Jumaat, Disember 07, 2018

Persidangan Adab Pemerintahan Pesan Tamadun Melayu-Islam - Rujukan daripada kitab-kitab Alam Melayu

Salam malam Jumaat. Merujukpada artikel Akan datang tidak lama lagi - Cerita Jejak Kerajaan Funan yang dipersembahkan pada hari Selasa malam Rabu lalu. Adapun pada siang hari itu saya sepatutnya menghadiri kelas di ISTAC setelah 12 hari bercuti untuk keluar berkelana bersama keluarga di negara orang. Tetapi kelas dibatalkan atas sebab tertentu lalu dialih kepada hari Khamis iaitu pada siang tadi.

Pagi Rabu pula saya bersedia untuk menghadiri kelas petang itu tetapi mendapati pensyarah untuk kelas setiap hari Rabu iaitu Profesor Datuk Dr Awang Sariyan harus membentang dalam satu majlis ilmu di Shah Alam yang berlangsung sepanjang hari. Beliau mengundang pelajar melalui Whatsapp untuk menghadiri majlis lalu mengisytiharkannya sebagai ganti kelas. Dengan itu saya pun mengatur langkah untuk ke lokasi majlis.


Kalau ikutkan penat yang belum hilang setelah hampir 2 minggu mengembara agak lasak selain harus menguruskan anak-anak boleh sahaja saya tidak menghadiri majlis. Lainlah kalau pada waktu petang, boleh tinggalkan mereka barang sejam dua di rumah menunggu isteri kembali dari pejabat jam 4.30. Itulah yang biasa dilakukan atau letak anak di pejabat isteri sementara saya bergegas ke kelas. Apabila mendapati pembentangan Awang dijadualkan berlangsung sekitar 10 pagi saya harus hadir waktu itu kalau mahu mengikuti. Memikirkan saya sudah pun terlepas dekat 2 minggu kelas akibat pengembaraan yang sudah dirancang bersama keluarga sejak awal tahun lalu saya terasa wajib menghadiri.


Anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah pengasuh dengan sedikit bayaran. Ini biasa dilakukan kalau saya ada urusan di luar sepanjang hari. Nasib baik ketika sampai ke lokasi majlis iaitu di Dewan Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam jam 10.26 ia masih dalam fasa pembukaan. Ketika itu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad sedang memberikan ucapan perasmian.


Nama majlis adalah Persidangan Adab Pemerintahan Pesan Tamadun Melayu-Islam. Menurut buku atur cara saya sudah terlepas ucapan alu-aluan Penyandang Kursi Institut Raja-raja Melayu (bawah UiTM), Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling diikuti ucapan Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Dato' Dr Hassan Said.


Nak bertolak awal ke majlis memang tak larat akibat kepenatan yang belum kebah selepas tamat pengembaraan. Kalau ikutkan atur cara, ketika saya sampai itu harus sudah bermula sesi pembentangan kerana ia dijadualkan bermula jam 10.20.


Saya terpaksa keluar sebentar untuk satu urusan. Ketika masuk kembali jam 10.56 pembentang pertama sesi pagi dan tengah hari, Prof Madya Dr Azman Yusof yang merupakan pensyarah kanan di Universiti Kuala Lumpur sedang berkongsi ilmu.


Beliau membawa tajuk "Thamarat Al Muhimmah". Ia merupakan satu kitab ketatanegaraan yang dikarang oleh pujangga besar Melayu-Bugis-Riau abad ke-19 Masihi, Raja Ali Haji.


Dikongsikan tatacara pemerintahan dan pentadbiran negara yang tertera dalam kitab.


Disebut tentang majlis penasihat raja bernama Ahl Al-Halli Wa Al-'Aqdi yang bertujuan untuk memastikan raja-raja menjalankan amanah sesuai dengan kedudukan berdasarkan syariat syumul Islam.


Digariskan apa yang patut ada pada seorang raja...





Selepas beberapa lama naik pembentang kedua, Profesor Dr Jelani Harun daripada Pusat Kajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia membawa tajuk yang kelihatan.


Persoalan "Pedang atau Kalam?" merujuk kepada kekuasaan berbanding ilmu pengetahuan diangkat sebagai latar belakang dalam menentukan arah tuju pemerintahan.


Walaupun ada menyebut beberapa kitab besar Alam Melayu sebagai buku-buku ketatanegaraan beliau mengambil kitab Bustanus Salatin karangan ulamak besar Aceh pada zaman Sultan Iskandar Thani (memerintah 1636-1641 Masihi) sebagai rujukan utama pembentangan.








Masuk jam 11.55, pensyarah saya di ISTAC iaitu Profesor Datuk Dr Awang Sariyan mengambil tempat. Beliau yang diminta bercakap tentang ilmu ketatanegaraan dalam kitab Tajus Salatin karangan Bukhari al-Jauhari di Aceh (sekitar tahun 1603 atau 1604) melakukannya tanpa bantuan slaid.


Hal menarik dibangkitkan Awang yang nampaknya pembentang-pembentang sebelumnya terlepas untuk mengupas adalah betapa aspek-aspek spiritual/tasawuf sangat ditekankan dalam membentuk peribadi seorang raja. Menurut beliau ini adalah perkara besar dalam Tajus Salatin yang kurang difahami mereka yang mengkritik pengisian dalam kitab.


Pembentang keempat, Datuk Zainal Abidin Borhan yang merupakan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan juga membentang tanpa slaid.


Membawa tajuk "Sulatussalatin - Wasiat Sultan Melaka" beliau mengupas ilmu ketatanegaraan yang tersurat dan tersirat dalam kitab besar tersebut...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan