Khamis, September 22, 2016

Beruzlah ke Pantai Timur - Hol almarhum Tokku Paloh dan Syahadah Tokku

Salam. Kembali kita lagi pada cerita perjalanan di Pantai Timur. Kali ini ia akan diteruskan secara bersiri tanpa gangguan sehingga seluruh cerita  perjalanan ini tamat. Bersambung kita daripada artikel Beruzlah ke Pantai Timur - Mencari piramid Melayu.


Pagi Sabtu 3 September 2016. Saya bersiap berpakaian busana tradisional Melayu untuk ke majlis yang menjadi asbab saya dan kawan berkejar ke Kuala Terengganu dari Kelantan.


Adapun kami telah bermalam di sebuah homestay di luar bandar raya KT. Jam 10 kami pun bertolak ke lokasi majlis.


Lokasi adalah di sebuah tanah perkuburan di mana terdapat makam seorang wali Allah yang sangat terkenal dalam sejarah negeri Terengganu. Ah, sebut aje le majlis adalah hol almarhum Tokku Paloh.


Tentang siapakah itu Tokku Paloh rasanya tak perlu dipanjangkan lagi kerana ramai sudah tahu. Tapi kalau tak tahu atau mahu mengulangkaji boleh baca artikel lama saya Keluarga besar Tokku Paloh, wali agung Terengganu abad ke 19 Masihi yang ditulis lebih 8 tahun lalu.


Isteri saya dan anak-anak ada sama. Beliau dan isteri kepada kawan yang ikut sama ke Kelantan telah bertolak dari Kuala Lumpur petang Jumaat dengan sebuah kereta semata-mata untuk menghadiri majlis ini. Hampir ke Kuantan mereka menunggu pula seorang kawan dan anaknya untuk turut serta. Dekat jam 2 pagi Sabtu baru sampai ke homestay...



Kelihatan kawan yang bersama ke Kelantan... ah...sebuat nama aje le... Tengku Ahmad Ridhauddin dan anaknya juga anak-anak saya sedang bertahlil di hadapan makam Tokku Paloh.


Bukan selalu bangunan makam dibuka sehingga orang dapat duduk menghadap betul-betul di hadapan makam. Sebelum itu saya masuk ke kawasan ini bersama para hadirin terhormat ketika majlis hol mencapai kemuncak. Lihat artikel Hol (remembrance) ceremony of Tokku Palohdi blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Dari kawasan makam majlis hol beralih ke Masjid Tokku Paloh sekitar 300-400 meter dari makam. Tidak mahu bersesak-sesakan dengan ribuan  hadirin lain kami singgah dahulu di surau lama Tokku Paloh sekitar 30 meter dari makam.


Ada diceritakan bahawa di surau ini Tokku Paloh pernah diziarahi oleh Nabi Khidir lalu mereka solat berjemaah.


Dari surau boleh kedengaran syarahan/ceramah tentang Tokku Paloh yang disampaikan di masjid.


Selepas jam 1 tengah hari baru kami bergerak ke sana. Sempatlah solat Zohor berjemaah kemudian menjamah hidangan enak makan tengah hari. 


Untuk makluman saya sudah beberapa kali bermalam di masjid ini, pernah juga bersama isteri dan anak-anak. Tetapi ketika itu ia masih berbangunan kayu. Sekarang semuanya telah digantikan dengan batu. Lihat artikel Rupa baru Masjid Tokku Paloh (New look of the mosque of Tokku Paloh) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Sekitar jam 2 kami bertolak ke rumah Dato' Syed Omar Al Idrus (juga disebut al-Aidarus). Beliau memegang jawatan istana Engku Kelana DiRaja Terengganu tetapi lebih dikenali sebagai Pemangku Raja Terengganu kerana memang memangku kerja dan kedudukan raja apabila Sultan Terengganu tiada dalam negeri. Kalau Sultan ada pula Syed Omar adalah penasihat utama. Sultan tidak akan membuat apa-apa keputusan melibatkan nasib anak negeri tanpa persetujuan Syed Omar seperti halnya, moyang baginda dahulu, Sultan Zainal Abidin III menurut segala nasihat dan saranan moyang Syed Omar iaitu Tokku Paloh.

Adapun kedatangan kami bertemu Syed Omar adalah demi memenuhi pesanan guru kami ketika di Tumpat, Abuya Aswad (lihat artikel Beruzlah ke Pantai Timur - Sanad semutar dan ilmu keris/besi juga Masjid Brunei dan Tok Kenali)  agar menziarahi beliau seraya menyampaikan salam Abuya. Kami juga disuruh pergi untuk meminta kebenaran agar diijazahkan ilmu Syahadah Tokku Paloh yang agak terkenal dalam kalangan mereka yang mengaji ilmu Tasawuf di sekolah-sekolah pondok Pantai Timur. Kami bernasib baik kerana telah diberikan kupasan tentang Syahadah tersebut pada malam pertama sampai di Tumpat. Lihat Beruzlah ke Pantai Timur - Melihat warisan Maharaja Perba Jelai. Apabila saya menyebut kupasan Abuya yang bermula dengan peristiwa perjanjian roh berdasarkan ayat Al-Quran yang berbunyi "Alastubirrobikum" Syed Omar terus masuk dalam keadaan seperti dzauq menangis tersedu-sedan buat beberapa waktu.



Sebaliknya sahaja kembali normal terus dia memberitahu kepada pembantunya agar menghubungi Abuya di Tumpat. Katanya biarlah Abuya sendiri mengijazahkan Syahadah itu kepada kami dengan restu dan keizinan beliau. Kata Syed Omar pernah, seorang ustaz yang biasa membuat syarahan tentang kitab Hikam karangan Sheikh Ibnu Ato'ilah duduk menadah ilmu di sekolah pondok Abuya Aswad iaitu Madrasah Islamiah Ahbabul Mustafa selama 2 minggu tetapi tidak dibukakan walau sedikit pun tentang hal ini. Kami pula sangat-sangat beruntung kerana diberikan kupasan, ditunjukkan kitab karangan Abuya sendiri tentang Syahad pada malam pertama di sekolah.


Lebih sejam juga kami duduk di kaki Syed Omar bercerita tentang pelbagai hal. Walaupun baru pulih daripada serangan angin amar (Syed Omar pernah koma lalu terlantar 6 bulan di hospital, sekarang baru hendak mula berjalan dan bertutur balik) beliau melayan kami dengan baik. Kami kembali ke homestay sebelum keluar ke pusat bandar raya KT meninggalkan anak-anak. Kami mahu berjalan-jalan di Pasar Payang sambil masing-masing berdating suami isteri daaa. Ketika Tengku Ahmad dan isterinya sibuk mencari kain dan sebagainya, saya dan isteri pula mencari telur penyu untuk saya dan anak-anak.


Beberapa orang menegur keadaan saya berpakaian busana tradisional Melayu bersampin, bertanjak, berkeris. Mahu ke mana ini, daripada mana? Balik buat show? Kerja kahwin? Ada yang menyangkakan saya terlibat dengan persembahan silat di kompleks membeli-belah berdekatan. Mendengarkan ini saya dan isteri terus ke kompleks yang boleh dikatakan bahagian baru Pasir Payang.


Kompleks itu terletak di kaki Bukit Puteri. Tapi kami sudah terlambat.


Apapun memang kami mahu ke sana untuk naik ke puncak bukit melihat pemandangan. Lihat artikel Recent views from Kuala Terengganu's Bukit Puteri.


Malam kami keluar bersama anak-anak juga dengan kawan dari Kuantan dengan anaknya.


Kami mahu menghadiri majlis yang dikhaskan pula untuk ayahanda kepada Tokku Paloh. Lihat Hol (remembrance) ceremony of Tokku Tuan Besar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan