Ahad, Mac 31, 2019

Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Makam-makam di Langgar, tarikan Gunung Keriang dan Kuala Kedah

Salam semua. Masuk cerita hari ke-3 perjalanan di utara baru ini. Bersambung daripada Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Panggilan makam Daeng Parani membawa ke Terusan Wan Mat Saman dan Alor Setar.


Pagi Isnin 25 Mac 2019. Bersedia untuk sesi penerokaan seterusnya... 


Kami anak beranak telah bermalam di surau lama ini.


Letaknya dekat dengan kawasan pemakaman diraja Kedah di Langgar, 11 km ke timur kota Alor Setar.


Boleh kata setiap kali kami lalu di sekitar ini kami akan cuba meluangkan masa untuk menziarahi makam diraja. Kali ini kami ada misi khusus. Satu untuk mencari makam Daeng Parani, pahlawan besar Bugis abad ke-18 yang dikatakan turut terdapat di sini. Sedangkan yang biasa disebut orang makam beliau (baginda sebenarnya) terletak di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri, 80 km ke selatan. Kedua adalah makam Perdana Menteri Kedah penghujung abad ke-18 iaitu Wan Mat Saman,. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab membina Terusan Wan Mat Saman yang terkenal dalam sejarah tanah air.


Ada orang menunjukkan inilah makam Daeng Parani. Ditunjukkan sekali makam di sebelah sebagai milik isteri baginda. Tahun lepas ada orang lain menunjukkannya di makam diraja Langgar juga. Cuma tak ingat yang mana dan ketika itu saya kurang hendak mengambil tahu.


Turut ditunjukkan makam Wan Mat Saman. Sebetulnya gerak untuk mencari makam ini baru muncul petang sebelumnya iaitu ketika berada di Masjid Sidam Kiri sebelum menziarahi makam Daeng Parani yang di Ekor Lubur. Apabila diberitahu ia terletak di Langgar timbul rasa untuk mencari makam Daeng Parani yang katanya turut wujud di situ. Rujuk balik cerita berkenaan dalam Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Panggilan makam Daeng Parani membawa ke Terusan Wan Mat Saman dan Alor Setar.


Adapun ketika menulis artikel itu petang semalam tiba-tiba muncul satu rasa seperti mengesahkan memang benar ada makam Daeng Parani di Langgar. Terus timbul gerak untuk menyatakannya di Facebook. Begini bunyi status update berkenaan yang dipaparkan di FB jam 2.36...


------------


MAKAM DAENG PARANI - APAKAH DI SIDAM KIRI ATAU DI LANGGAR?

Masyaallah. Tiba-tiba mendapat rasa bahawa lokas makam Daeng Parani di Langgar, Alor Setar adalah benar. Lokasi makam beliau (baginda sebenarnya) di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri, 80 km ke selatan Alor Setar juga adalah benar. Rasa ini terbit ketika sedang menulis artikel hari ke-2 perjalanan saya dan keluarga ke utara baru ini. Disebut dalam artikel timbul gerak untuk menziarahi makam Daeng Parani yang merupakan moyang saya sebelah ibu. Sebelum sampai ke sana, ketika beriktikaf di masjid berdekatan pula timbul gesaan agar mencari lokasi makam Perdana Menteri Kedah abad ke-19 iaitu Wan Mat Saman,

Wan Mat Saman ini baru beberapa bulan saya ketahui adalah salah seorang moyang sebelah bapa. Pada hari ke-2 perjalanan itu baru dapat tahu makam beliau berada di Langgar selepas bertanyakan kawan-kawan di FB. Pada hari ke-3 kami berkesempatan menziarah makam beliau. Sambil itu saya minta ditunjukkan lokasi makam Daeng Parani yang dikatakan turut berada di Langgar berdasarkan maklumat yang diterima beberapa waktu lalu. Alhamdulillah dapat juga menziarahi makam baginda di sebelah situ,

Jadi yang manakah betul makam Daeng Parani? Di Langgar kah atau di Sidam Kiri kah? Tadi saya mendapat jawaban makam di Langgar adalah benar. Tetapi sebelum itu baginda dimakamkan di Ekor Lubuk. Ini disebabkan baginda mangkat dalam peperangan di sekitar itu. Selepas beberapa lama dan Kedah sudah aman baru dialih ke Langgar kerana seorang isteri baginda iaitu Tunku Aisyah adalah adik beradik kepada Sultan Muhammad Jiwa Kedah.

Subhanallah. Mata hati saya terlihat Wan Mat Saman tersenyum sahaja tadi. Entah apalah ilmu yang bakal terbuka selepas ini...


Namun tidak lama kemudian ada kenalan yang katanya adalah keturunan Daeng Parani daripada isteri kerabat Kedah iaitu Tunku Aishah menghubungi saya untuk memberitahu bahawa makam Daeng Parani tetap berada di Ekor Lubuk tidak di Langgar. Menurut beliau memang ada percubaan untuk mengalih jasad baginda ke makam diraja Kedah tetapi tidak berjaya. Hal ini pun dinyatakan dalam artikel bertajuk Makam Daeng Parani di Langgar (Tomb of Daeng Parani at Langgar)?  di blogspot  SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi.

Apapun saya berpuas hati kerana dapat menemui makam Wan Mat Saman setelah timbul gerak untuk mencarinya pada hari sebelumnya. Lihat Makam (Tomb of) Wan Mat Saman. Dah alang-alang berada di Langgar ambil sekali gambar-gambar makam Perdana Menteri pertama Malaysia yang merupakan kerabat diraja Kedah. Lihat Makam (Tomb of) Tunku Abdul Rahman.


Bila sudah berada di Langgar saya juga biasanya akan menziarahi makam Sheikh Abdul Qadir yang dikatakan hidup lebih 1,000 tahun lalu. Itu yang berbatu nesan kuning dalam satu gambar atas. Cerita tentangnya sudah disebut banyak kali dalam artikel-artikel terdahulu. Di bahagian lain Langgar mendekati kota Alor Setar kami singgah makan di sebuah restoran dengan pondok-pondok kayu. Sekali lagi saya cuma mampu melopong melihat hidangan kerana sedang berpuasa.


Destinasi seterusnya adalah Anak Bukit ke utara Alor Setar.


Di situ terdapat istana Sultan Kedah sejak zaman moden. Gerak hati menyuruh melihatnya sebelum bergerak meninggalkan Alor Setar.


Rupa-rupanya ada asbab lain ke Anak Bukit. Dalam perjalanan terlihat beberapa papan tanda menunjukkan arah ke Gunung Keriang. Terus isteri mengajak ke sana. Selepas berhenti sejenak di hadapan istana kami pun bergerak ke destinasi tersebut.


Gunung Keriang ini kami pernah singgah sekali sahaja sebelum ini. Ini berlaku dalam satu perjalanan jauh di utara sehingga ke Hatyai di Thailand hampir penghujung tahun 2010. Ketika itu kami merasakan seolah-olah Gunung Keriang ini ada kaitan tertentu dengan Aceh. Lihat Mencari jejak Merong : Gunung Keriang... bayangan kerajaan Aceh di Kedah?.



Kali ini kami bersempatan memanjat hingga tinggi separuh bukit kemudian masuk ke dalam gua besar. Lihat artikel Exploring the big cave at Gunung Keriang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Namun tujuan utama isteri mengajak adalah lebih santai.


Beliau  ingin melawat resort atau pusat peranginan Gunung Keriang kerana pernah menjadi lokasi satu siri drama kegemaran di televisyen bertajuk "Lelaki Kiriman Tuhan".


Destinasi seterusnya pula memang ada dalam rancangan saya sejak memutuskan untuk pergi ke Alor Setar hari sebelumnya iaitu pada pagi Sabtu. Ia adalah makam seorang tokoh (abad ke-18 atau 19) yang dikenali sebagai Tok Pasai dekat jeti Kuala Kedah.


Dahulu kalau ke Alor Setar saya mesti ke sini kerana kedudukannya bukan jauh sangat 12 km ke arah barat. Tapi dah beberapa tahun juga tak ziarah. Oh, sebelum ke sini kami lalu jambatan yang diberikan nama sempena beliau. Lihat Tok Pasai bridge at Kuala Kedah. Kemudian singgah di masjid berdekatan. Lihat Masjid India (The Indian mosque of) Kuala Kedah.



Dari Kuala Muda kami bergerak selatan ke Yan...


Sepanjang perjalanan kelihatan sawah padi luas berlatarbelakangkan Gunung Jerai.


Sampai ke Yan tergerak untuk membelok ke satu pusat peranginan yang belum pernah kami sampai. Lihat The waterfall of Seri Perigi, Yan.


Perjalanan diteruskan ke Seberang Perai. Sebelum itu kami menyeberang dua sungai utama di utara Semenanjung. Lihat artikel Merbok river at Semeling revisited  diikuti Bridge across Muda river on the old trunk road.


Masuk ke jeti terus dapat feri yang kebetulan bernama "Pulau Pinang".


Seingat saya inilah kali pertama naik feri yang ini. Selalunya dapat yang nama pulau apa-apa entah,


Kali ini timing memang baik. Sejurus sebelum feri mendapat di Georgetown masuk waktu Maghrib lalu saya boleh berbuka puasa. Mendarat sahaja terus menuju ke kedai nasi kandar terdekat lalu kami pun makan. Jaraknya cuma 500 meter dari jeti...


Selepas itu kami bersolat di Masjid Lebuh Aceh. Sebelum melelapkan mata sempat melihat satu meriam berusia lebih 400 tahun yang ada kena-mengena dengan Aceh. Lihat Meriam Seri Rambai di (Seri Rambai Canon at) Fort Cornwallis. Untuk makluman ini adalah artikel ke-1,771 di blogspot ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan