Jumaat, Disember 07, 2018

Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Siem Reap sebagai tapak permulaan penjelajahan

Merujuk kepada artikel Akan datang tidak lama lagi - Cerita Jejak Kerajaan Funan yang dipersembahkan Selasa malam Rabu lalu. Maghrib tadi timbul rasa untuk mempersembahkan cerita hari pertama perjalanan tersebut. Beberapa artikel sokongan pun ditulis dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Selepas itu terbit ilham untuk menamakan siri sebagai "Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan". 

Tentang kenapa ia diberi nama begitu akan menjadi jelas apabila siri diikuti dengan teliti. Buat masa ini cukup disebut bahawa empayar Funan pernah meliputi sebahagian besar wilayah Indo-China, Ini termasuk kawasan-kawasan yang kemudian menjadi negara-negara moden Thailand, Cambodia, Laos dan Vietnam. Ia adalah kerajaan terawal diketahui wujud dalam sejarah Asia Tenggara iaitu bermula pada abad pertama Masihi.


Hari Khamis 22 November 2018. Saya, isteri dan anak-anak meninggalkan rumah seawal jam 3 pagi untuk menuju ke lapangan terbang KLIA2.


Kami harus bertolak awal kerana telah menempah penerbangan jam 6.45 pagi ke Siem Reap . Tiket-tiket tambang murah telah dibeli seawal bulan Januari.


Kami telah meminta kebenaran sekolah untuk anak-anak bercuti 2 hari lebih awal daripada yang dijadualkan. Kalau beli tiket selepas masuk cuti akhir tahun sekolah hari Sabtu 24 November harganya adalah berkali ganda.


Selepas lebih kurang 1 jam 40 minit penerbangan masuklah kami ke ruang udara Cambodia. Pesawat dijadualkan mendarat jam 7.50 waktu tempatan. Lihat artikel Flight to Siem Reap.


Sampai sahaja ke lapangan terbang Siem Reap, pemandu tuk tuk yang kami tempah sejak dari Malaysia telah sedia menunggu di luar.


Namanya Salim, boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik kerana pernah bekerja di Malaysia selama beberapa tahun. Beliau adalah seorang warga tempatan daripada bangsa Melayu Cham iaitu Melayu yang berasal dari Champa. Ini merujuk kepada sebuah kerajaan Melayu besar dahulukala yang kini telah hilang daripada peta dunia akibat ditakluki lalu 'ditelan' kaum Dai Viet dari selatan China. Mereka menggantikannya dengan negara Vietnam.


Kami menempah beliau untuk meneroka Siem Reap selama 2 hari.


Permintaan pertama kami bawa ke sebuah tasik besar buatan yang katanya didirikan oleh kerajaan lama Khmer atau Angkor sekitar 1,000 tahun lalu. Lihat West Baray, Siem Reap.


Beliau kemudian membawa kami ke bandar raya Siem Reap lalu menuju ke satu kawasan Melayu untuk mendapatkan makanan halal.


Dekat kedai makan terdapat masjid ini. Kami pun singgah. Lihat Masjid (Mosque of) An Neakmah, Siem Reap.


Selepas makan kami minta dihantar ke tempat penginapan yang juga telah kami tempah di Malaysia.


Anak-anak tak sabar nak masuk kerana ada kolam renang.


Saya sendiri mengambil kesempatan berendam dan berehat santai di sekitar...


Selepas jam 3 petang baru kami menyambung penjelajahan dengan menuju ke selatan.



Dalam perjalanan terlihat beberapa tempat tarikan orang memakan biji teratai.





Sasaran kami mahu melihat tasik besar Tonle Sap. Memanjang lebih 130 km dan melebar 50 km ia adalah tasik terbesar di Asia Tenggara. Lihat Access to Tonle Sap.


Dekat laluan masuk ke tasik ada sebuah masjid. Lihat Masjid (mosque of) ar-Rafee'ah, Tonle Sap, Siem Reap.


Sempatlah berkenalan dengan imam masjid, namanya Ismail kalau tak salah ingatan. Beliau boleh bertutur sedikit dalam bahasa Melayu.



Sekitar 1-2 km ke utara masjid ada sebuah bukit menarik. Melihat ada tangga naik ke atas saya pun berkejar naik.


Dari atas bukit boleh dilihat tasik Tonle Sap terbentang luas. Rujuk artikel Views of Tonle Sap from Phnom Krom.


Perjalanan diteruskan masuk ke pusat bandar raya Siem Reap.


Dapatlah melihat suasana kemeriahan kota hingga ke waktu malam. Lihat artikel  Siem Reap by tuk tuk diikuti Around the night market of Siem Reap.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan