Khamis, Disember 17, 2020

Islam sebagai jalan berkasih sayang

Hampir sebulan lalu saya ada mempersembahkan satu artikel ilmu bertajuk Islam sebagai satu jalan ilmu menonjolkan syarahan oleh guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar. Ia merupakan syarahan pembuka dan pertama dalam satu siri baru syarahan penglibatan masyarakat oleh ISTAC. Dua hari lalu berlangsunglah syarahan kedua dalam siri. Biar dikongsikan sedikit cerita tentangnya pagi ini. 

 
Tajuk syarahan kedua ini boleh diterjemahkan sebagai "Islam sebagai jalan berkasih sayang". Seperti kebiasaan di institut syarahan diadakan dalam bahasa Inggeris.



Saya telah diberitahu dan diingatkan tentang syarahan sejak lebih 2 minggu lepas lalu sudah memberikan komitmen kepada guru akan mengikutinya. Tetapi hendak dijadikan cerita boleh terlupa apabila sampai waktunya walau mengingati sepanjang siang hari Selasa 15 Disember. Apa yang berlaku adalah selepas siap memasang sebuah khemah merangkap pondok baru di kebun hadapan rumah jam 2 petang saya didatangi dua orang tetamu yang mahu membincangkan penglibatan saya dalam satu projek penggambaran melibatkan pencarian jati diri Melayu di Pulau Besar, Melaka. Perbincangan berlanjutan sehingga selepas jam 6. Selepas itu baru dapat menyambung kerja-kerja  memperkemaskan lagi binaan dengan menambah jaring-jaring hitam dan ikatan pada bahagian-bahagian yang patut juga meletakkan tiga lapis tikar.

Sepatutnya ini semua dapat disiapkan sebelum malam. Namun berlaku cabaran hujan lebat air naik  masuk khemah sedangkan sebelum itu dua kali anjing liar masuk duduk dalam sehingga harus membuat sertu (setengah orang sebut samak tetapi sebenarnya tidak sama) dua kali juga untuk menghilangkan najis berat. Cabaran-cabaran ini menyebabkan kerja-kerja berkenaan berlanjutan lewat. Selepas menunaikam solat Isyak dalam khemah/pondok lalu menyambung lagi kerja baru teringat ada syarahan jam 8.




Selepas kembali ke rumah untuk mandi membersihkan diri lalu bersalin pakaian barulah dapat membuka komputer untuk mengikut syarahan. Itupun ada tersangkut sedikit lalu sekitar jam 9.10 baru dapat bersama dalam majlis. Ketika itu syarahan sudah selesai lalu masuk sesi soal jawab. Daripada maklum balas dan pertanyaan di ruangan chat dapat dilihat Osman sebelum itu ada menyentuh pandangan ahli Sufi terkenal Sheikh Jalaluddin Rumi tentang kasih sayang dan percintaan juga kepentingan mengikut Sunnah Rasulullah SAW.

Antara yang sempat didengar adalah jawaban beliau tentang kaitan antara cinta keTuhanan dengan hubungan seks. Apakah boleh tercapai dengan kaedah tersebut (hubungan seks)? Yang saya dapat tangkap (dan sudah lama sedia faham) kalau itu perhubungan suci antara seorang suami dengan isteri dalam perkahwinan yang sah tentunya boleh menjadi jalan untuk mencapai cinta keTuhanan. Hmm. Teringat pula pada satu cabang ajaran dan amalan Yoga yang diamalkan oleh setengah orang Hindu purba namun menjadi ikutan moden Barat lalu dikenali sebagai Tantric Yoga. Cabang ini menonjolkan posisi seks yang kadangkala agak ekstrem dan pelik untuk mencapai kesedaran tinggi (higher consciousness) membawa kepada 'pengalaman keTuhanan'. Ajaran berkenaan ada menyebut tentang kesucian niat dalam perhubungan namun tidak diwajibkan pernikahan.

Ada pula meminta komen Osman tentang orang Barat menggunakan bait-bait syair Rumi tentang cinta bersifat universal untuk menghalalkan hubungan Homoseksual. Jawab beliau itu adalah salah faham dan salah tafsiran terhadap Rumi. Seterusnya ada yang membangkitkan tentang unconditional love (cinta/kasih sayang tanpa syarat). Apakah untuk mendekati keTuhanan kita juga harus berkasih sayang tanpa syarat (tak kira seseorang itu baik atau jahat) atau harus bersyarat? Hal ini menjadi perbincangan hangat sehingga sesi ditamatkan hampir jam 10 malam.



Untuk melengkapkan penulisan artikel saya telah mengikuti rakaman penuh video majlis yang dibuat melalui Facebook Live tadi. Moderator iaitu Profesor Madya Dr Imtiyaz Yusuf, juga dari ISTAC memulakan dengan menyatakan tajuk (yang saya terjemahkan sebagai "Islam sebagai jalan berkasih sayang"itu) dipilih memandangkan Hari Krismas pada 25 Disember yang merupakan hari kebesaran paling utama orang beragama Kristian hampir menjelang. Walaupun beliau tidak menyebut ini saya faham ia adalah dalam konteks orang Kristian selalu mendakwa seolah-olah agama mereka sahaja mengutamakan kasih sayang, Islam pula sering dituduh sebagai agama keganasan kerana sirahnya melibatkan banyak cerita perang. Dilihat dalam konteks ini syarahan boleh dikatakan sebagai satu usaha untuk menyangkal tuduhan walau tidak dinyatakan sebegitu.

Osman membuka dengan menghubungkan tajuk dengan syarahan terdahulu (rujuk kembali artikel Islam sebagai satu jalan ilmu). Ini dilakukan dengan menyatakan bagaimana ilmu dan kasih sayang sangat penting dan merupakan keperluan asas bagi setiap manusia. Seterusnya disebut beberapa perkataan Arab yang membawa makna cinta dan kasih sayang seperti Mahabbah, Wadud, Mawaddah dan Isyq (Asyik). Kupasan pun diberikan menurut konteks berserta contoh-contoh berkenaan daripada kisah-kisah di dalam Al-Quran juga kitab-kitab ulamak silam Islam. 

Paling menarik adalah apabila konsep cinta keTuhanan (divine love) dikupas dan bagaimana ia boleh dicapai dengan cara mengikut Sunnah Rasulullah SAW. Cukuplah perkongsian daripada saya. Sila ikuti sendiri rakaman video  di sini


1 ulasan:

  1. Menarik entri entri kat sini, terutama klasifikasi ilmu. Tahniah

    BalasPadam