Selasa, September 15, 2020

Misi menghantar anak balik kolej - Meronda Tanjung pada Hari Kemerdekaan sebelum bergerak ke Kuale

Salam hari Selasa malam Rabu 15 September. Sebelum masuk tarikh 16 September iaitu Hari Malaysia biar dilepaskan satu cerita. Adapun Isnin lalu saya bercadang untuk menyambung penceritaan perjalanan terbaru ke utara daripada  Misi menghantar anak balik kolej - Pusing sedikit Taiping dan cerita kereta tak boleh hidup sebelum meluncur ke Pulau Pinang. Sebaliknya keadaan membawa untuk mempersembahkan artikel Pusat lama kerajaan Aceh di Kampung Pande - Selamatkan bukti penting keberadaan awal Islam di Alam Melayu pula. Sekarang baru dapat dibuat artikel sambungan itu.

Pagi Isnin 31 Ogos 2020 bersamaan 12 Muharram 1442 Hijriah saya ke Masjid Lebuh Aceh untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.


Dari tempat penginapan di Lebuh Melayu saya cuma perlu berjalan kaki 500 meter untuk sampai ke masjid. Selepas solat pergi menziarahi makam Tuanku Syed Hussein Aidid iaitu pengasas Lebuh Aceh di hadapan masjid kemudian duduk di satu bahagian membaca Al-Quran.


Bacaan diteruskan sehingga sampai waktu siang. Ketika itu saya sedang berusaha untuk mengkhatamkan Quran buat bulan Muharram. Cerita berkenaan ada dikongsikan pada awal artikel Misi menghantar anak balik kolej - Pusing sedikit Taiping dan cerita kereta tak boleh hidup sebelum meluncur ke Pulau Pinang.


]
Cerita tentang Lebuh Aceh dan pengasasnya yang merupakan seorang kerabat diraja Aceh pula telah dikongsikan beberapa kali dalam blogspot ini. Sila lihat artikel-artikel berikut :-







Kembali ke tempat penginapan yang terletak betul-betul di sebelah Ghost Museum atau Muzium Hantu. Ketika gambar ini diambil sudah jam 7.29 pagi.



Gambar ini pula diambil pada jam 12.22 iaitu selepas mendaftar keluar daripada tempat penginapan kemudian selesai memasukkan barang-barang ke dalam kereta. Ketika ini kami menunggu anak-anak selesai 'melihat hantu' dalam muzium.


Sejak petang Ahad 2 orang anak kecil kami sibuk nak masuk Muzium Hantu. Maka kami suruh 2 orang anak besar menemani mereka pagi Isnin.


Jam 12.25 baru selesai iaitu selepas sejam lebih juga di dalam sana. Bergambar sekeluarga di hadapan muzium. Haiya. Manyak takut looo...


Jam 12.30 masuk ke dalam kereta lalu meninggalkan Lebuh Melayu. Kami berpusing-pusing dahulu melihat suasana di tengah bandar raya Pulau Pinang.














Seronok berjalan tak banyak kereta kerana orang ramai sedang bercuti 31 Ogos iaitu Hari Kemerdekaan Negara Malaysia.


Lalu di Padang Kota terlihat meriam Seri Rambai yang memiliki sejarah unik melibatkan beberapa kerajaan Melayu. Ia terletak di satu sudut kota Fort Cornwallis yang dibina oleh British penghujung abad ke-18.


Sejarah meriam yang menjangkau tempoh lebih 400 tahun pernah diceritakan dalam artikel Meriam Seri Rambai di (Seri Rambai Canon at) Fort Cornwallis. di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih setahun lalu. Kali ini tergerak untuk membuat live video di Facebook. Boleh lihat  di sini.



Kiranya itulah cara kami menghayati semangat kemerdekaan sebelum bergerak keluar meninggalkan kawasan pulau. Jam 1.03 sampai ke tempat kereta beratur menunggu feri.


Selepas jam 2.30 baru sampai giliran untuk masuk feri.



Punyalah lama menunggu, lebih satu setengah jam tu. Tak mengapa. Yang penting dapat naik feri...










Selepas jam 3 baru mendarat di Seberang Perai lalu terus bergerak ke utara...



'
Kami bergerak menuju ke rumah kawan sebilik anak perempuan di kolej. Di sana baru makan tengah hari kerana keluarga kawan anak sudah sedia menunggu dengan hidangan masakan sendiri istimewa. Di rumah itu juga kami berehat lama dan menjamakkan solat Zohor serta Asar. Bila diceritakan tentang kelewatan feri baru kami tahu bahawa perkhidmatan antara Georgetown (Tanjung Penaga) dengan Butterworth (Seberang Prai) itusudah lama direhatkan kerana masalah. Baru 2 hari ia dibuka kembali.


Di situ ditinggalkan anak supaya boleh bersama kawan mendaftar masuk kembali ke kolej awal pagi Selasa 1 September. Dengan itu tidak perlulah kami menunggu lagi di Pulau Pinang, boleh mengorak langkah kembali ke arah Lembah Klang.


Nasib baik anak perempuan sudah selamat dilepaskan kepada keluarga kawannya. Dalam perjalanan kembali itu kami menghadapi masalah penghawa dingin tidak berfungsi langsung.


Ini menyebabkan cermin kereta menjadi berkabus apabila hujan. Hujan pula asyik turun hampir sepanjang jalan. 


Keadaan ini mengganggu pandangan dan pemanduan. Isteri harus menolong dengan mengesat cermin setiap 2-3 minit.


Jam 6.44 sampailah kami ke bandar diraja negeri Perak iaitu Kuala Kangsar. Kami mahu membuat persinggahan sebelum kembali ke rumah.



Naik sejenak ke Bukit Chandan masuk ke kawasan pemakaman diraja Perak untuk menziarahi makam seorang moyang, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Alang-alang dah ke sana ziarah juga beberapa makam kerabat diraja yang berkaitan. Sekadar berkongsi satu perkara menarik tentang tarikh. Adapun pada tahun 2020 ini kita menyambut Hari Malaysia yang ke-57. Ini kerana negara Malaysia  yang merupakan gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak terbentuk pada 16 September 1963. Sedangkan 16 hari lalu iaitu ketika perjalanan dalam cerita ini berlaku 31 Ogos kita sedang menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang ke-63. Ini kerana negara mula mendapat kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957. N

Nah. Tahun 2020 kita menyambut Hari Malaysia yang ke-57 kerana Malaysia terbentuk tahun 63. Kita juga menyambut hari kemerdekaan yang ke-63 kerana merdeka tahun 57. Nampak tak unsur timbal baliknya? Sungguh ada sesuatu yang sangat istimewa tentang tahun 2020.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan