Selasa, Ogos 07, 2018

Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995


Bandar dan kota lama Sisteron di selatan Peranchis. Di sini saya buat kerja gila tidur bersandarkan lereng curam bawah jambatan purba dengan sebatang pokok di kaki sahaja menahan daripada jatuh terjunam ke dalam sungai. Selepas itu saya buat kerja lebih gila apabila tidur dalam terowong kenderaan dengan kereta dan lori lalang cuma 2-3 kaki sahaja dari kepala dan badan...



Merujuk kepada artikel Bila kenangan hitchiking solo pusing Eropah musim panas tahun 1995 menyapa yang dipersembahkan 11 hari lalu. Pada penghujung artikel ada diisytiharkan bahawa saya ingin membukukan cerita perjalanan tersebut menyambung satu usaha yang sebenarnya terbengkalai 21 tahun lalu. Pagi tadi sebelum Subuh saya berjaya menyelesaikan peringkat pertama penulisan buku. Saya telah menterjemahkan kesemua isi catatan perjalanan yang dibuat dalam buku kecil 64 muka surat (dibawa sepanjang perjalanan) lalu melakarkan kembali semua laluan menggunakan Google Map hari ke hari. Sebagai tanda kesyukuran ingin saya berkongsi satu bahagian di mana diringkaskan apa-apa yang berlaku daripada hari ke hari. Untuk makluman pengembaraan ini memakan masa keseluruhan 33 hari. Ini kerana ia dimulakan 17 Ogos sebelum tamat 18 September tahun 1995.



Ringkasan Perjalanan Pusing Eropah 
17 Ogos - 18 September 1995


Hari 1 : Khamis 17 Ogos 1995 - Bertolak dari London jam 10.10 malam. Bermalam dalam bas ke Amsterdam termasuk di atas feri dari Dover di United Kingdom ke Calais di Peranchis

Hari 2 : Jumaat 18 Ogos - Sampai Amsterdam di Belanda sekitar jam 10 pagi. Menginap dua malam dalam sampan orang di terusan dekat Nieuwmarkt.

Hari 4 : Ahad 20 Ogos - "Lompat' pengangkutan awam (tak bayar tambang) dari Amsterdam ke Schipol ke Leiden. Sampai ke Den Haag jam 11.30 malam. Menginap di rumah kawan dua malam 

Hari 6 : Selasa 22 Ogos - Baru memulakan hitchhike. Dari Den Haag sampai ke Rotterdam diikuti  Dordrecht dan Delft. Sampai ke Venlo hampir sempadan negara Jerman dekat tengah malam.. Jalan kaki seberang sempadan. Tidur di tepi lebuh raya Autobahn.

Hari 7 : Rabu 23 Ogos - Tumpang treler panjang ke Koblenz. Menumpang kenderaan lain ke Bingen diikuti Wiesbaden dan Mainz. Tidur atas jejantas pejalan kaki.

Hari 8 : Khamis 24 Ogos - Naik kereta api ke Frankfurt. Tidur bawah jambatan menyeberangi Sungai Main.

Hari 9 : Jumaat 25 Ogos - Naik tram di Nieder- Eschbach. Tumpang kenderaan ke arah Wiesbaden.Sampai lewat ke Dresden. Menginap dalam van milik kenalan baru.

Hari 10 : Sabtu 26 Ogos - Berjalan-jalan di Dresden. Tumpang kenderaan untuk ke. Republik Czech. Dapat masuk sempadan tengah malam. Menginap atas meja di luar sebuah restoran di bandar Dubi.

Hari 11 : Ahad 27 Ogos - Menumpang kenderaan ke Teplice. Berjalan kaki ke Milesov. Tumpang kenderaan ke Prague. Mahu bermalam di hadapan kedai pizza. Diajak bermalam di rumah flat warga tempatan lalu barangan dicuri.

Hari 12 : Isnin 28 Ogos - Tumpang bas penuh peninju Czech dalam perjalanan ke Romania. Diturunkan di Brno. Bermalam di perhentian tram.

Hari 13 : Selasa 29 Ogos - Naik kereta api ke Brastilava. Bermalam di kawasan terbuka berhadapan kedutaan Peranchis bersama ahli NGO Greenpeace yang membuat bantahan terhadap ujian nuklear Peranchis di Lautan Pasifik.  Esoknya bermalam di stesyen kereta api kemudian stesyen tram.

Hari 15 : Khamis 31 Ogos - Bergaduh dengan inspektor tiket bas. Berjalan kaki ke sempadan negara Austria. Tumpang kenderaan ke Vienna. Bermalam dalam kolong di tepi sungai Little Danube. Esoknya bermalam di rumah seorang pegawai kedutaan Malaysia.

Hari 17 : Sabtu 2 September - Meninggalkan Vienna lewat petang. Tumpang kenderaan ke St.Polten diikuti Ybbs. Sampai ke Eugendorf, 12 km sebelum Salzburg. Bermalam bawah jejantas lebuh raya.

Hari 18 : Ahad 3 September - Tumpang van ke Salzburg. Sampai jam 11.10 pagi. Menginap di bilik menunggu stesyen kereta api.

Hari 19 : Isnin 4  September- Jalan kaki ke Walserberg kemudian jalan kaki masuk sempadan Jerman. Tumpang bas ekspress kosong hingga ke Rosenheim. Kemudian tumpang kereta wanita berumur hingga ke Widnau di Switzerland. Menginap di rumah beliau tiga malam.

Hari 22 : Khamis 7 September - Dibawa ke negara kecil Liechtenstein,  puncak Gunung Rigi dan beberapa tempat sebelum diturunkan di Zurich. Bermalam di bawah jejantas tempat letak kereta tidak jauh dari stesyen kereta api utama. 

Hari 23 : Jumaat 8 September - Berjalan kaki menyusuri tasik Zurichsee. Tumpang kenderaan ke Au diikuti Wadenswil dan Pfaffikon. Tumpang kenderaan ke Goldau diikuti Brunnen. Jalan kaki 14 km hingga ke Fluelen. Bermalam di stesyen kereta api.

Hari 24 : Sabtu 9 September - Selepas berjalan kaki sekitar 3 km baru dapat menumpang kereta  ke luar Milan di Itali. Tumpang kenderaan sampai di lebuh raya ke Genoa. Jalan kaki 8 km ke pusat bandar raya kemudian beberapa kilomter lagi ke stesyen kereta api. Tidur di stesyen kereta api kemudian tepi pelabuhan

Hari 25 : Ahad 10  September- Naik bas ke Sampierdarena kemudian ke pinggir barat Genoa. Jalan kaki 5 km ke Arenzano. Jalan lagi kemudian tumpang kenderaan ke Savona. Tumpang ke Andora. Sampai ke plaza tol Sanremo dekat tengah malam. Bermalam bawah pokok dekat tol.

Hari 26 : Isnin 11  September- Setelah 15 jam berada dekat tol dapat tumpang kereta masuk sempadan Peranchis lalu Monaco dan Eze. Sampai Nice jam 4.30 petang. Bermalam di tepi pantai.

Hari 27 : Selasa 12 September - Dari Nice tumpang kenderaan ke Puget Theniers kemudian beberapa kenderaan sehingga ke Entrevaux. Sampai ke Sisteron waktu malam. Bermalam di bawah pokok dekat sungai, bawah jambatan purba dengan lereng menjunam ke sungai diikuti dalam terowong laluan kereta dan lori.

Hari 28 : Rabu 13 September - Tumpang kenderaan ke Laragne-Monteglin. Jalan kaki ke Eyguians. Dapat kenderaan ke Grenoble sebelum ke Lyon. Ditahan polis ketika berjalan kaki lalu terowong tengah pusat bandar. Tidur dalam lokap. Malam esoknya tidur di kawasan rehat luar sedikit ke utara Lyon.

Hari 30 : Jumaat 15 September - Tumpang kenderaan dari kawasan rehat di lebuh raya luar Lyon sehingga ke Evry di selatan Paris. Jalan kaki lebih 25 km sampai ke Porte d'Italie di sempadan selatan bandar raya Paris. Tidur di pintu masuk taman bunga.

Hari 31 : Sabtu 16 September - Berjalan kaki ke pusat bandar raya Paris. Melawat banyak tempat menarik termasuk Menara Eiffel. Berjalan kaki ke St Denis di utara Paris kemudian ke lebuh raya A1. Jarak berjalan kaki lebih 25 km. Tidur dalam kereta tumpang ke Brussels.

Hari 32 : Ahad 17 September - Terlajak ke Antwerp sebelum dihantar ke Brussels. Pusing-pusing bandar raya melawat beberapa tempat berjalan kaki lebih 15 km sebelum menaiki bas malam untuk kembali ke London. Bermalam dalam bas.

Hari 33 : Isnin 18 September - Masih berada di tanah besar Eropah selepas tengah malam. Naik feri dari Calais menyeberangi Selat Inggeris sebelum sampai kembali ke London sekitar jam 4 pagi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan