Isnin, Oktober 14, 2019

Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Makam-makam Makhdum di Banda Aceh, Daya dan Barus. Apakah terkait dengan Dinasti Makhdum di Perlak?

Salam petang Khamis 15 Safar. Dalam artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Menikmati suasana 'Mekah dan Madinah' sekaligus di Banda Aceh sebelum berlepas pulang... yang ditulis petang Jumaat 3 hari lalu ada diberitahu walaupun ia adalah cerita hari ke-8 dan terakhir bagi pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September 2019 siri penceritaan belum lagi tamat kerana ada sesuatu ingin dikongsikan tentang suatu makam di Banda Aceh. Ia terasa sangat terkait dengan makam-makam yang kelihatan serupa di Barus juga di Lamno (Daya).  Ini ceritanya...


Sekitar 2-3 minggu sebelum pengembaraan dimulakan iaitu pada awal bulan Ogos saya ada menyemak peta Banda Aceh melalui Google Map. Apabila dizoom-in ke kawasan persekitaran pusat bandar raya didapati ada satu tempat ditanda sebagai "Makam tuan maqdum".


Begitu juga halnya apabila menyemak peta Barus. Yang ini tak perlu zoom-in. Terus nampak ada tempat ditanda sebagai "Makam Syech Machdum".


Untuk pengetahuan baik dieja Maqdum mahupun Machdum ia merujuk pada perkataan Arab Makhdum. Ini boleh diterjemahkan sebagai tuan tetapi khas bagi seorang ahli atau pakar agama. Makhdum juga adalah gelaran bagi pemimpin agama. Sejak itu saya menyimpan hajat mahu menziarahi kedua-dua tempat ataupun makam. Tetapi laluan yang diambil iaitu selepas mendarat di lapangan terbang Sultan Iskandar Muda di timur Banda Aceh terus ke pantai barat Aceh tanpa memasuki persekitaran pusat bandar raya menyebabkan kami sampai ke makam yang di Barus terlebih dahulu walaupun terletak lebih 700 km perjalanan. Lihat artikel-artikel berikut :-








Sejak sampai ke makam saya merasakan ada keistimewaan yang perlu dikupas atau sekurang-kurangnya diberikan perhatian. Walaupun nama "Makam Syech Machdum" sebenarnya merujuk pada satu kompleks mengandungi banyak makam perhatian saya tertumpu pada satu makam dengan bentuk batu nesan tertentu. Beginilah rupanya. Secara rata ia berbentuk bongkah empat persegi dengan kemuncak.





 
Selain daripada itu saya tertarik dengan batu-batu nesan ini. Itupun lebih pada bagaimana dalam gambar ia kelihatan seperti terapung, mungkin disebabkan kontras dengan pasir berwarna putih di tanah rumput. Namun saya tetap merasakan bahawa tubuh badan yang dirujuk sebagai Syech Machdum harus bersemadi di dalam makam dengan batu nesan segi empat tadi. Lihat Makam (Tomb of) Tuan Machdum, Barus di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Pada hari ke-7 pengembaraan iaitu pada hari Selasa 3 September 2019 baru saya berkesempatan ke makam Makhdum yang di Banda Aceh. Lihat Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Banda Aceh dan lanjutan acara ke-21 HIKMAH.


Seperti di Barus ia juga adalah satu kompleks mengandungi banyak makam. Namun sama juga cerita saya tertarik pada yang satu-satunya yang berbatu nesan empat persegi.


Saya menduga inilah makam utama yang memberi nama kepada kompleks. Lihat Makam (Tomb of) Tuan Maqdum, Banda Aceh. Perhatikan ciri-ciri persamaan dengan yang di Barus.


Kemudian baru teringat ketika masuk ke tapak pusat kerajaan Daya di Lamno kira-kira 80 km ke selatan Banda Aceh iaitu pada hari ke-2 pengembaraan ada terlihat batu nesan serupa di suatu makam yang mana nama Makhdum disebut walau dieja sebagai Mahdum. Rujuk  Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Puncak Geurute, Marhum Daya dan mencari si mata biru keturunan Portugis di Lamno.


Cuma yang di Daya ini jelas tercatat identiti orang dan sejarahnya. Ia menunjukkan Mahdum atau Makhdum yang dimakamkan memang seorang pemimpin agama yang berkedudukan tinggi dalam kerajaan. Lihat Makam (Tomb of) Mahdumsyah Daya. Sebelum ini apabila menyebut nama Makhdum saya cuma tahu ia merujuk pada satu dinasti raja ataupun Sultan yang memerintah kerajaan Perlak abad ke-10 hingga ke-13 Masihi. Berikut adalah senarai nama raja-raja disunting daripada Wikipedia :-


Dinasti Makhdum Johan Berdaulat

Raja-raja Dinasti Makhdum Johan Berdaulat adalah turunan dari Meurah Perlak asli (Syahir Nuwi).

1. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul-Kadir Syah Johan Berdaulat, memerintah tahun 306-310 H (918-922 M)

2. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 310-334 H (922-946 M)

3. Sultan Makhdum Alaiddin Abdul-Malik Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 334-361 H (946-973 M)

4. Sultan Makdhum Alaiddin Malik Ibrahim Syah Johan Berdaulat sebagai sultan yang memerintah pada tahun 365-402 H (976-1012 M) dari dinasti Makhdum Johan Berdaulat

5. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mahmud Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 402-450 H (1012-1059 M)

6. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mansur Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 450-470 H (1059-1078 M)

7. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdullah Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 470-501 H (1078-1108 M)

8. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Ahmad Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 501-527 H (1108-1134 M)

9. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mahmud Syah II Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 527-552 H (1134-1158 M)

10. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Usman Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 552-565 H (1158-1170 M)

11. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 565-592 H (1170-1196 M)

12. Sultan Makhdum Alaiddin Abdul Jalil Syah Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 592-622 H (1196-1225 M)

13. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Syah II Johan Berdaulat, memerintah pada tahun 622-662 H (1225-1263 M)

14. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul Aziz Syah Johan Berdaulat, yang memerintah pada tahun 662-692 H (1263-1292 M).



Sebagai mengakhiri artikel biar diletakkan peta ringkas laluan bagi perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera. Saya sebut ringkas kerana tidak dimasukkan perincian yang menyebabkan ia memakan jarak sebenar lebih 1,800 km, bukan 1,715 km sepertid ditunjukkan dalam peta. Ditambah garisan-garisan kuning menghubungkan kedudukan makam-makam Makhdum di Banda Aceh, Daya dan Barus dengan kedudukan pusat kerajaan Perlak yang mana terdapat raja-raja ataupun sultan memakai gelaran Makhdum. Cukup gerak dan perkongsian tentang hal ini. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan