dabong membuat ingin bermalam. 


2 ulasan:

  1. Bestnya saudara dapat mengembara ke sana ke sini... Huhuhu����

    BalasPadam
  2. Sesiapa pun boleh buat asal sanggup memulakannya. Jangan banyak berteka teki...

    BalasPadam