Khamis, Ogos 13, 2020

Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Apabila Raya Haji menjadi pengganti Aidil Fitri

Sekadar melengkapkan gerak. Bersambung cerita daripada Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar.


 

Isnin 3 Ogos 2020. Kami telah bermalam di rumah tinggalan arwah ibu bapa isteri di Tanjung Sepat. Petang itu dekat jam 5 baru keluar sebentar. Itupun cuma saya dan isteri kerana hendak melihat pekan juga jeti batunya yang mengunjur jauh ke laut. Lihat artikel New visit to Tanjung Sepat jetty di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kami kembali ke kampung isteri setelah berjalan jauh ke Muar diikuti Felda Jelai kemudian ke masjid-masjid lama di Negeri Sembilan lebih pada untuk menggembirakan anak-anak. Anak kecil kami Rasyid dan Johan rindu hendak bermain dengan rakan sebaya mereka yang berpangkat anak saudara mereka, cucu saudara kepada isteri. Semasa kembali ke kampung pada penghujung bulan Syawal lalu mereka tak puas. Kalau tidak kerana itu kami akan terus ke rumah sendiri di Rawang, Selangor selepas selesai segala urusan di Negeri Sembilan. Rujuk kembali artikel Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar.


Dari kampung isteri saya bercadang untuk singgah ke beberapa tempat menarik dan/atau bersejarah dalam perjalanan kembali ke rumah. Antaranya adalah bandar diraja lama bagi negeri Selangor iaitu Bandar di Jugra. Fikirnya mahu naik sekali ke Bukit Jugra dekat-dekat situ hingga ke puncak. Kami sudah naik ke bukit tersebut beberapa kali tetapi setakat sampai ke bangunan radar di mana ada orang bermain hand gliding dari atas lereng sana. Rujuk artikel lama Jejak Laksamana Toh Jambu di atas Bukit Jugra?.


Tapi kami meninggalkan Tanjung Sepat pun sudah jam 6 petang sedangkan selepas itu ada rumah kakak isteri mahu disinggahi di Jenjarom diikuti rumah abangnya di Teluk Panglima Garang. Kami juga ada memberitahu seorang ibu saudara akan singgah ke rumahnya di Petaling Jaya. Jadi cuma sempat singgah sambil lalu ke Pantai Morib sahaja nampaknya...



Kali ini saya harus mengalah dengan kehendak isteri. Saya harus akur telah banyak mengambil masa beliau dan anak-anak apabila semua harus menurut kehendak saya mencari masjid-masjid lama pada hari sebelumnya. Sekali lagi, rujuk Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar.


Sesungguhnya Aidil Adha atau Hari Raya Haji kali ini boleh dikatakan menjadi pengganti bagi sambutan Hari Raya Aidil Fitri dua bulan lalu. Dahulu kami tak dapat balik kampung kerana tahap PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk mengawal sebaran virus Covid-19 ketika itu tidak membenarkan umum membuat perjalanan jauh. Beraya dekat-dekat pun dibenarkan sehari sahaja iaitu pada hari raya pertama 1 Syawal. Bila kawalan dilonggarkan bermula 10 Jun lalu perjalanan rentas negeri dibenarkan baru dapat balik beraya ke Muar hujung minggu tersebut. Semasa itu masih bulan raya Syawal, dah nak masuk minggu ke-3. Tapi tak cukup 'korum' pula kerana seorang adik tidak dapat bersama.


Kali ini semua adik beradik saya dan ahli keluarga dapat bersama beraya di Muar kecuali seorang yang sudah lama meninggal dunia. Rujuk artikel Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Muar-Pagoh-Gunung Ledang-Jelai. Alang-alang sudah berjalan jauh kami pergi pula beraya di rumah adik beradik isteri bermula di Felda Jelai kemudian Tanjung Sepat kemudian baru ke tempat-tempat yang disebut tadi. Walaupun semasa minggu terakhir Syawal ramai adik beradik isteri dapat berjumpa dalam satu majlis keluarga itu adalah di rumah kampung di Tanjung Sepat. Kali ini, setelah masuk hari-hari Tasyriq yang menyusul selepas tarikh 10 Zulhijjah Hari Aidil Adha baru dapat singgah ke rumah beberapa orang adik beradik. Dapatlah suasana seperti beraya pada bulan Syawal walaupun tidak semeriah kebiasaan pada tahun-tahun lalu. Selesai cerita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan