Rabu, Disember 02, 2015

Buku "Hang Tuah : Catatan Okinawa"

Merujuk pada artikel Hang Tuah dan Ekspo Buku di PWTC yang dipersembahkan pagi Sabtu 3 hari lalu. Ini ada cerita lanjutannya... 


Pada akhir artikel tersebut ada ditunjukkan bahawa saya telah mendapatkan buku terbaru tentang Hang Tuah semasa di ekspo, buku yang kelihatan di atas. Selepas siap mempersembahkan artikel saya, isteri dan anak-anak bertolak ke Muar untuk bercuti dan berjumpa ibu, bapa saya. Disebabkan saya agak penat, isteri memandu hingga ke Melaka di mana kami mahu singgah dahulu ke satu majlis perkahwinan. Sepanjang perjalanan saya pun membaca buku. 



Sampai ke Melaka saya sudah berjaya menamatkan pembacaan sampai selesai kesimpulan. Namun itu sebenarnya masih kurang separuh isi buku kerana ia turut meliputi sejumlah bahan rujukan dan lampiran. Pembacaan disambung balik apabila sampai ke Muar. Selepas kembali ke rumah sendiri Ahad malam Isnin baru saya dapat menghadam keseluruhan buku. Dengan ini bolehlah diberikan review.

Nota : Daftar isi kandungan boleh dibaca dengan membuka gambar atas di dalam windows baru. Ini boleh memberikan gambaran ringkas apa yang boleh ditemui dalam buku...


Selepas kata pengantar dan mukadimah yang menyatakan tujuan utama buku dibuat adalah untuk menyangkal tuduhan sesetengah pihak bahawa Hang Tuah cuma dongengan orang Melayu masuklah Bab 1. Bab ini menyentuh bagaimana watak seorang pahlawan Melayu yang dikenali sebagai Hang Tuah itu diangkat begitu tinggi dalam masyarakat kita. Namun untuk membuktikan bahawa beliau memang benar-benar wujud, bukan sekadar cerita atau karangan dalam sastera, kita memerlukan bukti-bukti yang lebih konkrit. Bukti-bukti ini pula harus menepati kriteria yang dipersetujui dan disepakati dalam kajian sosial dan sejarah secara akademik...


Untuk itu kita harus memiliki bukti-bukti sesuai yang boleh menyokong kewujudan suatu watak. Bab 2 pun mengambil contoh 3 watak lain yang cukup dikenali dalam sejarah. Mereka adalah Alexander the Great dari Yunani, Julius Ceasar di Rom dan Laksamana Zheng He (juga dikenali sebagai Cheng Ho) dari Cina. Kriteria utama yang digunakan oleh para pengkaji dan sejarawan untuk menyatakan mereka memang pernah wujud secara nyata adalah adanya bukti primer (daripada perkataan Inggeris primary yang bermaksud asas). Ini bermaksud bahan dan/atau catatan tentang suatu watak yang sezaman dengan watak tersebut. Bahan itu boleh berbentuk artifak seperti senjata, pakaian, bangunan dan sebagainya. 

Dalam kes Alexander, si penakluk besar yang hidup 356-323 Sebelum Masihi terdapat apa yang dikenali sebagai Babylonian Royal Astronomical Diary dari Babilon (sekarang dalam Iraq) menyebut tentang kematian beliau. Ada juga dokumen sezaman tertulis dalam bahasa Aramaik di satu bahagian wilayah Parsi tercatat kedatangan baginda ke sana. Untuk Julias Ceasar yang lahir di Rom 100SM sebelum meningkat naik menjadi orang paling berkuasa dalam Empayar Rom, ada dokumen-dokumen yang ditulis beliau sendiri selain wang syiling yang menggambarkan rupa paras beliau. Untuk Cheng Ho yang terkenal sudah beberapa kali belayar membawa armada besar ke Alam Melayu ada catatan pelayaran yang dipahat pada satu kuil di Fujian tahun 1431. Dan pelayaran turut disebut dalam rekod kerajaan Dinasti Ming. 



Bagaimana tentang Hang Tuah? Maka masuklah Bab 3 seperti tertera di atas. Sumber utama Alam Melayu yang paling banyak menceritakan tentang HT adalah Hikayat Hang Tuah. Namun kajian menunjukkan ia ditulis paling awal pun pada tahun 1688. Sedangkan HT dikatakan wujud pada abad ke-15 Masihi iaitu lebih 200 tahun awal. Naskah paling terkenal iaitu Hikayat Hang Tuah selenggaraan Kassim Ahmad yang pertama kali diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 pula berasal daripada manuskrip yang selesai disalin pada 1878. Apapun. cara penceritaan hikayat ini banyak berbentuk epik sastera, banyak perkara luar biasa dan tidak masuk akal. Ia perlu diperhalusi dan ditapis dengan saksama sebelum boleh diisytiharkan sebagai sejarah.



Sumber lama kedua adalah kitab Sulalatus Salatin yang disusun oleh bendahara empayar Johor-Riau-Lingga iaitu Tun Sri Lanang. Karya yang turut dikenali sebagai Sejarah Melayu ini penulisannya lebih menepati ciri-ciri rekod sejarah yang diterima para pengkaji. Namun ia sendiri mula ditulis pada 1612. Walaupun disebut bahawa karya ini dibuat berdasarkan satu salinan hikayat Melayu yang telah wujud lebih awal, setakat ini belum dapat ditemui hikayat asal yang dijadikan rujukan. Maka tidaklah dapat ia memenuhi kriteria yang dikehendaki iaitu adanya bukti primer yang datang daripada satu zaman dengan Hang Tuah.


Satu lagi sumber lama yang menyebut tentang Hang Tuah adalah kitab Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji. Kitab ini secara rata memperincikan hubungan kekerabatan antara raja-raja dan bangsawan Melayu dengan Bugis bermula apabila Lima Opu Daeng Bersaudara - Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi melibatkan diri dalam politik Empayar Johor-Riau-Lingga tahun 1700an. Hang Tuah disebut secara sepintas lalu sebagai berasal daripada Tanah Bugis/Makassar. Sedangkan kitab ini sendiri ditulis tahun 1800an.


Nasib baik ada juga bukti primer atau sezaman dengan watak yang boleh digunakan untuk menyokong kewujudan Hang Tuah sebagai satu entiti yang nyata, bukan khayalan semata. Satu adalah dalam catatan Alfonso Albuquerque, bangsawan dan panglima besar Portugis yang memimpin angkatan menakluki Kota Melaka. Lebih menakjubkan adalah kewujudan sejumlah surat antara Raja Melaka dengan raja kerajaan Ryukyu, sekarang sebahagian daripada negara Jepun. Surat-surat ini menyatakan hubungan dagang dan diplomatik antara kerajaan sepanjang abad ke-15. Ada daripadanya dinyatakan dengan terang ditulis sendiri oleh Laksamana yang mana harus merujuk pada Hang Tuah.


Paling menarik dan bernilai pada saya adalah salinan surat-surat berserta terjemahannya yang disertakan sebagai lampiran. Surat-surat lama ini membentuk sebahagian daripada rekod kerajaan Ryukyu yang dipanggil Rekidai Hoan. Pada zaman moden ia pertama kali dilampirkan dalam buku bertajuk Ryukyu Relations with Korean and the South Sea Countries oleh Atsushi Kobata dan Mitsugu Matsuda tahun 1969. Difahamkan, disebabkan buku tersebutlah ada cendekiawan kita dapat menyedari tentang hubungan Ryukyu-Melaka dengan surat-menyuratnya boleh dijadikan bukti kewujudan Hang Tuah sebagai satu entiti nyata.

Walapun pada saya buku "Hang Tuah : Catatan Okinawa" ini masih ada kurangnya, lampiran yang ada telah memberikan ia tambah nilai yang tinggi. Dengan ini cukuplah ulasan daripada saya. Nak tahu lebih lanjut boleh baca dan kaji sendiri.


12 ulasan:

  1. Guwa yg yg dimaksud dalam buku ini adalah diBentan.Bugis bone berperang dan mengalahkan makasar(sultan hadanuddin).orang makasar dtg ketanah melayu sekitar Tahun 1700an.Sebelum ketanah melayu Orang makasar mohon penepatan pd kesultanan banjar di kutai,pasir,dan mempawah setelah tewas dgn kerajaan bone..Disini.membentuk keturunan daeng setelah berbaur perkahwinan dgn puteri kerabat banjar.setelah datang ketanah melayu para daeng membuang silisilah banjar kerana mereka pernah meyerang kesultanan banjar tapi dapat ditewaskan.Kerana melanggar perjanjian mereka membawa diri kekepulauan riau dantanah melayu. Sekitar 1700an.Manakala Hang Tuah keberadanan sekitar 1430

    BalasPadam
  2. saya nak beli la buku nie, sangat berharga

    BalasPadam
  3. Assalamulaikum, sebenarnya saya tercarai emel untuk saya hubungi.. tak jumpa .. jadi saya nyatakan di sisni.. Jumaat ini Jabatan Sejarah Universiti Malaya akan perbentangan. dijemput hadir...

    Butiran:

    Topik: Wujudkah Hang Tuah?
    Tarikh: 11 Disember 2015
    Tempat: Dewan Kuliah C, F. Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya
    Masa 10 pagi
    Pembentang: Profesor Emeritus Dr Ahmat Adam

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum. Saya cuma nak tahu satu perkara; adakah sumber-sumber seperti catatan Alfonso dan surat-surat Okinawa itu menyebut nama "Hang Tuah"? Ataupun penulis buku membuat andaian bahawa orang yang tersebut dalam dokumen-dokumen itu adalah Hang Tuah. Mohon maaf kerana bertanya. Saya tidak ada kelapangan nak beli dan baca buku ni. Pada pendapat saya, jika tidak ada sebutan nama "Hang Tuah", macam mana ia boleh jadi bukti definitif?

    BalasPadam
  5. Kerana jelas disebutkan dalam hikayat Hang Tuah....bukti Ryukyu dan Vijayanagara hanyalah rujuk silang

    BalasPadam
  6. Salam.... sy nak tanya kat mana sy boleh dapat kn buku2 yg tuan tunjukkan... sy cuba beli secara online tetapi kehabisan stok

    BalasPadam
  7. Wassalam. Boleh cari di pesta buku yang sedang berlangsung di PWTC. Atau hubungi terus penerbit...

    http://www.penerbit.upm.edu.my/

    BalasPadam
  8. Di mana saya boleh beli buku Catatan Hang Tuah di Okinawa dan berapakah harga senaskah buku ini?

    BalasPadam
  9. Saya beli dari MPHonline. Rm 65 termasuk harga pos.

    BalasPadam
  10. Hang tuah masih satu watak misteri..ramai masih menyangkal kewujudannya..tanpa nama yg wujud secara jelas dlm mana2 kerajaan bsr dalam catatan atau manuskrip, masih sukar dibuktikan keberadaannya..ini yg perlu diambil kira..sgt tak logik seorg pahlawan profil tggi namanya tak disebut langsung..sekadar sebutan laksamana, itu belum cukup kuat membuktikan siapa itu..cuba klu awal-awal org tak tulis Adnan Saidi, 500thn lg sejarah akan knl sebagai Leftenan saja..ibarat gitu.

    BalasPadam