Ahad, Disember 13, 2020

Simbolik dugaan pada majlis sambungan Mawlid Agung Alam Melayu 2020 dekat sempadan Selangor-Perak

Merujuk pada artikel Majlis Mawlid Agung Alam Melayu 2020 Jumaat malam Sabtu. Adapun saya mempersembahkannya pada waktu itu kerana ada majlis yang sangat berkaitan mahu dihadiri pada pagi keesokannya.


Sampai waktunya pagi Sabtu 12 Disember 2020 saya, isteri dan dua orang kawan pun bergerak dari Bandar Sungai Buaya dengan satu kereta untuk ke majlis tersebut.


Ikut Lebuh Raya PLUS menghala ke utara...


Keluar di tol Behrang yang terletak di dalam negeri Perak kemudian masuk kembali ke negeri Selangor melalui Sungai Selisek.





Perjalanan diteruskan lebih jauh ke pendalaman sehingga masuk ke jalan kelapa sawit kemudian menaiki bukit. Untuk makluman kawasan ini masih terletak dekat dengan sempadan negeri Selangor dan Perak.


Setelah beberapa lama sampailah ke destinasi berupa sebuah surau persendirian milik seorang sheikh tariqat.


Di sini mahu diadakan majlis sambungan bagi Mawlid Agung Alam Melayu 2020. Ini kerana rancangan asal mahu menjadikannya majlis terbuka yang boleh dihadiri oleh sesiapa sahaja terpaksa dihadkan menjadi sesi rakaman dengan kehadiran terhad akibat PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat). Lihat kembali penerangan berkenaan dalam artikel Majlis Mawlid Agung Alam Melayu 2020.



Difahamkan surau ini baru siap lalu dibuka tidak berapa lama.


Sebetulnya sebelum sampai ke surau ada sedikit dugaan. Van besar yang mahu digunakan untuk mengangkut saya dan beberapa orang dari tempat letak kereta ke surau di puncak bukit tersangkut pada satu tebing setelah tergelongsor ke belakang ketika hendak mengundur bagi mendapatkan ruang mendaki bukit.


Keadaan ini berlaku setelah van menghantar beberapa orang terlebih dahulu naik ke surau. Selepas menuruni bukit bagi mendapatkan kami pemandu harus mencari ruang untuk memusingkan van  supaya dapat mendaki bukit kembali sedangkan jalan di sana sempit, tempat letak kereta pula sudah dipenuhi kenderaan lalu menghadkan laluan.


Sebetulnya saya dan kawan yang sama naik van boleh sahaja berjalan kaki mendaki hingga ke surau kerana kedudukannya tidaklah begitu jauh. Tetapi disebabkan pihak penganjur mahu meraikan kami pun naik van.


Isteri pula tidak mahu saya berpeluh akibat naik berjalan kaki. Ini  memandangkan kami sedang berpakaian cantik untuk majlis.


Namun saya dan kawan lelaki jadi berpeluh juga. Ini kerana kami tidak sanggup meninggalkan van tersangkut begitu sahaja. Kami berusaha untuk menolaknya keluar sambil pemandu menekan minyak.


Setelah mencuba beberapa kali dengan tambahan beberapa orang anak muda menolak juga diletakkan pelbagai bentuk alas ke bawah tayar bagi mendapatkan cengkaman ternyata usaha kami tetap tidak berjaya. Sebaliknya tayar belakang kiri asyik berpusing di tempat sama.


Nasib baik pemilik tempat iaitu sheikh tariqat kemudian muncul dari bawah dengan kenderaan pacuan empat roda. Setelah mengambil sedikit masa lagi untuk mencari tali yang sesuai van pun dapat ditarik keluar lalu kami pun naik ke surau.


Walaupun tidak mengambil gambar tentang insiden saya terasa mahu berkongsi cerita tentangnya kerana isteri melihat ada sesuatu yang simbolik tentangnya.


Pada satu lapis ia sekadar dugaan untuk menguji kesungguhan kami mahu menghadiri majlis yang penuh dengan puji-pujian terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Bagaimanakah sikap kami dalam menghadapi dugaan tersebut? Apakah ada rasa marah atau menyesal datang? Apakah dapat menerimanya dengan senang hati sehingga masalah selesai? Atau apakah kami lebih rela meninggalkan sahaja masalah dengan berjalan kaki ke surau memandangkan ia bukan masalah kami pun kerana kami cuma tetamu...


Sebagai tetamu apa lagi yang diraikan memang tak salah pun kalau saya meninggalkan van untuk ke surau. Tentunya penganjur tidak mahu memberatkan. Boleh sahaja dibiarkan orang lain menyelesaikan. 


Tetapi itu pentingkan diri sendiri. Tak bolehlah berbuat begitu apatah lagi van turun untuk mengambil kerana meraikan kehadiran kami.


Walaupun harus berpeluh, dalam majlis pun kami tetap akan mengeluarkan peluh malah lebih banyak lagi kerana semangat dan intensity dalam menghayati majlis dengan bacaan dan gerak tubuh badan.


Apapun simbolik yang lebih penting adalah kami dapat melepasi halangan dan dugaan secara berjemaah dengan bantuan berupa sheikh tariqat menarik van dengan kenderaan pacuan empat roda yang lebih berkuasa. Ini menunjukkan pentingnya kehadiran seorang sheikh dalam mencapai matlamat bagi meningkatkan kekuatan kerohanian hingga ke puncak. Oh. Rakaman majlis ada dibuat tetapi tidak tahu bila akan dikeluarkan. Tetapi secara rata tertib bacaan, lagu dan qasidah adalah sama seperti dipaparkan dalam artikel Majlis Mawlid Agung Alam Melayu 2020.


Adapun ketika artikel ini hampir siap ditulis baru isteri memberitahu ada mengambil gambar van tersangkut. Tetapi beliau tidak mengambil gambar ketika ia selamat ditarik keluar. Cukuplah gambar atas dan bawah bagi memberikan gambaran dugaan yang dihadapi pagi itu...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan