Jumaat, November 18, 2016

Kali ke-3 ke Kelantan dalam tempoh 2 bulan - Dari Jeli menjejak ke hulu Perak

Kita ke hari ke-4 dan terakhir perjalanan. Bersambung daripada Kali ke-3 ke Kelantan dalam tempoh 2 bulan - Baru mengambil masa untuk menjelajah Kota Bharu...


Pagi Selasa 1 November 2016. Memandang ke luar daripada hotel tempat saya dan keluarga menginap.



Pemandangan kelihatan begitu menarik dan menyegarkan.


Hotel tempat kami menginap dilihat daripada satu jalan belakang. Kami saja-saja jalan kerana terlihat ramai anak muda berjalan kaki, naik basikal dan sebagainya melalui jalan itu. Rupa-rupanya mereka keluar masuk Universiti Malaysia Kelantan. Hotel ini terletak berdekatan pintu sisi universiti yang membawa ke kawasan rumah penginapan pelajar.


Hotel terletak tidak jauh dari pekan Jeli. Kamera saya sedang mengalami masalah fokus tapi bila ambil gambar secara zoom daripada jauh hasilnya agak memberangsangkan.


Gambar diambil ketika bersarapan pagi di sebuah kedai di seberang jalan. Ia adalah jalan besar dari Kelantan ke negeri Perak.


Tujuan saya menginap di Jeli adalah untuk mencukupkan 3 malam berada di Kelantan sebelum bergerak ke Perak. Malam pertama menginap di rumah adik angkat di Kandis, Bachok (lihat Kali ke-3 ke Kelantan dalam tempoh 2 bulan - Akademi Nik Rashiddin dan legasi Tok Kenali.), malam kedua di sekolah pondok di Tumpat (lihat Kali ke-3 ke Kelantan dalam tempoh 2 bulan - Baru mengambil masa untuk menjelajah Kota Bharu). Penginapan di hotel lebih selesa berbanding pada dua malam sebelumnya lalu kami dapat berehat dengan lebih baik. Selain itu ada akses Wifi yang membolehkan saya menyiapkan semakan akhir untuk buku terbaru saya bersama Hijjaz Records Publishing. buku yang akan menjadi ke-3 bersama mereka merangkap ke-10 keseluruhan bagi saya.



Selepas kerja siap baru kami meninggalkan hotel. 


Perjalanan disambung menuju ke negeri Perak. Walaupun kamera bermasalah saya tetap cuba mengambil gambar selagi dapat.





Berhenti di kawasan rehat yang terletak di satu bahagian tertinggi jalan atas banjaran pergunungan Titiwangsa.









Sampai di Tasik Banding berhenti pula melihat pemandangan di tempat rehat baru yang nampaknya belum dibuka kepada umum. Lihat artikel The new rest area at Tasik Banding di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Adapun tasik itu terbentuk akibat satu bahagian Sungai Perak dibuat empangan. Tasik terletak di hulu Perak dan jalan raya selepas itu secara rata menghilir sungai tersebut. Dari tasik ke pekan terdekat iaitu Lenggong jaraknya sekitar 40km. Dari Lenggong ke bandar diraja Kuala Kangsar hampir 100 km. Selagi belum sampai ke KK kita masih dikira berada di kawasan hulu Perak.



Menurut cerita lama, hulu Perak pernah berada di bawah pemerintahan seorang pembesar bernama Tun Saban 500 tahun yang lampau. Sampai di Lawin, 24 km ke selatan Lenggong kami singgah di makam beliau.





Makam Tun Saban asalnya terletak di satu tempat bernama Changkat Merah dekat tebing kiri Sungai Perak. Menurut cerita yang saya dengar ia dipindahkan ke sini setelah kawasan sekeliling makam asal ditenggelami air akibat empangan lalu membentuk Tasik Chenderoh kalau tak salah. Untuk banyak lagi cerita tentang beliau dan tokoh-tokoh berkaitan juga sejarah Perak sekitar zaman dan kawasan mereka lihat artikel-artikel berikut, Nampaknya ada sebab tertentu kenapa artikel-artikel berikut harus diangkat kembali terutama yang melibatkan Gangga Negara. Lihat ruangan komen pada artikel tersebut :-








Apapun, perjalanan dari Tasik Banding ke Kuala Kangsa boleh dikatakan berlaku di dalam kawasan hulu Perak. Dari KK baru mengambil Lebuh Raya Utara Selatan untuk kembali ke rumah. Dengan ini tamatlah penceritaan siri kecil tentang perjalanan terbaru ke Kelantan lalu dapat ditutup juga penceritaan keseluruhan yang sebenarnya meliputi 2 perjalanan awal ke sana seperti dikongsikan melalui artikel-artikel kompilasi  Beruzlah ke Pantai Timur - Memantapkan Tauhid dan Syahadah? dan Beruzlah ke Pantai Timur lagi - 10 Muharram, ilmu keris dan perjuangan kedaulatan Melayu Islam. Harapan saya, dengan selesainya gerak penulisan ini semoga muncul suatu atau beberapa perkara yang dapat menghilangkan kegundahan yang melanda diri sejak lebih sebulan kebelakangan. Amin... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan