Isnin, Jun 04, 2018

Bengkel 3 tiang seri Melayu - Mencari formula untuk memperkasakan bangsa dan raja-raja Melayu dalam Malaysia baru



Esoknya pagi Sabtu 2 Jun 2018 bersamaan 17 Ramadhan 1439 Hijriah, hari Nuzul Quran saya ke Kota Damansara untuk menghadiri satu bengkel ilmu.


Dianjurkan oleh satu NGO bernama Gabungan Mi'Raj ia bertujuan untuk mencari formula bagi memperkasakan bangsa dan raja-raja Melayu dalam Malaysia baru iaitu Malaysia selepas kejutan pertukaran kerajaan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.


Hadirin boleh memilih untuk menyertai satu daripada 3 kumpulan berdasarkan konsep 3 tiang seri Melayu. Satu dikhaskan untuk bab aqidah, satu tentang kedaulatan raja-raja dan hak istimewa orang Melayu, satu tentang adat dan budaya. Hal ini mengingatkan pada konsep serupa yang diadakan pada penghujung acara-acara HIKMAH anjuran saya.. Hadirin juga boleh memilih kumpulan untuk berbincang. Cuma skop minat sahaja berbeza. Lihat artikel HIKMAH 4 Nov - Lepas Zuhur hampir ke Maghrib masih tak balik-balik! di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) sebagai contoh...





Saya memilih untuk bersama kumpulan kedaulatan. Pemudahcara adalah Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi yang ada membuat syarahan berkenaan di ISTAC (Institut Pemikiran Islam dan Dunia Melayu) pada hari sebelumnya. Lihat Kedudukan sebenar kedaulatan raja-raja Melayu dan perlembagaan negara.


Wan Fauzi mengulangi beberapa perkara yang telah dikongsikan di ISTAC. Paling utama adalah membetulkan silap faham tentang perlembagaan juga kedudukan raja-raja. Ditegaskan bahawa menurut tafsiran perlembagaan yang tepat undang-undang Islam ataupun Syariah harus mengatasi undang-undang Barat berdasarkan English Common Law yang diamalkan di Great Britain. Penerangan harus diberikan kepada semua pihak supaya jelas perkara.





Hadirin kemudian diminta berkumpul dalam satu bulatan untuk mendengar hasil perbincangan tadi.


Wakil daripada setiap kumpulan diminta untuk berkongsi perkara. Sambil itu orang lain bolehh memberikan maklum balas.


Antara perkara pokok yang dipersetujui adalah raja-raja Melayu harus menjadi focal point atau titik tumpu bagi penyatuan ummah. Untuk itu mereka harus menjadikan diri sebagai role model atau orang yang layak menjadi ikutan menurut prinsip-prinsip syumul Islam...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan