Ahad, Februari 19, 2017

Mengimbau filem "Kembara Seniman Jalanan" di Sarang Art Hub

Salam semua. Adapun 3 hari lalu saya telah mengatur lalu memuatnaik lebih 240 keping gambar sebagai tulang belakang untuk 9 buah artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH, 14 artikel di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Ini adalah untuk menyokong penceritaan aktiviti sekitar hari ke-3 perjalanan saya di bahagian tengah Sumatera 25 Februari-1 Feb. Apa yang diperlukan dibuat selepas itu adalah mengarang cerita di blogspots tersebut berdasarkan gambar. Kemudian baru artikel rangkuman dapat dipersembahkan di blogspot ini. 

Cadangnya ini semua mahu dibuat pada hari tersebut iaitu Khamis 16 Februari. Paling lewat pun penulisan mahu disiapkan Jumaat keesokan harinya. Tengok-tengok sampai kini saya tiada gerak untuk memulakan cerita. Sebaliknya siang tadi saya disibukkan pula dengan satu aktiviti di Kuala Lumpur lalu timbul rasa ada eloknya dilepaskan dahulu cerita-cerita tentang beberapa aktiviti lain yang dilakukan selepas kembali dari Sumatera. Biar dimulakan dengan ini.



Sebaik sahaja kembali ke Malaysia lalu saya mendapati poster di atas telah dihantar kepada saya melalui Whatsapp oleh pengarah filem terkenal Mamat Khalid. Mula-mula saya tidak menjawab kerana rasa penat hendak menghadiri. Hampir sampai ke tarikh tiba-tiba terasa rugi pula tak datang melihat filem Melayu sehebat "Kembara Seniman Jalanan" ditayangkan kembali di tempat sesantai Sarang Art Hub milik Mamat. Lalu saya pun menyatakan komitmen untuk hadir. 


Isteri pula bersetuju untuk ikut sama kerana boleh mengambil kesempatan menghantar sejumlah barangan tempahan untuk Mamat. Adapun pada pertengahan bulan Disember tahun lepas Mamat telah menempah 11 pasang busana tradisional Melayu atas jenama Bona Fida milik isteri dan ia dijangka dapat disiapkan sebelum tayangan.  Sampai pada masanya iaitu Sabtu malam Ahad 4 Februari saya dan isteri pun bergegas ke sana membawa anak-anak dan seorang kawan perempuan.





Cuma kami sampai lewat iaitu selepas jam 11.30 sedangkan majlis dijadualkan bermula jam 9. Ini disebabkan ada lagi 3 helai seluar yang perlu isteri siapkan.



Pun begitu kami sempat melihat sekitar 30 minit terakhir filem.


Selepas itu Mamat memanggil pengarah filem tersebut iaitu saudara Nasir Jani, seorang pelakon filem, saudara Pyanhabib dan seorang orang lama pengkritik filem (lupa pula nama, Ahmad Mutallib ke hapa) duduk di hadapan untuk mengulas tentang filem dan pembikinan kemudian menerima soal jawab,








Di sini tak perlulah saya bercerita panjang lebar tentang filem mahupun apa yang dikongsikan semasa ulasan dan sesi soal jawab. Cukuplah dicopy paste maklumat berikut daripada Wikipedia dengan sedikit suntingan...


--------------


Kembara Seniman Jalanan ialah sebuah filem Malaysia tahun 1986 arahan Nasir Jani dengan skrip ditulis oleh M.Nasir dan diterbitkan oleh Zarul Al-Bakri menerusi ZSA Holdings Sdn. Bhd. Filem yang ditayangkan kepada umum pada 22 Februari 1986 ini telah dibintangi oleh M. Nasir sendiri. Filem ini dimulai dengan paparan warna-warna lukisan pelukis tempatan seperti S. Amin Shahab, M. Nasir dan Mohd Din. Ia dibayangi imej watak utama iaitu M. Nasir sendiri sebagai Jebat atau Bujang.


Sinopsis

Bujang yang baru tiba di ibu kota telah bertembung dengan tidak sengaja dengan Osman Tikus (lakonan Pyan Habib) di Hentian Puduraya. Osman merupakan seorang penyeluk saku @ pencuri sepenuh masa. Pertembungan itu mengakibatkan dompet Bujang juga turut menjadi mangsa Osman.

Hal ini hanya disedari setelah Bujang ke gerai burger milik Imuda (Brader Joe) untuk mengalas perut sebelum meneruskan tujuan ke Studio rakaman milik En Johan, seorang pengusaha syarikat rakaman bumiputera yang terlibat dengan cetak rompak. Akibatnya Bujang terpaksa makan burger tidak berbayar.

Sesampai di studio rakaman , Bujang terpaksa menunggu lama dan disuruh pulang dan datang semula esok harinya oleh En Johan kerana alasan sibuk dan tidak mahu melayan Bujang. Bujang berjumpa semula dengan Osman selepas itu di gerai Brader Joe. Bujang nampak Osman ada di situ dan terus menyerang Osman tetapi berjaya di halang oleh Brader Joe dan Siso. Kemudian Osman memohon maaf dan mengajak Bujang tinggal bersama di rumah "tinggal" di ibu kota.

Keesokan harinya Bujang kembali ke studio rakaman dan apabila tiba giliran uji bakat, dia dipersendakan dan diperlekehkan oleh En Johan kerana penampilan yang "rugged". Bujang mendendangkan lagu "Rupa Tanpa Wajah" secara akustik dan dalam diam-diam En Johan, telah merakam dan menciplak lagu tersebut. Ia diberikan kepada penyanyi pop superstar bernama Fareez. Di situ juga Bujang bertemu dengan Khaty , seorang wartawan hiburan.

Bujang yang tidak mendapat peluang menjadi artis rakaman telah didorong oleh Brader Joe supaya membuat persembahan secara terbuka "busking" di kaki lima bangunan-bangunan. Biasanya dia ditemani oleh Osman yang turut mengambil kesempatan menyeluk saku. Mereka adakalanya dihalau oleh pihak berkuasa kerana dituduh mengemis. dR Sam dan Neeruam, juga pengusaha syarikat rakaman turut mencari-cari bakat baru untuk diketengahkan.

Suatu hari Khaty telah dipanggil oleh En Johan untuk mendengar lagu dari album terbaru Fareez. En Johan cuba merasuah Khaty dengan wang suapan supaya mempromosikan album itu. Khaty terserempak dengan Bujang yang menyanyi di tepi jalan, dan bertanyakan lagu yang dinyanyikan serupa dengan lagu Fareez.

Barulah Bujang sedar yang karya beliau telah dirakam rompak dan diciplak. Beliau dan Osman telah mengamuk dalam satu majlis promosi dan pradengar album Fareez di sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Mereka berdua kemudiannya telah ditahan dan dipenjarakan.

Neeruam telah mengikat jamin Bujang dan Osman . Kemudian mereka menjadi artis syarikat rakaman dR Sam bersama artis lain seperti Search, Blues Gang dan Sweet Charity.


Pelakon

M. Nasir sebagai Bujang 

Khadijah Ibrahim sebagai wartawan hiburan

Majid Salleh sebagai En Johan @ lanun cetak rompak

Pyan Habib sebagai Osman Tikus

dR Sam; (dR bermaksud [d]ari [R]embau)

Shah Reza sebagai Fareez

Imuda sebagai Brader Joe penjual burger

Siso Kopratasa sebagai penjual burger

Kumpulan Sweet Charity

M. Rajoli sebagai bapa Bujang

Hasnah Ibrahim sebagai ibu Bujang

Amy (Search) sebagai Amy Search

Ramli Sarip

Kumpulan Search

Kumpulan Blues Gang

Maureen Foo sebagai Neeruam





Lewat malam itu atau lebih tepat, awal pagi buta, setelah selesai segala urusan berkenaan filem satu majlis hari jadi surprise telah diadakan untuk seorang anak Mamat. Kelihatan dalam gambar anak tersebut dan beberapa orang pekerja Sarang Art Hub memakai busana tradisional Melayu yang disediakan oleh isteri. Sila baca cerita berkenaan dalam artikel Busana Bona Fida di Sarang Art Hub dan majlis Persatuan Sejarah Malaysia di blogspot BONA FIDA.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan