Jumaat, Disember 30, 2016

Membawa keluarga naik MRT sambil saya berbusana tradisional Melayu

Meneruskan gerak, menyambung penceritaan daripada artikel Makan-makan dan gathering ad hoc kawan-kawan HIKMAH.


Tetamu kami dari Aceh, Ustaz Mujib dan isterinya yang merupakan seorang rakyat Malaysia berserta dua orang anak yang lahir di negara ini bermalam di rumah kami di Sungai Buaya, Rawang. Esoknya Khamis 22 Disember timbul rasa untuk mengajak mereka menaiki kereta api MRT (Mass Rapid Transit).


Untuk makluman laluan pertama MRT di Malaysia baru dibuka kepada umum bermula 16 Disember. Selama sebulan orang ramai boleh menaikinya dengan percuma. Saya pun membawa keluarga sendiri sekali.


Untuk makluman juga 2 hari sebelum itu saya sudah mencuba perkhidmatan ini seorang diri. Lihat artikel-artikel berikut yang telah dipersembahkan dalam bahasa Inggeris di blogspot BERPETUALANG KE ACEH...







Anak-anak begitu seronok diajak naik kereta api. Terus masing-masing mengambil jaket walaupun cuaca sedang terang dan panas.





Saya pula timbul gerak untuk berbusana tradisional Melayu penuh, bersampin, bertanjak dan berkeris. Mujib dengan kebiasaan beliau memakai baju artis nasyid. Memang pun beliau selebriti nasyid baik di Aceh mahupun di Malaysia...


Sementara menunggu kereta api sampai anak-anak bermain-main di sekitar.


Baru sebut dia dah mai...


Bukan selalu saya bawa keluarga naik pengangkutan awam apa lagi kereta api MRT yang begitu baru ini. Anak-anak terpegun dengan keadaan dan rupa kereta api.





Saya pula tersedar nombor koc yang kami naiki adalah 1131. Adapun nombor 131 itu saya anggap istimewa sebagai lambang home sweet home saya dan isteri.


Usaha bergambar di kepala kereta api tanpa pemandu tidak menerbitkan hasil yang baik kerana silau cahaya dari luar...



Pada kala lain orang nampak terlebih gelap pula.



Tukar angle sebegini baru boleh dapat hasil yang memuaskan..





Kami naik terus sampai ke stesyen terakhir yang dibuka kepada umum iaitu stesyen Semantan. Selepas itu laluan mula menurun masuk ke dalam tanah. Sedangkan stesyen selepas itu, Muzium Negara dan berikutnya masih belum siap dibina.


Nama Semantan yang sebenarnya merujuk pada Jalan Semantan di Bukit Damansara mengingatkan pada pahlawan Melayu Pahang terkenal abad ke-19, Dato' Bahaman Orang Kaya Semantan (penguasa wilayah Semantan di Pahang) yang gigih melawan pencerobohan British di negerinya. Kebetulan stesyen bernombor 14. Teringat acara HIKMAH yang pertama kali diadakan di negeri Pahang, acara ke-14 secara keseluruhan, dekat aliran Sungai Pahang pertengahan tahun lepas. Rujuk artikel Acara keempat belas HIKMAH di Masjid Warisan Kampung Chenor, Maran, Pahang 9 Mei 2015 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)/

Semua penumpang harus turun di sini. Mereka boleh bertukar menaiki kereta api lain untuk kembali ke arah Sungai Buloh. Selepas bergambar tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon daripada seorang kawan lama zaman kolej yang belum pernah ditemui lagi sejak kami keluar kolej sekitar 25 tahun lalu. Entah kenapa kawan perempuan yang dahulu sama-sama keBaratan kaki disko ini mula menghubungi saya bertanyakan khabar sejak 2-3 hari itu. Beliau  ada menyatakan kekaguman melihat perubahan yang melanda diri saya seperti terpapar pada gambar-gambar di Facebook. Perubahan yang membawa diri yang dahulu sangat liberal dan keBaratan menjadi seorang yang kini kuat mempertahankan nilai-nilai tradisional Melayu juga Islam. 

Untuk makluman itu adalah panggilan telefon pertama dibuat beliau kepada saya. Sebelum itu beliau cuma Whatsapp dan pm Facebook saya sahaja. Saya pula yang sekali ada menelefon beliau kerana merasa letih dan terganggu dalam menjawab pertanyaan demi pertanyaan menggunakan handphone bersaiz kecil yang paparan papan kekunci kerdilnya amat mengganggu kelancaran maklum balas.

Antara yang diperkatakan 2-3 hari itu adalah beliau tidak terperanjat dengan perubahan diri saya, cuma kagum kerana saya kelihatan begitu istiqamah berpegang pada prinsip diri apabila sudah percaya dan yakin pada sesuatu perkara, Ini kerana dia dapat merasakan ada sesuatu tentang diri saya yang sering berfikir lebih ke dalam dan jauh ke hadapan berbanding orang lain, Ini adalah berlawanan dengan penampilan luaran saya yang ketika zaman kolej amat gilakan glamour, sukakan populariti. Suka dikenali, dihormati malah digeruni ramai selain sering mendapat perhatian ramai peminat perempuan.

Dalam panggilan di stesyen Semantan itu, tanpa sebab yang nyata beliau terus menyebut dirinya sebagai seorang anak cucu keturunan Dato' Bahaman, Sebab itu agaknya mula timbul kesedaran mahu menggamit kembali nilai-nilai keMelayuan semenjak satu menjak dua menjak kebelakangan. Perubahan yang melanda diri saya pula menjadi semacam pemangkin semangat untuk dia sendiri berusaha ke arah itu. Terus saya beritahu sedang berada di stesyen MRT Semantan. Tentunya ini bukan sekadar suatu kebetulan. Tentu ada makna tersurat dan tersirat sekurang-kurangnya buat diri saya dalam menghadapi hari-hari yang mendatang...


Nota tambahan : Kembali ke Sungai Buloh saya mendapat kereta api yang sama malah koc bernombor 1131 lagi. Rupa-rupanya ia bertukar landasan di hadapan untuk masuk kembali ke laluan menghala ke Sungai Buloh dan saya sempat menaikinya. Ketika nak naik itu saya tersedar kereta api itu sendiri secara keseluruhan memakai nombor 19 - kereta api nombor 19, Macam tahu-tahu je saya baru beberapa hari selesai menjayakan acara ke-19 di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, satu kawasan yang menurut cerita orang-orang lama termasuk di dalam jagaan kerohanian Dato' Bahaman yang katanya masih hidup sehingga ke hari ini. Kerana sudah pernah merasakan mati dan syahid semasa zaman rasmi hidupnya.. Lihat Acara kesembilan belas HIKMAH di Dusun Nora, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang 17 Disember 2016,



Tiada ulasan:

Catat Ulasan