Selasa, Mac 10, 2015

Perjalanan ke-7 di Aceh - Bincang Sejarah Adat dan Budaya Aceh-Malaysia

Siang tadi saya telah menghadiri satu majlis yang agak bermakna di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kalau ikutkan pada 'kesegaran' cerita mahu sahaja terus berkongsi tentangnya di blogspot hari ini. Tetapi memikirkan corak penceritaan siri "Perjalanan ke-7 di Aceh" yang muncul sejak dimulakan 2 minggu lalu (lihat penjelasan dalam artikel Up balik : Kenangan zaman UK) eloklah ia dibuat selepas 2 lagi artikel siri selesai dipersembahkan. Dengan ini bersambung cerita daripada Perjalanan ke-7 di Aceh - Silaturrahim Daruddunia-Pedir, khususan Teungku Chik di Reubee Daeng Mansur....


Pagi Rabu 18 Februari 2015. Saya telah bermalam di rumah Ustaz Mujib yang terletak di sebelah tempat bot nelayan tersadai atas rumah akibat pukulan ombak Tsunami 26 Disember 2004.



Selepas Subuh saya mengambil udara segar sambil bersenam mengelilingi kampung. Jam 8.40 baru kami keluar jauh untuk menghadiri satu majlis.



Majlis diadakan di Rumah Budaya Kota Banda Aceh. Saya difahamkan bangunan ini yang kalau tak salah adalah peninggalan daripada zaman pendudukan Belanda baru beberapa hari siap diperbaiki untuk dijadikan rumah budaya. Lihat artikel Rumah Budaya (Culture house of) Banda Aceh di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Ini menjadikan majlis yang dihadiri acara pertama di Rumah Budaya Banda Aceh. Majlis diberi nama "Bincang Sejarah Adat dan Budaya Aceh-Malaysia"...


Nampak tak nama yang tertera pada sepanduk? Itulah nama pena saya sebagai penulis, nama yang digunakan untuk laporan dalam akhbar berbahasa Inggeris terkemuka di Malaysia, The New Straits Times ketika bertugas sebagai wartawan 1996-2001. Pada pertengahan artikel Perjalanan ke-7 di Aceh - Makam raja-raja dari Semenanjung Tanah Melayu dan beberapa makam lama, artikel yang menceritakan aktiviti hari ke-4 ada disebut kawan-kawan di Aceh merancang untuk mengadakan satu majlis ilmu hari Rabu mengambil kesempatan atas kehadiran saya di Aceh sehingga Khamis. Nah. Inilah majlisnya...


Alhamdulillah, walaupun dirancang cuma 2 hari sebelum acara dengan segala urusan rasmi surat menyurat dan sebagainya dimulakan petang itu, sepanduk pula ditempah keesokan harinya acara dapat juga berlangsung dengan lancar. Kami mendapat restu dan pertolongan DisBudPar iaitu Dinas Budaya dan Parawisata (jabatan budaya dan pelancongan) Banda Aceh. Merekalah yang memberikan kebenaran menggunakan rumah budaya. 

Kelihatan dalam gambar ketua DisBudPar, Pak Fadhil kalau tak salah memberikan kata-kata aluan. Beliau pernah menyambut kedatangan saya dan 5 orang anak muda dari Malaysia di satu majlis maulud pada hari ke-2 saya di Aceh. Rujuk Perjalanan ke-7 di Aceh - Hol Tuan di Kandang dan Emansipasi Citra Lamuri


Turut hadir adalah sejumlah kaki tangan...


Yang lain rata-rata adalah aktivis sejarah dan budaya Aceh.


Saudara Muammar memanaskan suasana dengan membaca rangkap-rangkap daripada kitab Bustanus Salatin karangan Sheikh Nuruddin ar-Raniri. Secara rata ia menceritakan zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani, anak Raja Pahang yang diangkat menaiki takhta Aceh hampir 400 tahun lalu.



Sambil bahagian pembukaan acara diteruskan muncul lagi beberapa hadirin baru.


Ustaz Mujib bertindak sebagai pengacara/moderator.


Oleh kerana saya harus berada di hadapan sepanjang majlis berlangsung peluang untuk merakamkan keadaan agak terhad. Gambar ini juga dua gambar seterusnya diambil oleh orang lain. Kelihatan saya sedang menyerahkan satu set buku trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" kepada ketua Disbudpar untuk simpanan pejabatnya. Siri ini diterbitkan syarikat saya Wasilah Merah Silu Enterprise 2006-2007. 

Buku pertama iaitu yang berwarna kuning sudah kehabisan stok sejak lebih setahun lalu.  Saya sendiri datang ke Aceh tanpa membawa apa-apa buku. Mujib yang menyampaikannya kepada saya untuk diserahkan kepada Disbudpar. Entah daripada koleksi peribadinya, entah daripada pembelian selepas itu, saya kurang periksa.


Setelah beberapa lama sampai masa untuk saya berkongsi ilmu. Ini dimulakan dengan menerangkan apa itu Melayu menurut beberapa definisi popular. Satu, menurut perlembagaan negara Malaysia - asalkan seorang itu beragama Islam, biasa bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu maka dia boleh dikira orang Melayu. Kedua, mengikut pemahaman di Indonesia di mana Melayu cuma satu suku, bukannya bangsa. Orang Melayu dikatakan kebanyakannya menetap di sekitar Palembang dan Jambi, ada sedikit di Deli, ada sedikit di Riau dan beberapa tempat. Suku-suku lain seperti Bugis, Banjar, Jawa dan sebagainya tidak dikira Melayu, berbeza dengan keadaan di Malaysia di mana semua itu adalah suku-suku di dalam bangsa besar Melayu.

Selepas itu saya memutar masa ke zaman purba 8,000 tahun yang lampau di mana paras air laut lebih rendah akibat air banyak membuka lapisan ais di hemisfera utara dan selatan bumi.  Ketika itu Selat Melaka dan Laut Cina Selatan masih lagi daratan. Bersama muka bumi Asia Tenggara yang kita kenali sekarang, ini membentuk satu daratan benua yang besar, disebut pengkaji sebagai Sundaland (Tanah Sunda). Ini disebabkan ia terletak di atas bahagian plet bumi yang dipanggil Pentas Sunda. 

Saya buat ini untuk menetapkan satu lagi definisi Melayu iaitu berdasarkan kajian genetik menunjukkan orang Melayu adalah bangsa besar yang menduduki benua purba ini. Akibat banjir besar yang membawa kepada pembentukan bentuk muka bumi sekarang, banga Melayu menyebar merata sehingga ada yang membentuk pribumi di tempat sejauh New Zealand, kepulauan Pasifik dan Hawaii. Dengan ini orang-orang Indonesia termasuk suku Jawa (yang paling kuat menolak hakikat mereka semua asalnya Melayu) juga suku Aceh dapat dibawa kembali ke dalam ruang lingkup besar konsep Melayu Raya. Saya bercakap terus daripada hati tanpa menggunakan nota mahupun alat bantuan persembahan seperti Power Point, projektor dan slaid. Apabila perlu untuk memberikan gambaran suatu tempat termasuk rupa Sundaland atau Benua Pentas Sunda saya melukis atas papan putih menggunakan marker.


Seterusnya saya membawa hadirin menelusuri sejarah hubungan Aceh-Malaysia atau lebih tepat, Aceh dengan Semenanjung. Menggunakan cerita daripada Hikayat Merong Mahawangsa, saya mengemukakan pandangan bahawa hubungan telah wujud seawal zaman Nabi Sulaiman lebih 900 tahun Sebelum Masihi. Selesai pembentangan kami bergambar beramai. Didapati jumlah hadirin adalah mencapai lebih 30 orang. Walaupun ia tidak seramai yang diharap - 50 orang telah diundang untuk hadir - ia masih boleh dikira satu majlis yang berjaya kerana dapat dibuat 2 hari setelah dirancang. Dan dalam masa sesingkat itu susah untuk mendapatkan komitmen lebih ramai apalagi ia dibuat pada hari bekerja. Sedangkan berita tentang acara tidak cukup masa untuk betul-betul menyebar memberi lebih ramai tahu.


Saya sendiri merasakan majlis ini ialah satu penghormatan yang sangat besar buat diri. Walaupun sudah banyak kali berkongsi ilmu dalam majlis-majlis serupa di mana saya membentang seorang diri (kalau membentang bersama orang lain tu dah rasa begitu biasa) acara di Aceh ini terasa terlebih istimewa. Ini kerana saya membentang di wilayah asal leluhur belah bapa. Tapi kalau itu sahaja sebabnya maka saya sudah melakukannya awal tahun lalu. Lihat artikel Acara kesepuluh HIKMAH di Muzium Aceh, Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014  di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)

Yang ini terlebih istimewa kerana saya membentang seorang diri dalam majlis yang dirancang cuma 2 hari sebelum berlangsung. Kenyataan bahawa aktivis Aceh sanggup mengatur acara untuk mengambil kesempatan atas kehadiran saya menunjukkan mereka sangat menghargai ilmu yang saya ada.
.


Hampir jam 2 saya dibawa ke Hotel Medan untuk berehat. Jam 5.30 baru keluar bersama Agam, Muammar dan seorang lagi aktivis.


Kami bertandang ke rumah Pak Abdul Rahman Kaoy seorang bekas pensyarah yang merupakan ilmuwan tua yang dihormati ramai.


Sebetulnya kami sudah bertandang ke rumah beliau Sabtu malam Ahad bersama 5 orang lagi daripada Malaysia. Cuma saya tidak menyebutnya dalam artikel tentang aktiviti hari tersebut iaitu Perjalanan ke-7 di Aceh - Hol Tuan di Kandang dan Emansipasi Citra Lamuri.


Kami mengulangi lawatan kerana semasa bertandang beberapa hari lebih awal tak sempat melihat sejumlah barangan lama termasuk pedang yang katanya milik seorang Sultan Aceh. Kali ini Pak Rahman malah mengajak kami semua memakai pakaian adat Aceh. Inilah kali pertama saya mencubanya setelah sekian lama mengenali wilayah asal leluhur sebelah bapa ini. Muncul satu macam semangat yang susah hendak digambarkan sebaik sahaja selesai menyarungkan baju.


Nah. Siap berpakaian penuh dengan senjata tradisional Aceh iaitu rencong tersisip pada pinggang, Tangan kanan memegang sebatang... hmm... apa nak panggil ini ya... cokmar, tongkat kerajaan? Oh. Atas tu bukan tanduk. Kebetulan posisi saya bergambar selari dengan apa yang kelihatan seperti perahu hiasan.


Bergambar bersama kawan-kawan. Seorang sedang mengambil gambar.


Mencuba rasa pedang yang katanya pernah dimiliki sultan. Ia datang bersama sarung yang membentuk sebatang tongkat.





Bergambar bersama Pak Rahman. Bukan selalu dapat bergambar begini, bersama seorang tokoh ilmuwan Aceh yang dihormati.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan