Jumaat, Februari 27, 2015

Perjalanan ke-7 di Aceh - Makam para Merah, punca batu nesan Aceh dan makam Hamzah Fansuri

Salam malam Jumaat. Masuklah penceritaan hari ke-3 perjalanan di Aceh 13-19 Februari baru ini. Bersambung daripada Perjalanan ke-7 di Aceh - Hol Tuan di Kandang dan Emansipasi Citra Lamuri.



Pagi Ahad 15 Februari 2015 kami keluar awal menuju ke lapangan terbang.


Kumpulan GPTD yang bersama saya berjalan-jalan di Aceh harus kembali ke Malaysia. Begitu juga seorang rakan yang datang bersama dari Melaka.


Tinggallah saya seorang diri untuk terus melihat Aceh kerana mahu berada di sini sehingga 19 Februari. Selepas berehat sejam dua di hotel baru keluar bersama seorang rakan orang Aceh yang kami biasa panggil sebagai Agam.


Kali ini kami berjalan menaiki motosikal.


Beliau membawa saya ke kawasan pendalaman menghampiri pergunungan selatan Banda Aceh, kawasan yang katanya dahulu terletak di dalam lingkungan kerajaan lama yang dipanggil Darul Kamal.





Kami masuk ke kawasan kampung terus ke satu lot tanah. Ada meuseraya atau gotong-royong sedang dilakukan oleh anak-anak muda Aceh.


Ia dilakukan oleh satu NGO bernama MAPESA, Masyarakat Peduli Sejarah Aceh. Hampir setiap minggu mereka melakukan kerja-kerja membaikpulih atau membersihkan makam-makam lama bersejarah. Kali ini mereka mahu mendirikan kembali batu-batu nesan yang sudah jatuh lalu tenggelam ke dalam tanah. Lihat artikel Erecting fallen Aceh tombstones to preserve history di blogspot BERPETUALANG KE ACEH diikuti artikel Sebuah kawasan makam yang baru didirikan kembali (A recently re-erected tomb area) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Antara paling terserlah selepas didirikan adalah batu nesan ini. Kelihatan seorang ahli arkeologi tempatan sedang membuat salinan tulisan pada batu untuk kajian. Bentuk batu nesan serupa dengan apa yang terdapat di makam Tok Sego Aceh di Perak. Mungkin ada kaitan apalagi apabila difikirkan rentetan peristiwa yang membawa kepada perjalanan ke Aceh 13-19 Februari ini, satu perjalanan tak diduga. 


Pada artikel Misi HIKMAH Beruas - Jejak Malikul Mansur yang ditulis lebih 2 minggu lalu saya ada memberitahu telah mendapat tawaran untuk berangkat ke satu tempat menarik. Tawaran diterima ketika menulis artikel sebelum itu, Misi HIKMAH Beruas - Faktor Tok Sego Aceh. Ia adalah tawaran untuk membuat perjalanan ke Aceh dengan segala kos ditanggung beres. Ini diterima sejurus selepas selesai perenggan menyebut tentang Tok Sego Aceh.


Seterusnya saya dibawa seorang rakan lain bernama Muammar ke satu kawasan pemakaman berdekatan yang beberapa batu nesannya lebih tinggi daripada saya. Lihat Makam (Tomb of) Meurah II. Meurah (sebutan Aceh) atau Merah merujuk pada bangsa raja-raja di Aceh dahulukala. Bangsa Merah ini dikatakan berketurunan Arab. Saya percaya mereka juga memiliki darah Parsi.



Di satu makam lain tapi berkaitan berdekatan, saya telah melelapkan mata beberapa minit sambil menunggu Agam untuk kembali bersama. Lihat Makam (Tomb of) Meurah I. Selepas bangun, Muammar bertanya jika saya ada bermimpi apa-apa. Saya jawab tiada. Cuma semasa meninggalkan makam timbul rasa untuk memandang kembali ke arahnya. Ketika itu mata hati saya terlihat seorang lelaki sederhana tinggi berjubah berserban putih dengan muka Arab memandang sambil tersenyum, badannnya sedikit bersandar pada satu-satunya batu nesan yang diikat kain putih di situ, satu-satunya batu nesan sana yang saya dapat lihat serupa bentuknya dengan apa yang terdapat di makam Tok Sego Aceh di Perak.


Apakah makna semua ini? Yang saya tahu banyak perkara baik mula terbuka buat saya sebaik sahaja selesai satu perjalanan ke Beruas lebih 2 minggu lalu. Perjalanan dibuat untuk mengatur penganjuran satu acara HIKMAH di sana. Dalam perjalanan itulah timbul rasa untuk menziarahi makam Tok Sego Aceh walhal sebelum itu tak terfikir pun nak singgah sebab sudah 2-3 kali sampai sebelum itu. Selepas ziarah ke makam para Merah saya membonceng motosikal Agam memotong satu laluan bukit ke barat sambil Muammar ikut dengan motosikalnya di belakang. Oh, sebelum itu kami ada singgah di satu tempat peranginan. Lihat The pools of Mata Ie.


Perjalanan tersebut memotong bahagian rendah bukit yang kelihatan. Muammar memberitahu puncak tertinggi iaitu di sebelah kanan gambar ada disebut dalam kitab lama Bustanus Salatin karangan Sheikh Nuruddin ar-Raniri hampir 400 tahun lalu sebagai Jabal A'la, bukit yang tertinggi.


Agam mahu membawa saya ke satu kawasan pemakaman berdekatan Lautan Hindi yang batu-batu nesannya tidak memiliki hiasan juga tulisan. Lihat Makam-makam dengan batu nesan Aceh tak lengkap (Tombs with incomplete Aceh stones). Beliau percaya berdekatan makam itu terdapat satu pusat pembuatan batu nesan Aceh. Tetapi ia telah lama ditutup atau ditinggalkan, mungkin akibat pencerobohan askar Belanda yang bermula tahun 1873. Nampaknya akibat tiada lagi tukang untuk menyempurnakan kerja maka  batu-batu nesan belum cukup sifat digunakan untuk menandakan makam...


Kata Agam hal ini disokong kewujudan batu mentah belum dipotong kecil seperti ini yang terdapat di sebuah masjid berdekatan. Saya telah meneliti batu tersebut lebih dekat lalu mendapati ia memang jenis yang biasa digunakan untuk batu nesan Aceh.


Batu jenis ini bukan boleh didapati di semua tempat. Seterusnya kami menziarahi makam seorang menteri Aceh dahulukala yang katanya pandai menjinakkan binatang, pernah menjadi guru kepada Sultan Iskandar Muda (memerintah 1607-1636) mengajar ilmu gajah dan haiwan lain. Ketika ini Muammar telah berpecah arah menuju ke Banda Aceh. Lihat Makam (Tomb of) Maharaja Gurah


Tujuan utama saya mahu ke kawasan ini adalah untuk menziarahi makam wali besar Aceh abad ke-16 dan 17 Masihi iaitu Sheikh Hamzah Fansuri. Lalu di sebuah masjid, kelihatan sebuah tugu menunjukkan aras air semasa ombak besar Tsunami melanda Aceh 26 Disember 2004. Lihat Masjid (Mosque of) Indrapurwa.


Dalam lawatan ke Aceh kali ini baru saya sedar tugu-tugu sebegitu bukan menandakan ketinggian ombak tetapi paras genangan air iaitu air yang bertakung beberapa lama selepas ombak surut. Ini bermakna ombak jauh lebih tinggi! Apapun perjalanan ke makam Hamzah Fansuri harus melalui tepian satu barisan bukit. Sepanjang barisan boleh kelihatan jenis batu yang biasa digunakan untuk membuat batu nesan Aceh.


Perjalanan juga melalui tepian laut lalu memberikan pemandangan yang agak mengasyikkan. Lihat Views towards Ujong Pancu.



Sampai ke hujung jalan kami meletakkan motosikal lalu mula berjalan kaki. Untuk pengetahuan makam Hamzah terletak sekitar 1 km gitu ke dalam hutan.


Dalam perjalanan boleh kelihatan lagi jenis batu yang biasa dibuat batu nesan Aceh. Nampaknya seluruh barisan bukit sini adalah sumber untuk mendapatkan batu. Patutlah satu kawasan bernama Meuraksa tidak jauh dari sini dicatat sebagai pusat pertukangan dan bekalan batu nesan Aceh.


Tidak lama kemudian sampailah ke makam. Alhamdulillah sempat sampai ketika hari masih terang. Dahulu saya pertama kali sampai penghujung 2011 dalam kekaburan waktu senja. Lihat Makam Hamzah Fansuri dalam keadaan lebih terang (Tomb of Hamzah Fansuri in clearer condition).


Selepas itu ada lagi satu tempat di sekitar yang terasa perlu diziarahi sebelum betul-betul boleh merasa puas hati. Ada sebuah kubah yang tercabut daripada bumbung masjid lalu dihanyutkan jauh oleh air deras. Lihat Kubah Masjid Tsunami (Tsunami Mosque Dome), Peukan Bada. Sebelum hari gelap kami sempat singgah di satu masjid yang mencuri perhatian. Lihat Masjid (Mosque of) Teungku Chik Maharaja Gurah. Ia dinamakan sempena pemilik makam yang baru diziarahi sebelum ke makam Hamzah Fansuri...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan