Jumaat, Mei 01, 2015

Akhirnya, ulasan buku Sejarah Melayu dari Batam

Salam Jumaat. Daripada majlis ilmu kita beralih ke ulasan buku...


Pertengahan bulan Mac saya telah menyajikan artikel bertajuk Pelancaran buku "Sejarah Melayu" dari Batam di DBP - Mengingatkan Raja Isa Nongsa untuk berkongsi cerita tentang pelancaran buku tersebut. Sepuluh hari selepas itu iaitu pada 24 Mac artikel Buku "Sejarah Melayu" dari Batam - Membuka langkah menelaahnya pula dipaparkan untuk memberitahu bahawa saya telah memulakan pembacaan dan penelitian. Buku ini memiliki lebih 600 muka surat sedangkan saya sibuk dengan pelbagai kerja dan komitmen. Setelah beberapa lama membaca apabila timbul kelapangan sahaja dan tidak begitu kepenatam, keseluruhan buku pun berjaya diselesaikan jam 8.30 pagi tadi.

Dalam artikel Buku "Sejarah Melayu" dari Batam - Membuka langkah menelaahnya telah dikongsikan daftar isi yang mengandungi 30 bab selain satu bab pembuka pembuka dan satu bab penutup. Setiap bab ada 2 hingga 23 sub-topik atau tajuk kecil. Kecuali daftar pustaka dan indeks pada muka surat 597-621 saya telah membaca setiap muka surat dan setiap patah perkataan tanpa melompat-lompat atau meninggalkan mana-mana bahagian. Sekarang biar dimulakan ulasan.


Selepas beberapa muka surat memberikan pengenalan dan meletakkan latar belakang buku Bab 1 pun bercerita tentang apa itu Melayu. Hal ini dilanjutkan pada Bab 2 yang cuba membawa pengertian Melayu daripada sudut antropologi membawa ke peradaban Melayu-Polinesia (Polynesia). Masuk Bab 3 tentang kerajaan-kerajaan Melayu awal seperti Funan dan Champa juga Bab 4 tentang empayar Sriwijaya dan Majapahit, saya merasakan buku ini biasa-biasa sahaja. Ini kerana sudah melihat apa yang ditulis lebih pada pengumpulan isi daripada pelbagai buku dan sumber, isi-isi yang sudah saya baca dan lihat banyak kali. Pun begitu, pada peringkat ini buku bertajuk Sejarah Melayu ini telah meletakkan landasan untuk merakamkan sebanyak mungkin perkara yang relevan dengan konsep buku. Landasan inilah yang membuktikan nanti buku ini layak disimpan sebagai rujukan akan datang.


Landasan yang dimaksudkan adalah untuk merakamkan perjalanan kerajaan atau dalam buku dipanggil 'kemaharajaan' Melayu yang dikatakan berasal usul daripada penakluk terkenal Raja Iskandar Zulkarnain di Makaduniah (Macedonia), Eropah Timur... bagaimana daripada baginda terbit keturunan yang memerintah di benua Hindi seterusnya muncul di Bukit Siguntang, Palembang kemudian membawa ke Bintan (Bentan) diikuti Singapura, Melaka dan seterusnya. Secara rata apa yang diceritakan adalah sama seperti dinukilkan dalam kitab Sulalatus Salatin karangan atau susunan Bendahara Johor, Tun Sri Lanang 400 tahun lalu. Kitab itulah yang mendapat jolokan nama "Sejarah Melayu", satu nama yang kemudian menjadi sinonim dengan kitab. Sebab itu untuk membezakan buku ini dengan kitab tersebut saya menyebutnya sebagai buku Sejarah Melayu dari Batam.


Saya mula melihat kekuatan buku ini apabila ia mula bercerita tentang Bentan. Dah Batam itu termasuk di dalam lingkungan kepulauan yang sama dan penulis buku ini pula orang Batam, maka haruslah ada cerita-cerita pihak sana yang kurang masyhur pada pihak lain. Masuk hal ini baru saya berjumpa cerita yang belum pernah saya dengar daripada buku atau sumber lain, misalnya tentang raja bernama Azhar Aya yang pernah memerintah Bentan selepas runtuhnya kerajaan Srivijaya. Yang saya tahu cuma Permaisuri Iskandar Syah yang disebut Sulalatus Salatin memerintah Bentan ketika Sang Sapurba dari Bukit Siguntang datang bersama anaknya Sang Nila Utama. Daripada buku ini baru saya tahu Permaisuri Iskandar Syah adalah permaisuri kepada raja bernama Iskandar Syah yang memerintah sebelum itu sedangkan Iskandar Syah pula anakanda Azhar Aya...


Oh. Semua gambar muka surat yang dikongsikan ini boleh dibaca dengan cukup terang setelah dibesarkan. Caranya, buka dalam windows lain. Daripada Bentan cerita membawa kepada pembukaan Singapura oleh Sang Nila Utama, pemerintahan di sana oleh raja-raja keturunan baginda kemudian pembukaan Melaka dan bagaimana pemerintahannya. Ini sama sahaja dengan apa yang dipaparkan dalam Sulalatus Salatin. Namun apa yang dikongsikan dalam buku tetap berguna apa lagi bila ditambah dengan rujukan silang daripada pelbagai sumber termasuk catatan pengembara Barat.


Masuk Bab 9 cerita pahlawan terkenal Melayu iaitu Hang Tuah dan 4 orang sahabatnya pun dimulakan. Umum maklum bahawa terdapat pelbagai dakwaan tentang asal usul Hang Tuah, ada kata dari Kampung Duyung, Melaka ada kata dari Tanah Bugis di Sulawesi Selatan. Ada pula mendakwa dari Kelantan. Buku ini pula menegaskan beliau lahir di Sungai Duyung, Singkep yang kini terletak di dalam kabupaten (daerah) Lingga, kepulauan Riau sebelum dibawa orang tuanya ke Pulau Bentan. Ini nampaknya lebih sesuai dengan penceritaaan asal usul pahlawan itu seperti disebut dalam kitab Hikayat Hang Tuah.

Saya tertarik apabila buku ini menyebut Hang Tuah terkenal dengan semboyannya : "Esa hilang dua terbilang, Tuah Sakti hamba negeri, tak Melayu hilang di bumi". Yang biasa kita dengar adalah Hang Tuah dikatakan menyebut "Takkan Melayu hilang di dunia". Ada pula orang menambah "Takkan Melayu hilang di dunia jika berpegang pada Islam" lalu mendakwa itulah kata-kata penuh Hang Tuah. Saya pernah diberitahu perkataan "Takkan Melayu hilang di dunia" itu sebenarnya mula disebut dalam pementasan cerita Hang Tuah pada zaman moden, tidak disebut beliau sendiri dalam mana-mana kitab mahupun hikayat. Dan seingat saya tidak ada pun ungkapan tersebut dalam kitab Hikayat Hang Tuah. Setelah melihat semboyan "Esa hilang dua terbilang" yang disebut dalam buku baru saya dapat merasakan inilah ungkapan yang tepat dan ia memang pernah keluar daripada mulut pahlawan besar ini.


Bab 10 pula menceritakan peranan Laksamana Hang Nadim yang dinyatakan sebagai penerus Hang Tuah. Ketika ini latar belakang penceritaan buku sudah masuk zaman selepas kejatuhan kota Melaka ke tangan Portugis 1511 dan selepasnya. Hang Nadim disebut sebagai orang paling giat memimpin peperangan demi peperangan untuk menawan kembali kota Melaka. Walaupun tidak berjaya beliau terus berusaha dan berusaha sambil kita masuk pada zaman waris kerajaan Melaka memusatkan pemerintahan di Johor. Saya dapat melihat banyak cerita yang menyerlahkan ketokohan dan kepahlawanan Hang Nadim yang tiada disebut dalam kitab Sulalatus Salatin. Apapun kitab tersebut cuma dapat menceritakan keadaan kerajaan-kerajaan Melayu sampai ke awal abad ke-17 sahaja, ketika penulisnya Tun Sri Lanang masih hidup dan ada kelapangan untuk menjalin cerita. Selepas itu kita harus bergantung pada sumber-sumber lain.


Masuk zaman pemerintahan Johor selepas itulah saya lihat buku Sejarah Melayu dari Batam ini betul-betul terserlah lalu boleh dikatakan meneruskan kalau tidak mengambil-alih pun peranan Sulalatus Salatin dalam merakamkan keadaan zaman. Contohnya penceritaan di atas iaitu pada muka surat 176 yang menyentuh apa yang berlaku di Johor dan sekitar 1614 hingga 1641. Setahu saya Tun Sri Lang masih hidup ketika itu tetapi beliau tidak menyebut keadaan zaman itu dalam Sulalatus Salatin. Mungkin kerana sudah mula berkhidmat di Aceh sebagai seorang raja bawahan yang memerintah di wilayah Samarlanga, satu fakta yang setahu saya mula didedahkan di Malaysia pun melalui seminar sedekad dua yang lalu.


Bab 12 masuk kisah Sultan Mahmud Mangkat di Julang lalu takhta Johor mula dipegang keturunan Bendahara. Masuk sekali bab Raja Kecil (Kecik) dari Siak yang mengaku anak kepada Sultan Mahmud datang menuntut takhta lalu anak beranak Bendahara meminta pertolongan 5 anak Opu Bugis - Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Chelak, Daeng Menambon dan Daeng Kemasi untuk mendapatkan kembali takhta.


Bab 13, pemerintahan mula berpusat di Riau di mana anak-anak raja Bugis dan keturunan menjadi begitu berkuasa dalam menentukan hala tuju empayar.


Dari Riau pusat pemerintahan beralih ke Daik-Lingga disebabkab bahana perang dengan Belanda yang menyaksikan Yamtuan Muda Riau ke-4, Raja Haji mati syahid di Melaka tahun 1784. Kelihatan muka surat 244, Bab 16.


Sejarah disorot lagi membawa ke zaman Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang menyaksikan empayar Johor-Riau-Lingga-Pahang, pewaris jajahan takluk Melaka berpecah dua menjadi bahagian yang bakal membentuk negara moden Malaysia dan Indonesia. Perjanjian juga menyaksikan Singapura mula dipegang Inggeris, waktu itu masih dikira bawah Johor tetapi kemudian akan berdiri menjadi negara yang tersendiri.


Selepas itu buku banyak memfokuskan pada bahagian terpecah yang termasuk dalam Indonesia, sesuai dengan asal usul penulis dari Batam.





Pun begitu, apa yang berlaku pada bahagian yang bakal membentuk Malaysia disentuh pada Bab 25. 


Pada Bab 26 penulis menceritakan secara ringkas kerajaan-kerajaan Melayu selain apa yang boleh disebut sebagai legasi Bukit Siguntang (perkataan saya ini, merujuk pada kesinambungan Palembang ke Bentan ke Singapura ke Melaka ke Johor dan sekitarnya). Masa pun diputar kembali ke belakang untuk merangkumi kerajaan seperti Samudera Pasai yang dimulakan pertengahan abad ke-13 Masihi...

Bab selepas itu bercerita tentang perkembangan bahasa Melayu dan tokoh-tokoh yang terlibat.


Buku ini turut menyertakan lampiran merangkumkan tokoh-tokoh utama yang disebut dalam cerita. Secara rata, walaupun saya mendapati ada sedikit kesalahan fakta antaranya akibat typo error (misalnya tahun sepatutnya 1784 tapi jadi 1984) buku ini amat bagus untuk dijadikan rujukan sepanjang zaman kerana telah merangkumkan isi banyak bahan bacaan selain menyertakan pandangan aktif penulis melalui perspektif anak tempatan Batan yang termasuk di dalam kepulauan Riau. Sekian.


3 ulasan: