Khamis, April 25, 2019

Menyahut panggilan haul Tok Pulau Manis - Berkat keturunan Saidina Hassan?

Masuk hari ke-3 perjalanan merangkap hari ke-2 majlis haul Tok Pulau Manis. Bersambung daripada artikel Menyahut panggilan haul Tok Pulau Manis - Dari Kuantang ke Londong.


Pagi Sabtu 20 April 2019. Selepas menginap di satu kawasan perumahan beberapa kilometer jauh kami pun kembali ke lokasi majlis di Kampung Pulau Manis.


Ketika gambar ini diambil sudah jam 9.27 pagi. Kalau ikutkan penat kerana melilau merata sehingga jam 3 pagi mencari kedai makan yang masih dibuka sampai ke bandar raya Kuala Terengganu untuk saya bersahur awal (biasanya saya sahur sekitar jam 5) mahu lewat lagi baru ke majlis.


Tetapi ada sesi wacana atau perkongsian ilmu mahu dihadiri di Masjid Pulau Manis. Ia dijadualkan bermula jam 9 pagi. 


Lewat sedikit pun tak mengapa asalkan jangan terlepas langsung. 


Pun begitu saya terasa harus menziarahi dahulu makam Tok Pulau Manis dalam 100-150 meter dari masjid.


Malam sebelumnya dah ziarah sekali. Pagi nak ziarah lagi.


Sesungguhnya makam dan pemiliknya memiliki kedudukan yang sangat istimewa dalam hati saya. Entah sudah beberapa kali bertandang di sini. Pertama kali sampai tahun 2003 saya tidur 3 malam berturut di surau sebelah makam. Kadangkala apabila terasa gelisah saya masuk ke makam lalu beramal walau keseorangan dalam kegelapan hingga adakalanya terlelap di sebelah...


Keluar dari bangunan makam terlihat satu gerai menjual poster-poster dan buku agama.


Tengok-tengok jam 9.50 baru ke masjid...


Nasib baik wacana ilmu dimulakan lewat lalu tidaklah terlepas terlalu banyak.


Sebetulnya saya sendiri terlibat sebagai seorang pembentang apabila diminta berkongsi sedikit ilmu tentang Tok Pulau Manis terutama kaitan dengan Saidina Hassan secara bidang terjun.


Saya cuma diberitahu tentang penyertaan lewat malam sebelumnya. Nasib baik ada bahan dalam blogspot CATATAN MERAH SILU boleh membantu. Lihat artikel Haul Tok Pulau Manis - Membuka kaitan Saidina Hassan dan rahsia berkenaan secara bidan terjun di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Turut membantu perkongsian adalah buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal?" kerana ia mengandungi satu bab khas tentang Tok Pulau Manis. Disebabkan bab itu saya membawa sejumlah untuk dijual pada harga RM15 berbanding harga asal RM28 senaskah, RM5 untuk disumbangkan kepada tabung masjid atau surau Pulau Manis. Disebabkan perkongsian ilmu banyak juga terjual. Alhamdulillah buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" dan ke-12 "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" yang dibawa beberapa naskah pun turut terjual walau harga asal senaskah RM55 dikekalkan.


Adapun saya berada dalam masjid itu sehingga selesai solat Asar. Selepas itu bersantai melihat suasana riang di luar seperti pasar malam ramai orang berniaga pelbagai jenis barangan sebelum tumpang mandi di rumah kawan yang berdekatan hampir waktu Maghrib.


Malam itu masuklah tarikh 15 Sya'aban merangkap hari istimewa Nisfu Sya'aban. Selepas solat Maghrib diadakan bacaan Surah Yasin 3 kali berserta doa-doa berkenaan. Selepas solat Isyak hadirin berkumpul di kawasan padang berdekatan makam untuk acara kemuncak.


Acara kemuncak berupa sambutan Nisfu Sya'aban dan Maulidur Rasul diadakan bermula 9 malam. Sambil itu boleh kelihatan bulan penuh mengambang menghiasi angkasa (lupa ambil gambar).


Sesungguhnya ia hari yang sangat istimewa buat diri ini. Saya telah dimuliakan apabila dijadikan penceramah atau pensyarah akhir dan penutup membawa satu perkara penting tentang keistimewaan darah keturunan Tok Pulau Manis pada wacana atau sesi ilmu siang hari.


Pada tengah malam pula saya dimuliakan oleh tokoh ulama Tasawuf besar yang berdiri di sebalik majlis. Baca cerita berkenaan dalam artikel Haul Tok Pulau Manis - Kemuncak zikir dan maulud Nisfu Sya'aban. Apabila diri yang hina dimuliakan seorang ulamak besar Tasawuf.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan