Khamis, September 26, 2019

Membawa semangat Aceh ke Perak - Petanda-petanda sekitar Hari Malaysia di bandar diraja Kuala Kangsar

Salam malam 26 Muharram awal pagi Khamis 26 September. Dalam kepenatan selepas menulis 2 buah artikel daripada majlis ilmu yang dihadiri pagi Selasa diikuti pagi Rabu gerak penulisan menuntut supaya diteruskan dengan cerita hari ke-2 perjalanan berseorangan pusing Perak 15-18 September. Maka bersambunglah penceritaan daripada artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Hakikat Lailahaillallah dan 'restu istana'?.


Pagi Isnin 16 September 2019 adalah hari yang sangat istimewa buat seluruh warga Malaysia. Ketika ramai sudah mula menyambut Hari Malaysia iaitu ulang tahun tertubuhnya negara Malaysia melalui gabungan Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu tahun 1963 saya pula baru hendak keluar daripada surau Kampung Temong tempat bermalam sebelumnya.


Letaknya dekat dengan simpang masuk ke makam Tok Temong, pemimpin perempuan 5 abad lalu yang amat terkenal dalam sejarah negeri Perak.



Sudah menjadi kebiasaan kalau berada di kawasan yang terletak 11 km ke utara bandar diraja Kuala Kangsar ini untuk saya singgah ziarah makam. Tapi sebelum itu layan sarapan di sebuah warung berdekatan yang katanya baru dibuka sebulan dua lalu. Kalau tidak harus pergi jauh sehingga 5 km ke pekan Kati untuk mencari makan.



Jam 9 baru sampai ke perkarangan makam.


Turun dahulu ke Sungai Perak di sebelah.





Saya suka mencelup kaki lalu memperbaharui wudhuk di sungai.


Jam 9.12 baru masuk ke makam.


Adapun pagi itu saya sudah bangun jam 4.44 untuk menunaikan solat Tahajud. Selepas itu tergerak untuk memulakan penulisan tentang hari ke-2 pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September sementara menunggu waktu Subuh masuk. Setelah beberapa lama selepas solat timbul rasa lapar amat lalu keluar mencari sarapan. Di makam ini selepas memberikan salam dan membaca sedikit ayat Al-Quran penulisan pun disambung.


Artikel tersebut memerlukan banyak artikel sokongan. Walaupun ketika sampai di makam tinggal 2 sahaja daripada 9 artikel sokongan perlu disiapkan tetap ia mengambil masa yang lama. Sampai pada artikel utama masa begitu banyak dipakai sehingga harus beralih ke bangunan wakaf sebelah makam bagi menggunakan bekalan eletrik akibat bateri komputer riba sudah tinggal sedikit. Akibat daripada itu selepas jam 2 petang baru kerja siap lalu saya meninggalkan makam. Lihat Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Puncak Geurute, Marhum Daya dan mencari si mata biru keturunan Portugis di Lamno


Nah. Rancangan perjalanan dan aktiviti buat hari itu sudah lari jauh timing. Sepatutnya cuma maksimum 15 minit sahaja dihabiskan di makam kemudian pergi melihat satu jambatan. Selepas itu makan laksa kegemaran yang kedainya katanya mula menyediakan laksa dekat jam 11. Selesai itu saya mahu bersalin memakai busana tradisional Melayu lengkap untuk menyertai himpunan para aktivis sama minat di dataran tepi sungai dalam bandar Kuala Kangsar. Sebaliknya pada jam 2.30 saya masih berada di kawasan berdekatan untuk makan kerana dah tak tahan lapar.


Dekat jam 3 baru sampai ke jambatan. Malam sebelumnya ada lihat (rujuk Membawa semangat Aceh ke Perak - Hakikat Lailahaillallah dan 'restu istana'?) tetapi dalam kegelapan. Kali ini mahu melihat dan berjalan waktu terang. 


Dalam keadaan terang boleh cuba berjalan di atas laluan berisiko tinggi seperti ini. Dalam gambar nampak air seperti dekat air walhal sebenarnya lebih 50 kaki ke bawah.


Ramai juga orang datang bersiar-siar di atas jambatan untuk melihat pemandangan. Sila lihat artikel Victoria Bridge, Perak di blogspoSENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan Perak river from Victoria Bridge di blogspot BERPETUALANG KE ACEH).


Live video Facebook yang dibuat sambil berjalan di atas jambatan boleh dilihat di sini. Selepas itu bergerak ke bandar Kuala Kangsar menggunakan jalan kampung lalu bawah jambatan lain. Lihat Down the Iskandar bridge off Kuala Kangsar.


Masuk jalan besar terlihat satu makam yang agak terserlah.


Kemudian baru dapat tahu ia milik seorang pemimpin besar PAS (Parti Islam Se-Malaysia) dan isteri. Mereka meninggal dunia dalam perjalanan kembali ke Perak dari Kelantan tahun 1964. Apabila dijadikan artikel ia adalah yang ke-2020 di blogspot ARTMELAYU. Apakah ini petanda PAS bakal naik memerintah pada tahun tersebut? Atau ia membawa makna kuasa Islam akan betul-betul naik tanpa pengaruh kuffar? Lihat Makam (Tomb of) Profesor Dr Zulkifli Muhammad.


Seterusnya singgah di masjid ini untuk menunaikan solat. Nama masjid yang muncul selepas turutan peristiwa pada Hari Malaysia juga seperti mahu menyatakan sesuatu. Lihat Lawatan baru ke Masjid Hidayatul Ummah (New visit to Hidayatul Ummah mosque), Kota Lama Kiri. Semoga bangsaku mendapat hidayah.


Jam 4.19 baru masuk ke bandar Kuala Kangsar. Harus ada lagi masa untuk bersama kumpulan aktivis berbusana tradisional Melayu kerana menurut maklumat yang dibaca di FB mereka berkumpul daripada jam 10 pagi hingga 6 petang.


Untuk makluman aktivis seluruh Malaysia sedangkan mengadakan kempen hari memakai tanjak sempena Hari Malaysia tahun 2019. Banyak kumpulan menganjurkan perjumpaan berbusana di bandar-bandar utama malah lebih banyak tempat. Mereka bersilat dan melakukan aktiviti-aktiviti kebudayaan tradisional Melayu di hadapan umum.


Kumpulan aktivis Kuala Kangsar ini saya tak berapa kenal tetapi ada berkawan dengan seorang dua di FB. Tak beritahu pun nak datang kerana tak berani janji. Tengok-tengok ramai sudah balik atau menyambung di lain-lain tempat. Dah 'tutup kedai' tinggal beberapa orang mengemas.


Namun cukuplah dapat bersama walau seketika. Nah. Saya masih berseluar silat dan t-shirt sama sejak memulakan pengembaraan pusing Perak pada pagi hari sebelumnya.


Selepas mengisi perut di satu bahagian tepi sungai (lihat New visit to Kuala Kangsar promenade besides the Perak river) ziarah makam yang disebut sebagai milik Sheikh Abdul Qadir.


Seterusnya naik ke Bukit Chandan. Terus ke Kampung Changkat yang terletak di belakang istana...


Sampai satu bahagian meter menunjukkan 355 km telah dilalui sejak perjalanan bermula pagi Ahad.


Ziarah makam pembesar Perak berketurunan raja Bugis yang dikenali sebagai Daeng Selili. Papan maklumat salah tulis tu Sedili...





Selepas mengambil masa singgah rumah seorang kakak dan keluarga yang ada kaitan dengan Dato' Maharajela baru kembali ke atas bukit. Singgah di istana lama yang pernah dijadikan muzium diraja kemudian dikatakan harus dibaik pulih sebab rosak.





Seingat saya sebelum membuat perjalanan pertama ke Aceh awal 2004 itulah kali terakhir masuk ke dalam. Selepas itu ia ditutup. Entah bila siap...


Untuk penutup ziarah harus singgah masuk ke Masjid Ubudiyah, masjid diraja Perak.





Selepas itu baru ke kawasan pemakaman diraja Perak untuk menziarahi makam seorang moyang utama sebelah ayah, moyang yang susur galurnya bersambung dengan kerabat diraja Aceh membawa kepada kerabat diraja Samudera-Pasai...


Di makam moyang tergerak untuk membuka tangan sebegini ketika mengambil gambar. Selepas kembali dari Perak baru terasa ia seperti perlambangan  'mengambil sesuatu' dari makam...


Jam 7 saya menikmati laksa kegemaran di Kota Lama Kanan. Dengan itu selesailah urusan di Kuala Kangsar lalu boleh bergerak ke Ipoh. Di sana akan diadakan satu majlis ilmu yang menjadi asbab perjalanan Perak ini dibuat.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan