Isnin, Jun 04, 2018

Kedudukan sebenar kedaulatan raja-raja Melayu dan perlembagaan negara

Merujuk kepada artikel Keluar daripada kepenatan yang teruk melanda sejak PBAKL2018 yang dipersembahkan semalam. Sekarang biar dikongsikan cerita-cerita beberapa aktiviti terbaru.

Sejak 2-3 minggu lepas saya diberitahu akan berlangsung satu syarahan bertajuk "Kedaulatan Raja-raja Melayu Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia Menurut Jurispudens" mahu diadakan di ISTAC (Institute of Islamic Thought and Malay World) pada hari Jumaat 1 Jun 2018.


Sampai waktunya saya pun bergegas ke lokasi...


Kelihatan hadirin rata-rata adalah para aktivis NGO yang mahu mendaulatkan Melayu dan Islam.


Pensyarah atau pembicara, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi pula merupakan seorang peguam Melayu Islam yang agak aktif dalam dunia persilatan.


Beliau membuka dengan menyatakan makna kedaulatan menurut undang-undang. Dalam konteks perlembagaan negara Malaysia yang menurut kajian beliau jelas berdasarkan prinsip kemuliaan Islam ia adalah kesinambungan zaman berzaman kekuasaan dalam menjaga kemaslahatan ummah berdasarkan kitab-kitab suci terdahulu sehinggalah Al-Quran diturunkan. Tetapi dalam konteks Barat ia adalah dikotomi iaitu pemisahan daripada agama yang makna kedaulatan (merujuk kepada kekuasaan suatu negara) adalah sesuatu yang diwujudkan atau diberikan oleh rakyat.


Perbezaan ini harus difahami baik-baik. Kedaulatan dalam Islam adalah satu kekuasaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada para wakilNya seperti raja-raja untuk menjaga dan mengatur negara dan rakyat menurut ajaran Islam. Sedangkan dalam konteks Barat kewujudan Tuhan diketepikan. Kedaulatan dikatakan berpunca daripada sokongan rakyat yang memberikan kekuasaan kepada para pemimpin pilihan mereka untuk mengatur kehidupan.


Hal ini penting untuk difahami betul-betul kerana selama ini kita memahami perlembagaan dalam konteks kekuasaan yang diberikan oleh rakyat. Sedangkan hakikat dan kebenaran sejarah di Alam Melayu menunjukkan perlembagaan negara wujud akibat persetujuan raja-raja Melayu dan raja-raja Melayu pula adalah khalifah atau wakil Allah SWT di muka bumi untuk menjaga kemaslahatan rakyat.


Oleh itu perlembagaan negara Malaysia atau perlembagaan persekutuan sebenarnya dibuat sebegitu rupa untuk sedia mempertahankan hak-hak orang Melayu dan menjunjung tinggi Islam.


Maka itu harus ditolak fahaman salah bahawa raja-raja Melayu berada di bawah perlembagaan. Tidak. Raja-raja Melayu adalah punca kuasa yang membawa kepada wujudnya perlembagaan, bukannya rakyat. Di bawah perlembagaan itu baru ada cabang-cabang pemerintahan seperti eksekutif (menteri, ahli parlimen) dan kehakiman dan sebagainya.


Struktur serupa terpakai baik pada peringkat negara mahupun negeri. Selama ini disebabkan keadaan  (baca : kepentingan-kepentingan politk) kita terbawa untuk menafsirkan perlembagaan dan segala aspek perundangan daripada sudut pandang Barat yang mengatasnamakan rakyat. Kita patut  kembali pada tafsiran dan 'jiwa' sebenarnya perlembagaan yang meletakkan raja-raja Melayu paling atas kerana mereka diberikan  amanah untuk menjaga maslahat penduduk menurut ajaran Islam.


Maka itu menurut pemahaman murni yang sepatutnya tentang perlembagaan persekutuan, walaupun benar yang mendraf atau menukilkannya adalah orang Barat ataupun British, atas maklum balas raja-raja Melayu ia digubal sebegitu rupa untuk mengutamakan Allah SWT sebagai sumber kekuasaan mutlak, raja-raja cuma wakil yang menjalankan tugas.


Hal ini boleh dilihat pada sumpah yang dilafazkan oleh setiap Yang Di-Pertuan Agong ketika mula-mula ditabalkan...


Kemudian kuasa yang ada pada raja pula diwakilkan atau didelegasikan kepada pihak eksekutif (yang biasa disebut sebagai kerajaan itu menurut kefahaman kita sekarang) dan pihak perundangan.


Para pemuka kerajaan yang terdiri daripada ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat pun harus bersumpah ketika awal mengambil tugas. Dinyatakan mereka harus taat setia kepada negara Malaysia dan perlembagaan sedangkan baik negara mahupun perlembagaan sebenarnya berada di bawah institusi raja-raja Melayu.


Kekeliruan yang telah berlaku begitu panjang sejak kita merdeka tentang perlembagaan lalu kita lebih mengutamakan undang-undang menurut Barat secara bertulisnya adalah disebabkan wujud satu akta yang kelihatan menyuruh kita mengikut undang-undang Common Law British sepertimana digariskan pada tahun 1956. Sedangkan akta sama menyatakan ia harus menurut keadaan setempat di negeri-negeri Melayu yang sejak zaman berzaman telah memakai undang-undang Islam.


Sebetulnya ramai pengkaji undang-undang berbangsa Melayu yang sayangkan Islam sedar betapa perlembagaan sedia ada itu sebenarnya menjunjung tinggi agama Islam dan menjaga hak-hak orang Melayu sebagai anak watan asal. Tetapi disebabkan ada pihak berkepentingan yang mahu menonjolkan diri sebagai penyelamat bangsa selain mahu menjadi lebih berkuasa daripada raja maka  hakikat sebenar perlembagaan sengaja disembunyikan  sejak sekian lama...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan