Rabu, September 25, 2019

'Mengelak' jerebu di Janda Baik - Pelengkap perjalanan Aceh dan Perak?

Salam 25 Muharram. Merujuk pada artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Hakikat Lailahaillallah dan 'restu istana'? yang dipersembahkan Ahad lalu 25 September. Adapun ia mula dipaparkan pada jam 11.31  malam selepas membawa isteri dan anak-anak berjalan dan bermalam di Janda Baik. Ini adalah sebagai 'ganti' saya telah keluar secara bersendirian 15-18 September iaitu selama 4 hari 3 malam pusing Perak meninggalkan mereka. Cerita pusing Perak belum pun masuk hari ke-2 sedangkan cerita pusing Aceh baru sampai hari ke-3. Tetapi ada baiknya cerita perjalanan kecil di Janda Baik yang berlaku kemudian ini dilepaskan terlebih dahulu.


Sabtu 21 September tengah hari jam 12.49 kami meninggalkan rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang melalui persekitaran berjerubu.


Umum tahu betapa malapetaka alam sekitar yang berlaku akibat pembakaran hutan secara besar-besaran di Indonesia telah memburukkan kualiti udara di Malaysia sejak beberapa hari lalu.


Kami ke Janda Baik yang terletak di atas kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa dengan harapan dapat mengelak atau lari dari jerebu.


Rancangan untuk ke kawasan tinggi tanah rezab orang Melayu 30 minit perjalanan dari Kuala Lumpur untuk dibuat secara spontan pada pagi itu atas asbab harus membawa keluarga berjalan setelah beberapa hari meninggalkan mereka.


Janda Baik menjadi pilihan kerana kedudukannya di atas tanah tinggi dan pernah menjadi tempat saya bermastautin daripada tahun 2002 hingga 2005.


Tengok-tengok jalan menuju ke sana pun diselimuti jerebu. Cuma ia sekurang-kurangnya terasa dingin bukan seperti di rumah mahupun di Kuala Lumpur.


Janda Baik juga menjadi pilihan kerana sudah beberapa waktu tidak bertandang...


Kalau ikut rekod catatan saya kali terakhir sampai adalah pada pertengahan bulan Oktober tahun lepas iaitu hampir setahun lalu. Rujuk artikel Memanjat bukit di Janda Baik anak beranak - Kali pertama setelah lama mengenali tempat.


Tapi seingat saya kami juga ada ke sana lagi membawa lebih ramai ahli keluarga penghujung tahun itu. Cuma ia tidak ditulis dijadikan artikel. Itu yang tak jumpa dalam senarai di blogspot.


Nasib baik dapat menemui gambar-gambar berkenaan bertarikh 27 Disember 2019 dalam fail komputer. Ya, sekarang baru ingat. Nampaknya saya terlupa hendak menulis tentangnya kerana kesibukan melepaskan cerita-cerita daripada pengembaraan pusing Cambodia sebelum kembali melalui jalan darat Thailand 22 November hingga 3 Disember 2018. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation.


Sepatutnya saya ada mengeluarkan satu artikel tentang Janda Baik waktu itu kerana ketika itulah kami sekeluarga ada menyewa sebuah pondok 2 tingkat di tepi sungai (bukan di bahagian yang kelihatan dalam gambar atas ini). Ini kerana kalau bermalam kami biasa menginap di surau atau rumah ayah angkat saya. 


Boleh dikatakan hampir setiap kali ke mari anak-anak akan mengambil peluang untuk mandi sungai. Selalu juga saya ikut sama mandi. 


Ini adalah pintu masuk ke rumah rehat/peranginan ayah angkat saya, penulis buku politik terkenal Pak Habib @ S.H. (Syed Hussein) al-Attas. Beliau memiliki kawasan 8 ekar penuh dengan taman, dusun buah-buahan dan beberapa buah rumah. Seperti ditulis dalam artikel Memanjat bukit di Janda Baik anak beranak - Kali pertama setelah lama mengenali tempat hampir setahun lalu kali ini kami menginap di rumah yang sama. Untuk makluman artikel itu mengandungi pautan bagi 12 buah artikel lama tentang Janda Baik. Tetapi tidaklah saya menulis tentangnya setiap kali sampai. Ini kerana sudah tidak terkira entah beberapa puluh atau ratus kali sudah ke sana.


Apapun, saya lihat Janda Baik semakin lama semakin meriah dan ramai pengunjung luar. Selepas mendapatkan kebenaran daripada Pak Habib (yang kebetulan sudah 2 malam berada di kediaman rehatnya, kalau tak dia di Kuala Lumpur atau entah ke mana) kami berjalan-jalan melihat beberapa pusat peranginan baru.



Lewat petang baru kembali ke rumah kegemaran kami.


Menarik adalah serambi yang menjulur keluar ke tepi sungai.


Pagi Ahad 22 September kami bersiap untuk meninggalkan rumah lalu menjelajah lagi Janda Baik.


Setelah mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada Pak Habib kami bersarapan kemudian meneroka satu jalan yang biasa kami lalui tetapi sudah muncul beberapa pusat peranginan baru.


Namun secara peribadi tarikan belah sini tetap terletak pada satu kawasan berjeram ada pohon kelapa gading yang memiliki nilai spiritual tertentu. Lihat cerita lama Cerita An-Nur - Berubat menggunakan air kelapa gading di Janda Baik?


Ini pula di satu pusat peranginan di bahagian lain Janda Baik, pusat yang katanya baru dibuka sebulan lalu.


Sambil melihat juga bermain dengan anak-anak saya dapat merasakan persinggahan kami ke Janda Baik kali ini bukan sekadar untuk mengelak jerebu (walaupun tetap kena jerebu).


Sebaliknya kawasan tanah tinggi yang pernah menyaksikan saya mengalami beberapa pengalaman dan transformasi spiritual/kerohanian daripada tahun 2002-2005 ini menjadi pelengkap pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September (8 hari 7 malam) dan perjalanan solo pusing Perak 15-18 September (4 hari 3 malam). Oh, timbul rasa untuk berkongsi beberapa gambar daripada persinggahan 27 Disember 2018 yang terlupa hendak dijadikan artikel...































Tiada ulasan:

Catat Ulasan