Isnin, April 27, 2015

Pesta buku bersama Hijjaz dan Duta Arab Saudi

Salam semua. Pada penghujung artikel Daripada Cheng Ho ke pesta buku - Rumi dan projek penulisan baru ada disebut tentang penglibatan saya bersama syarikat penerbitan buku Hijjaz Publishing yang muncul sekembalinya saya daripada perjalanan ke-7 ke Aceh awal Februari. Seperti disebut pada perenggan terakhirnya saya pun ke PWTC untuk menghantar buku ke gerai Hijjaz lalu sampai sekitar 3 petang. Tengok-tengok dah ada beberapa orang menunggu untuk berjumpa. Mereka mendapat tahu saya akan berada di sana melalui artikel yang turut dikongsikan di Face Book...


Adapun selepas meletakkan buku saya keluar beberapa lama kerana isteri dan anak-anak menunggu dalam kereta. Selepas mendapatkan tempat parkir yang sesuai baru kembali ke gerai Hijjaz. Mula-mula setakat berbual dengan orang yang mahu berjumpa, rata-rata mereka sudah lama membaca siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" tulisan saya yang diterbitkan 2006-2007. Kemudian saya fikir mahu duduk diam sahaja sambil menyiapkan beberapa kerja menggunakan laptop yang dibawa bersama. Tengok-tengok tak lama saya boleh duduk diam dalam dunia pemikiran sendiri. Ada aje kenalan lama dan baru juga mereka yang tak pernah kenal tetapi tertarik dengan buku ingin berbual bercerita tentang sejarah dan sebagainya.

Ketika gambar atas diambil saya sudah hampir 2 jam berada di gerai. Tak terfikir pun nak mengambil gambar lagi kerana ketika itu saya fikir apa yang terpapar dalam artikel Daripada Cheng Ho ke pesta buku - Rumi dan projek penulisan baru sudah cukup untuk menerangkan keadaan juga penglibatan saya dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpu 2015. Apabila orang dah mengajak bergambar baru terfikir elok juga ambil sekeping dua untuk menunjukkan saya sudah meletakkan buku di gerai Hijjaz. Kelihatan di bawah anak-anak saya seronok bermain di sekitar...







Jam 6.30 selepas menunaikan solat Asar di surau berdekatan lalu menuju kembali ke gerai melalui laluan hadapan saya ditegur pula oleh seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai seorang pembaca setia blogspot ini yang sesekali ada menghubungi di FB. Beliau pun memberitahu ada bertanya lebih lanjut tentang Pulau Chermin di Brunei tapi saya tak jawab. Sejak itu beliau menyimpan hajat untuk bertemu secara bersemuka lalu melanjutkan persoalan.

Bukan saya tak nak jawab di FB tapi kadangkala terlalu sibuk. Bila menjawab saya cuba sebaik mungkin untuk menyelesaikan persoalan setiap orang sedangkan sering berlaku ramai orang meminta penerangan daripada saya sekaligus pada ketika kepala saya pula sedang sarat memikirkan hal lain. Tak mengapa, Allah dah temukan di pesta buku. Saya pun mengajak datang ke gerai supaya boleh berbual lebih lama. Alang-alang dah sampai ajak le bergambar kerana ketika itu baru terfikir belum memiliki gambar menunjukkan kedudukan buku-buku saya di gerai Hijjaz.

Alhamdulillah mereka cukup baik untuk membiarkan saya menggunaka satu sudut yang strategik. Ada ruang di belakang yang mana kita malah boleh berbaring juga bersolat. Ada juga beberapa orang kawan datang melepak. Isteri pun seronok melayan kawan-kawan juga orang yang baru berkenalan sementara anak-anak seronok bermain-main apa lagi, kebetulan ada gerai berdekatan menjual permainan minda yang terbuka kepada orang ramai.



Gambar ini pula diambil hampir jam 9 malam. Ketika itu rata-rata orang sedang bersiap untuk menutup gerai masing-masing. Ketika berjalan ke luar, saya dan keluarga terdenga orang menyanyi diiringi alatan musik, macam orang jamming daripada salah satu bilik kecil pameran. Kami pun masuk ke dalam, tengok ada banyak mainan lalu bagilah anak-anak peluang untuk bermain lagi sambil kami sendiri seronok dan lucu mendengar orang dewasa melalak. Salah seorang pengendali gerai meminta untuk bergambar bersama. Memang ramai orang bergambar bersama saya semalam, cuma sedikit sahaja yang dikongsikan itupun untuk melancarkan cerita. Rasanya ini gambar yang paling lengkap menunjukkan bagaimana saya berpakaian hari itu. Lain-lain saya nampak separuh badan.


Oh. Semasa masih berada di gerai Hijjaz berlaku sesuatu yang terasa agak lucu. Tiba-tiba saya dikerumuni ramai Pak Arab dan mereka bukan orang sembarangan.


Kelihatan dalam gambar saya sedang berbual dengan Duta Arab Saudi.


Di celah-celah itu pula saya berbual dengan cultural attache atau pegawai kebudayaan mereka.


Saya turut diperkenalkan dengan beberapa orang pegawai atasan kerajaan Arab Saudi, ada yang menjaga hal ehwal pelajar mereka di Malaysia ada pula beberapa orang Sheikh yang nampaknya menjaga bab agama.


Kelihatan seorang yang berpakaian tradisional Arab bertanya kepada saya tentang adab memakai keris. Beliau mahu tahu apa maksudnya kalau hulu keris menghadap ke luar dan sebagainya. 



Tu dia. Tiba-tiba saya jadi semacam duta Alam Melayu untuk menerangkan budaya lama pegangan kita. Walhal ilmu saya dalam hal ini sangatlah cetek dan saya memberitahu begitu kepada mereka.



Apapun saya cuma menjawab setakat yang boleh. Alangkah eloknya jika ada kawan busana/aktivis kebudayaan Melayu/ geng silat yang lebih arif untuk menerangkan lebih lanjut. Pada acara seperti pesta buku inilah kita berpeluang untuk memperkenalkan segala macam aktiviti kita dengan lebih lanjut. Di sini ada khalayak yang lebih luas, bukan setakat muka-muka sama dalam dunia persilatan, kebudayaan dan sewaktu dengannya.


Sungguh, sampai kini pun saya merasa lucu memikirkan hal ini. Apa yang berlaku sebenarnya adalah saya sedang seronok berjalan-jalan kaki ayam atas carpet dalam dewan yang terasa begitu selesa dalam Dewan Tun Hussein, lalulah di hadapn gerai yang  mempromosi Arab Saudi. Tiba-tiba seronok anggota datang mengajak ke gerai bertemu dengan orang-orang penting mereka termasuk duta yang kebetulan sedang datang berziarah ketika itu. Mereka tertarik dengan pakaian saya itu je. Tu yang saya dikerumuni dan ditanya macam-macam.

Ah. Apabila difikirkan balik macam ada petunjuk dan makna di sebalik apa yang berlaku. Disebabkan saya menghantar buku kepada Hijjaz maka orang penting Arab Saudi menjadi minat untuk bertanya tentang cara lama orang Melayu. Nampak tak perhubungannya? Hijjaz - Arab Saudi-Melayu. Bukankah Hijjaz itu merujuk pada wilayah Arab yang mengandungi kota suci Mekah dan Madinah? Negara Arab Saudi pula timbul setelah pemerintah  ke atas Hijjaz diambil alih oleh keluarga Saudi. Daripada wilayah Hijjaz itu ramai juga keturunan Nabi Muhammad SAW membawa diri ke Alam Melayu, ada malah menjadi raja contohnya Sharif Ali, bekas Sharif atau raja Mekah yang menjadi Sultan Brunei. Nampaknya memang ada suatu yang tersirat tentang apa yang berlaku. Semoga ia membawa kebaikan kepada semua...

Di sini saya ingin memberitahu. Pada awalnya saya fikir cukuplah menghantar buku ke Hijjaz kemudian biar mereka mengendalikannya. Saya cuma tunjuk muka semalam, kemudian hujung minggu baru datang lagi. Tetapi saya dapati tempatnya begitu selesa, boleh juga membuat kerja kecuali apabila perlu melayan orang atau kawan-kawan bertandang. Dan malamnya ketika meninggalkan dewan terjumpa pula kawan lama dari Muar yang dikenali sejak kami masih di tadika lagi, 40 tahun wooo dah kenal tu! Kebetulan kawan itu seorang Sayyid. Kami panggil dia Arab. Baru saya tahu dia mengendalikan gerai cuma 30-40 meter sahaja daripada gerai Hijjaz. Semua ini memberitahu bahawa saya harus meluangkan lebih banyak masa di sana dalam tempoh pesta buku ini berlangsung 24 April hingga 3 Mei.

Oleh itu biar dinyatakan, pada sesiapa yang ingin berjumpa saya dalam waktu terdekat, bolehlah menjenguk ke gerai Hijjaz hari Selasa, Khamis, Jumaat dan Ahad bermula jam 3 petang gitu. Hari ini tak dapat kerana ada beberapa kerja perlu diselesaikan, Rabu nak ke Tanjung Malim ada seminar Panglima Awang, Sabtu ada kerja kahwin di kampung isteri. Insyaallah jumpa kita... :]




Tiada ulasan:

Catat Ulasan