Khamis, Disember 24, 2020

Dari Bukit Tinggi ke Janda Baik membawa zikir dalaman

Salam malam Jumaat 10 Jamadil Awal 1442 Hijriah. Merujuk pada artikel  Misi Teluk Intan-Beruas - Mencari makna terbaru dalam jejak Malikul Mansur yang dipersembahkan siang Selasa 2 hari lalu. Ada disebut pada awal artikel bahawa selepas menyelesaikan artikel saya akan keluar berjalan jauh lagi tapi kali ini bersama keluarga dan ke selatan. Sekarang sukacita dimaklumkan bahawa perjalanan tersebut telah mencapai jarak pemanduan hampir 600 km. Pada bahagian semalam berlaku satu perkara yang seperti membawa kesinambungan daripada satu perjalanan kecil yang dibuat hujung minggu lalu. Maka biar dikongsikan dahulu cerita perjalanan kecil itu.


Sabtu 19 Disember 2020. Selepas Zohor saya bergerak dengan keluarga ke arah negeri Pahang dan Banjaran Titiwangsa.





Kami mahu ke satu pusat peranginan persendirian milik seorang kawan di Bukit Tinggi.


Beliau yang sebelum itu ditemui di majlis Maulud berdekatan Behrang kurang 2 minggu lalu (lihat artikel Simbolik dugaan pada majlis sambungan Mawlid Agung Alam Melayu 2020 dekat sempadan Selangor-Perak) telah mengajak kami untuk bertandang bagi satu majlis zikir di tempatnya  malam nanti. 


Kami pun sudah lama tidak bertandang lalu memberikan komitmen akan bersama. Kali terakhir ke sana adalah untuk menganjurkan satu acara. Lihat artikel Acara kesembilan belas HIKMAH di Dusun Nora, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang 17 Disember 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Beberapa orang kawan ikut sama.



Ini pula gambar dari luar surau situ selepas solat Zohor petang Ahad 20 Disember. 


Hampir jam 3 baru saya dan keluarga meninggalkan tempat diikuti 3 buah kereta.


Kami masuk ke Janda Baik untuk ke satu lagi pusat peranginan persendirian.





Di sini juga saya dan keluarga serta sejumlah kawan pernah menganjurkan acara. Lihat Acara keenam belas HIKMAH di University of Life @ rumah S.H.Alattas, Janda Baik 30-31 Jan 2016.






Kami berehat dan berlegar sehingga lewat petang. Anak-anak mahu mandi sungai di sebelah kawasan peranginan...






Oh. Apa kena mengenanya pula dengan bahagian semalam perjalanan di selatan seperti disebut pada awal artikel ini?


Insyaallah ini akan diceritakan dalam artikel akan datang. Kata-kata kuncinya adalah hubungan zaman berzaman antara keluarga Al-Attas (keturunan Rasulullah SAW daripada belah Saidina Hussein) dengan keluarga Al-Jilani (keturunan belah Saidina Hassan). Tunggu.

Selasa, Disember 22, 2020

Misi Teluk Intan-Beruas - Mencari makna terbaru dalam jejak Malikul Mansur

Salam semua. Insyaallah hari ini saya akan keluar berjalan jauh lagi. Tapi kali ini bersama keluarga dan ke selatan pula. Sebelum itu biar diselesaikan cerita perjalanan di Perak yang berlaku hampir 2 minggu lalu. Bersambung daripada artikel Misi Teluk Intan-Beruas - Mesyuarat masjid keluarga dan 7 makam kemudian.



Pagi Khamis 10 Disember 2020. Setelah bermalam di masjid Kampung Kota, Beruas saya menunaikan solat Subuh berjemaah.



Setelah naik matahari dan sudah mandi bersiap sedia saya pun menziarahi makam Raja-raja Beruas tidak jauh dari masjid.

















Selesai itu pergilah ke pekan Beruas.


Sarapan di sebuah warung  kemudian berjalan kaki melihat persekitaran pekan sambil menggamit kenangan lama. Lihat artikel Savouring memories at the town of Beruas di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Ini pula di Batu Hampar, bersebelahan laluan Beruas ke Taiping. Saya mahu mencari lokasi suatu makam tapi berehat dahulu di masjid tepi jalan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Al-Ihsaniah, Batu Hampar, Beruas di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Selepas berehat saya mahu mandi untuk menyegarkan diri. Tengok-tengok beg yang mengandungi barang-barang toiletries tertinggal, nampaknya di masjid Kampung Kota. Terpaksalah berpatah balik ke pekan Beruas untuk ke masjid.


Rupa-rupanya ada hikmah juga kembali ke Kampung Kota. Daripada sana boleh mengambil satu jalan kampung yang menyusuri Sungai Beruas ke hilir...





Perjalanan diteruskan ke Pengkalan Baru.


Singgah di sebuah restoran untuk menikmati hidangan mee udang lipan...





Dari Pengkalan Baru menghala lagi ke selatan untuk ke Pantai Remis.



Singgah di masjid lama yang pernah menjadi salah satu tempat bermalam ketika zaman rajin bermusafir menaiki kenderaan awam tahun 2003 hingga 2005. Lihat artikel Lawatan terbaru ke masjid lama(New visit to the old mosque of) Pantai Remis, Perak.


Ketika meninggalkan bandar Pantai Remis timbul rasa pula untuk melihat kuala Sungai Beruas. Saya pun berpatah balik ke arah bandar sebelum masuk ke laluan berkenaan. Lihat New look at the Beruas river estuary.


Persinggahan seterusnya adalah di sebuah pantai di Segari. Lihat  The beach off Segari.


Letaknya tidak jauh daripada sebuah stesyen janakuasa eletrik. Di pantai itulah pernah dirakamkan keadaan rambut saya ternaik ke atas kerana ada medan elektrostatik. Rujuk artikel lama Medan elektrostatik Atlantis?.


Dekat-dekat situ juga terdapat sebuah pusat perlindungan penyu. Lihat Latest visit to the turtle sanctuary at Segari.


Tetapi sebab utama saya pergi ke kawasan itu adalah kerana terdapatnya banyak pokok Beruas. Ini mengingatkan kepada cerita bagaimana kerajaan lama Beruas mendapat nama. Dikatakan seorang anak raja dari Aceh bernama Malikul Mansur telah dibuang negeri lalu berlayar ke sekitar sini. Baginda berehat di bawah pokok Beruas lalu tergerak untuk membuka kerajaan atas nama tersebut.



Sebetulnya Malikul Mansur berasal daripada kerajaan Samudera-Pasai (yang kemudian diserap masuk ke dalam Aceh). Dan baginda adalah Sultan yang pernah memerintah Samudera. Sesungguhnya seluruh perjalanan saya hari itu adalah atas niat untuk mendapat rasa jejak perjalanan baginda. Menurut kajian saya darah keturunan sebelah bapa sampai kepada pengasas kerajaan Samudera dan Pasai iaitu Sultan Malikus Saleh melalui cucunya Malikul Mansur.


Saya sudah banyak kali ke Beruas dan tempat-tempat berkaitan atas tujuan sama. Cuma kali ini lebih istimewa. Ini kerana dalam tempoh sebulan dua kebelakangan saya telah diberitahu oleh sekurang-kurangnya 3 pihak yang berlainan bahawa terdapat sebuah kerajaan ghaib berdekatan rumah saya di Sungai Buaya di Rawang. Menariknya dipercayai ia ada kena mengena dengan Beruas dan Sultan Malikul Mansur.


Singgah di Lumut yang juga termasuk dalam jajaran cerita.



Makan kuey teow ketika hampir  senja. Lihat Meal and sunset at Lumut.


Sebetulnya saya ada memberitahu isteri ada kemungkinan akan bermalam di luar lagi. Tetapi selepas Lumut ada rasa ingin kembali memandangkan esoknya Jumaat 11 Disember adalah hari ulang tahun perkahwinan kami. Singgah ke Kuala Selangor dengan niat untuk naik ke Bukit Melawati tetapi ia sedang ditutup. 

Apapun perjalanan pusing Perak telah dibuat atas asbab mesyuarat keluarga di Teluk Intan. Rujuk kembali artikel Misi Teluk Intan-Beruas - Mesyuarat masjid keluarga dan 7 makam kemudian. Isteri yang mencadangkan agar pergi lebih jauh hingga ke Beruas untuk mencari makna terbaru dalam jejak Malikul Mansur.