Ahad, Januari 17, 2021

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung

Salam. Pada penghujung artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ingat tak ingat dari Kuala Terengganu ke Kuantan ada diberitahu bahawa terdapat tidak kepastian tentang berapa hari saya berada di suatu tempat disebabkan tidak ada lagi gambar boleh dijadikan rujukan. Namun diterangkan juga atas sebab-sebab tertentu bahawa saya memilih untuk menganggap bahawa perjalanan seterusnya bermula pada hari Rabu 7 Januari 1998. Maka biar disambung cerita dengan anggapan sebegitu.


Setelah puas menginap di rumah saudara di Alor Akar, Kuantan dan meneroka persekitaran saya pun bersedia untuk bergerak lebih jauh ke selatan. Seperti dalam tempoh beberapa hari sebelum itu saya menyusuri jalan terdekat menghampiri garisan pantai. Tidak seperti di Terengganu di mana terdapat jalan panjang begitu dekat dengan pantai sehingga boleh kelihatan Laut Cina Selatan saujana mata memandang daripada atas motosikal jalan utama selepas Kuantan terletak sedikit jauh ke pendalaman.Tidak berapa lama kemudian sampailah ke bandar diraja negeri Pahang iaitu Pekan.

Seingat saya itulah kali pertama sampai ke sana. Gambar atas ini diambil daripada artikel Berjalan ke Makam Chondong... Satu ulang-tayang filem di alam arwah? yang ditulis pada tahun 2008. Rasanya bahagian bandar yang menghadap Sungai Pahang seperti kelihatan dalam gambar tidak banyak bezanya dengan keadaan ketika sampai dengan motosikal besar tahun 1998. Ia adalah jajaran lama bandar yang tidak begitu terkesan oleh pembangunan.



Tempat seterusnya masih berbekas dalam ingatan adalah Nenasi. Namun yang berbekas itu sebetulnya cuma namanya sahaja yang kedengaran begitu unik. Tak ingat pun rupanya bagaimana malah ingatan tentang kedudukan geografinya pun  rupa-rupanya salah. Dalam ingatan saya ada papan tanda besar tertera nama Nenasi dapat ditemui setelah bergerak lebih kurang 10 km meninggalkan Pekan menuju ke arah selatan. 

Tetapi apabila disemak kembali dengan Google Map ternyata jaraknya lebih 40 km selepas bandar diraja Pahang. Ini adalah hampir bersamaan perjalanan Kuantan ke Pekan. Tu le. Walau sudah banyak berjalan ke merata tempat kadangkala ingatan boleh tersilap. Bila hendak menulis lalu perlu menyemak kembali kedudukan dan keadaan baru dapat tahu hal sebenar. Inilah antara perkara penting yang muncul apabila kita membuat penulisan.


Seterusnya berbekas dalam ingatan adalah persinggahan di bandar Mersing, Johor. Walaupun dalam perjalanan itu ada tempat-tempat menarik seperti Endau dan Rompin saya tidak dapat mengingati apa-apa tentang tempat-tempat tersebut. Yang ingat sebelum masuk ke sempadan negeri Johor jalan banyak yang sempit, berlubang-lubang dan banyak taik lembu. Apapun di Mersing lah saya mula bermalam setelah meninggalkan Kuantan. 

Saya ingat selepas bermalam itu ada pergi ke kawasan jeti ke Pulau Tioman dengan niat mahu mengambil bot ke pulau. Tetapi perkhidmatan sedang ditutup akibat laut bergelora musim tengkujuh. Gambar ini diambil daripada artikel Kembara Johor-Riau - Dari Mersing ke Endau-Rompin yang ditulis pada bulan Mac tahun 2012. Namun gambar itu sendiri diambil ketika berada di Mersing 18 Disember 2011 iaitu dalam musim tengkujuh.



Disebabkan tidak dapat mengambil bot ke pulau saya membuat keputusan untuk menginap di Mersing lagi satu malam. Oleh itu perjalanan harus disambung pada hari Jumaat 9 Januari. Tarikh ini adalah bersamaan 10 Ramadhan 1418 Hijriah. Persinggahan utama selepas Mersing adalah pantai peranginan Desaru lebih 130 km ke selatan. Gambar diambil daripada artikel Trip anak-beranak ke Desaru - Akibat mengejar hidangan belangkas di Sedili penghujung tahun 2014.



Perjalanan diteruskan ke Teluk Ramunia yang saya lihat sebagai tempat di mana terletaknya sudut  paling hujung di selatan dan barat Semenanjung. Sekurang-kurangnya itulah yang dilihat pada peta besar kertas Malaysia yang dibeli di kedai lalu dibawa ke sana ke mari dalam perjalanan. Tetapi apabila dilihat dalam Google Map tadi kedudukannya ditanda sebagai sudah beberapa kilometer ke barat sudut. Sebaliknya yang terletak di sudut itu adalah satu tempat bernama Tanjung Penyusup.

Apapun untuk sampai ke Teluk Ramunia yang ditanda dalam Google Map perlu mengambil jalan melalui sudut kalau menyusuri pantai. Dan memang saya berjalan dengan mengambil jalan terdekat ke pantai sehingga boleh nampak kapal-kapal berlabuh dari atas motosikal. Oh. Gambar diatas diambil daripada artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menyusuri kembali jalan ke Teluk Ramunia dan Tanjung Pengelih. Artikel yang ditulis 11 tahun lalu ini ada menunjukkan gambar laut dan kapal dari jalan tepian pantai.




Dengan ini saya telah mencapai 3 daripada 4 sudut yang boleh dilihat dalam peta Semenanjung. Sudut pertama adalah di sempadan Perlis-Thailand, sudut kedua di Kelantan-Thailand. Rujuk kembali artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur. Secara rata perjalanan kali ini boleh dilakarkan ringkas seperti di atas. Dicampur kebiasaan saya suka 'meronda' ke sana ke mari di sesetengah tempat jarak perjalanan harus menjadi 370 km. Dicampur pula jumlah jarak perjalanan sebelum itu iaitu 2,110 km (rujuk Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ingat tak ingat dari Kuala Terengganu ke Kuantan) perjalanan pada peringkat ini mencapai jarak keseluruh 2,480 km.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan