Jumaat, April 04, 2014

Misi HIKMAH Aceh - Makam Maharajalela dan panggilan mistik Lamuri

Salam Jumaat. Pada artikel Misi 2 serampang - Membawa Johan dan HIKMAH ke Aceh ada disebut bahawa siri berdasarkan perjalanan terbaru ke Aceh 23-30 Mac akan diberi nama "Misi 2 serampang". Hari ini saya mahu memulakan cerita. Setelah difikirkan kembali rasanya lebih elok siri diberi nama "Misi HIKMAH Aceh".


Pagi Ahad 23 Mac 2014. Setelah bermalam di rumah abang ipar tidak jauh dari lapangan terbang kami pun bergegas untuk menaiki pesawat ke Aceh. Kali ini kami lebih berhati-hati datang awal. Saya tidak mahu lagi terjadi kes tidak dibenarkan masuk pesawat akibat datang lambat untuk check-in seperti pernah berlaku 4 bulan lalu. Lihat Dari Aceh ke Putrajaya : Tidak bergerak walau sezarah sekalipun tanpa izinNya.


Kali ini perjalanan terlebih istimewa kerana beberapa faktor.


Antaranya kami akan menjayakan acara ke-10 HIKMAH di Aceh di mana saya akan berbusana tradisional lengkap berkeris, bersampin, bertanjak. Maka itu saya pakai tanjak menaiki pesawat kerana tidak mahu ia dihempap, terhimpit dan sebagainya jika disimpan di dalam beg.


Perjalanan juga terlebih istimewa kerana ibu dan bapa saya turut serta. Selain itu, ia adalah kali pertama anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan yang sudah berumur 2 tahun dibawa ke Aceh.


Setelah beberapa lama sampailah kami ke lapangan terbang Sultan Iskandar Muda di Banda Aceh.


Keluar sahaja dari pemeriksaan imigresyen terus disambut kawan warga tempatan dan disuakan pengangkutan. Terus kami menghala ke pusat Banda Aceh dengan niat mahu mencari hotel yang sesuai sebelum berjalan-jalan.


Fikir saya kali ini mungkin tidak boleh selalu sangat ke makam seperti biasa kerana membawa orang tua. Bapa mungkin boleh menerima tetapi apa pula kata ibu? Maka kalau ke makam pun mungkin sedikit sahaja dan ke tempat yang biasa pergi. Tengok-tengok tidak lama selepas meninggalkan lapangan terbang terus terjumpa satu makam baru. 


Ia adalah makam keluarga Maharajalela yag terletak seberang jalan dari tanah perkuburan massal Siron, satu dari 4 (kalau tak salah) tanah perkuburan beramai-ramai sekitar Banda Aceh yang dikhaskan untuk mangsa Tsunami 26 Disember 2004, ombak besar yang meragut lebih 200,000 nyawa di Aceh. Jalan di hadapannya adalah jalan utama dari lapangan terbang ke Banda Aceh maka sudah beberapa kali kami lalui. Kewujudan makam Maharajalela di Aceh sudah saya ketahui sejak lebih 3 tahun lalu apabila melihat satu peta. Tapi baru kali itu saya tahu ia terletak di jalan ini dan menjejakinya.


Sungguh istimewa dapat melawat kawasan pemakaman ini di kala bapa yang mana melaluinyalah saya memiliki darah kerabat diraja Aceh ada bersama. Mungkin ini juga berkat kehadiran dia selain kami ada pemandu, seorang rakan warga tempatan yang cukup tahu kedudukan makam-makam di merata tempat. Menurut kajian saya keluarga Maharajalela di Aceh memang ada kaitan dengan kami. Berasal dari Tanah Bugis, seorang ahli keluarga kemudian menaiki takhta Aceh tahun 1727 dengan memakai nama Sultan Ahmad Syah Johan Berdaulat. Dari bagindalah muncul raja-raja Aceh seterusnya. Lihat artikel lama Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh? yang ditulis hampir 5 tahun lalu.

Adapun keluarga terdekat sebelah bapa di Perak mewarisi pangkat dan gelaran yang dipanggil Laksamana Raja Mahkota. Ia dikatakan memiliki darah kerabat diraja Aceh dan Bugis juga darah diraja Perak yang berasal dari kesultanan Melaka. Keluarga Maharajalela di Aceh memang memiliki darah Bugis. Datuk pada Sultan Ahmad Syah pula memakai gelaran laksamana, Laksamana Zainal Abidin ibni Daeng Mansur, berkahwin dengan Laksamana Raja Kemalahayati, pahlawan wanita tersohor di Aceh lalu mendapat anak yang dikenali sebagai Maharajalela Abdul Rahim. Dari Abdul Rahim yang mengahwini seorang Sultanah Aceh muncul Maharajalela Ahmad yang katanya sesekali turut dikenali sebagai Laksamana Ahmad. Ahmad inilah yang menaiki takhta Aceh 1727 itu. Lihat artikel Makam (Tomb of) Maharajalela, Aceh di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Kami juga sempat menziarahi makam seorang ulamak berdekatan. Lihat Makam (Tomb of) Habib Dham.

Mungkin ada yang tertanya apakah ada hubungan dengan Dato' Maharajalela di Perak yang terkenal dalam sejarah terlibat dalam pembunuhan residen pertama British, J.W.W. Birch 1875. Setakat saya tahu keluarga Maharajalela dan Laksamana di Perak memang ada hubungan darah. Namun saya tidak dapat menemukan jawatan Maharajalela dipakai di Semenanjung sebelum tahun 1700an. Ia bukan jawatan dari zaman kesultanan Melaka seperti didakwa setengah orang, kalau tidak tentu sudah disebut dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Di Tanah Bugis pun saya tak jumpa jawatan ini walaupun Maharajalela di Perak itu dikatakan berketurunan Bugis. Yang wujud adalah di Perak  sejak tahun 1740an, dan Selangor selepas 1760an kerana ketika itulah keSultanan Selangor secara rasmi berdiri, sebelum itu ia tinggalan jajahan takluk Melaka. Tetapi di Aceh jawatan Maharajalela sudah wujud sejak tahun 1600an dan memang diketahui dari tokoh berketurunan Bugis.


Kita tinggalkan persoalan ini sambil kereta bergerak semakin menghampiri kota. Boleh kelihatan di mana bendera dan segala macam iklan calon wakil rakyat kerana Aceh, seperti mana-mana wilayah lain di dalam kekuasaan Indonesia sedang bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum peringkat nasional yang dijadualkan berlaku 9 April.






Di pinggir kota, tiba-tiba pemandu yang saya panggil Agam bertanya apakah mahu ke Lamuri? Beliau merujuk pada kerajaan lama yang katanya adalah asal muasal berdirinya Aceh Darussalam Ah. Sebetulnya saya sudah lama mahu ke kawasan yang terletak 40 km ke timur Banda Aceh itu, kerana mendapat tahu ada tinggalan-tinggalan sejarah yang ditemui 2 tahun kebelakangan Apabila ditanya pada ibu bapa, kata mereka ikut suka hati sayalah hendak ke mana. Tak perlu masuk ke hotel buat masa ini.

Oh. Sebelum itu kami sempat menziarahi makam seorang pahlawan Aceh yang gigih menentang Belanda, di sisi sebuah masjid. Lihat Masjid jami' (Main mosque of) al-Mahabbah, Lamnga dan Makam (Tomb of) Teuku Nyak Makam. Kelihatan gambar selepas kami bersolat di masjid berdekatan makam Laksamana Kemalahayati di Teluk Lamreh, nama yang katanya timbul dari perkataan Lamuri. Sebelum itu kami sempat makan tengah hari di kedai berdekatan. Saya dan isteri sudah ke sekitar ini beberapa kali. Sekarang mahu ke satu tempat yang belum pernah kami sampai.


Ia adalah kawasan yang dipanggil Kuta Leubok. Kami perlu pergi sedikit jauh dari kawasan yang pernah dicapai sebelum ini kemudian meninggalkan kereta di tepi jalan atas lereng bukit. Selepas itu harus berjalan kaki agak jauh untuk turun ke tinggalan kota di tepi pantai. Lihat artikel Walking down to Kuta Leubok di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Alhamdulillah ibu dan bapa saya yang masing-masing sudah berumur 72 tahun masih larat berjalan jauh dan lasak sampai ke tinggalan kota. Lihat Benteng (Fort of) Kuta Leubok. Di situ juga ada makam seorang sultan. Lihat Makam (Tomb of) Sultan Muhammad Syah Lamuri..



Apabila diteliti lebih dekat ternyata batu-batu karang juga telah digunakan untuk membina kota. Ini serupa dengan sedikit tinggalan yang pernah saya temui di Bukit Treh, Muar. Lihat Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Empayar Khalifah Sharif yang sebenar?.



Seterusnya kami ke benteng Malahayati, benteng yang digunakan Laksamana Raja Kemalahayati dan angkatannya yang terdiri dari para janda yang suaminya syahid perang menentang usaha pencerobohan Portugis di Aceh. Yang ini saya dan isteri sudah beberapa kali pergi. Tapi ia kali pertama buat ayah yang seperti ibu juga baru kali ini menjejakkan kaki di Aceh.


Pemandangan ke laut. Rupa-rupanya dekat benteng ini juga ada makam. Lihat Makam di sebelah benteng Malahayati (Tomb besides . Ketika keluar kembali ke jalan besar pula saya ditunjukkan satu lagi makam. Lihat Makam (Tomb of) Qadhi Ismail.


Bila berada di sekitar ini saya rasa tak sah kalau tidak menziarahi makam Raja Kemalahayati di lereng bukit berdekatan. Cuma ibu, ayah dan isteri dah terlalu penat lalu menunggu sahaja dalam kereta, saya naik bersama anak-anak dan Agam.


Teringat ketika pertama kali sampai bersama isteri tahun 2009. Ketika itu ziarah ke makam ini tiada dalam rancangan, setakat mengikut pemandu yang mahu membawa kami ke benteng. Fikir saya ketika itu apabila sudah menjejakkan kaki ke makam Sultan Malikus Saleh di bekas pusat kerajaan Samudera-Pasai, 6 jam perjalanan dari Banda Aceh tidak ada lagi yang boleh menjadi klimaks. Tetapi di makam ini kami dapat merasakan satu aura yang sama malah mungkin lebih hebat. Lihat Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi.... Selepas lawatan kedua 2010 pula berlaku perkara agak misteri seolah memanggil kami untuk ke sini lagi keesokan harinya. Lihat Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Takdir yang menyebabkan penambahan satu hari....


Seterusnya kami ke Benteng Iskandar Muda tetapi setakat melihat dari dalam kereta.



Di Benteng Indrapatra yang terletak lebih hampir ke Banda Aceh baru kami turun melihat satu bahagian.


Oh, dalam perjalanan Banda Aceh-Lamuri/Teluk Lamreh-Banda Aceh ini saya turut tertarik dengan satu poster calon wakil rakyat Aceh yang mukanya mirip penyanyi terkenal Siti Nurhaliza. Ketika kembali saya mengambil peluang menangkap satu gambar.



Sampai di Banda Aceh kami menziarahi makam Sultan Iskandar Muda, raja besar Aceh abad ke-17.



Dah lewat petang baru masuk hotel di mana saya terus memilih Hotel Lading kerana kedudukannya yang paling hampir dengan Masjid Baiturrahman, masjid utama Banda Aceh. Ketika itulah Agam memberitahu hotel ini dimiliki ahli keluarga sultan terakhir Aceh.



Malam itu kami sempat menikmati persembahan qasidah dan maulud yang diiringi tarian sufi di sebuah pusat kebudayaan yang dibina kerajaan Turki. Sungguh hari kami penuh dengan aktiviti sejak sampai dari Malaysia hingga ke tengah malam.



Isnin, Mac 31, 2014

Misi 2 serampang - Membawa Johan dan HIKMAH ke Aceh

Salam semua. Sukacita dimaklumkan saya dan keluarga baru sahaja kembali semalam dari satu perjalanan 8 hari 7 malam di Aceh. Kalau ikutkan saya masih amat kepenatan untuk melakar apa-apa cerita. Namun disebabkan tarikh hari ini 31/3 istimewa, ada faktor 313 maka biarlah diberikan sedikit perasa.





Tujuan asal perjalanan ini dibuat adalah untuk membawa anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan menjejaki makam pengasas kerajaan Samudera dan Pasai, Sultan Malikus Saleh. Sebagai ingatan baginda juga turut dikenali sebagai Raja Merah Silu (ya... saya menumpang berkat nama besar itu). Ketika kami kali terakhir ke sana tahun 2011, isteri saya sedang mengandungkan Johan 6 bulan. Lihat .Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Johan lahir Februari 2012 lalu dibawa berjalan keliling Pulau Jawa ketika baru berumur 2 setengah tahun. Lihat Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa"

Tahun lepas iaitu 2013, anak kecil ini dibawa ke Tanah Bugis. Lihat Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - The compilation. Maka itu eloklah Johan dibawa ke Aceh pula nanti..Lagipun sudah sampai masanya gambar saya, isteri dan abang si Johan, Muhammad al-Aminul Rasyid yang menghiasi bahagian atas blogspot ini sejak sekian lama digantikan dengan gambar yang mengandungi Johan sekali. Sudah sampai masanya gambar penghias blogspot menjadi lebih lengkap memaparkan kami sekeluarga.



CATATAN SI MERAH SILU

Peluang muncul apabila terdapat satu promosi tiket tambang murah penerbangan Air Asia ke Aceh yang amat memberangsangkan. Maka tiket pun dibeli seawal setengah tahun lalu, cuma menunggu masa untuk membuat lawatan. Apabila ada kawan-kawan kami dari Aceh datang bertandang ke Kuala Lumpur penghujung 2013 lepas pula muncul cadangan untuk mengadakan acara HIKMAH di Aceh. Lihat Faktor Aceh di majlis guru seni bela diri Malaysia - Mat Kilau adalah orang sana! dan Membawa kawan-kawan Aceh ke Melaka - Antara Pidie dan PD. Maka satu tarikh yang sesuai ketika kami dijadualkan berada di sana penghujung Mac 2014 pun dicadangkan.



Alhamdulillah, acara ke-10 HIKMAH pun dapat diadakan di Aceh dengan penuh gemilang 2 hari lepas. Sedikit cerita awal telah diletakkan di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Lihat HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda sukses.... Dengan itu satu siri penceritaan berkaitan akan dibuat di blogspot ini apabila ada kelapangan dan cukup hilang penat. Rasanya tajuk "Misi 2 serampang" agak sesuai kerana perjalanan dibuat untuk membawa Johan ke makam Sultan Malikus Saleh dan acara HIKMAH ke Aceh.

Oh... perjalanan ini terlebih istimewa kerana turut disertai ibu dan ayah saya. Apabila mendapat tahu saya mahu ke Aceh lagi (ini adalah kali ke-6 saya ke sana, kali ke-5 bersama isteri), mereka menyatakan hasrat mahu turut serta. Perkara ini diulangi lagi sekitar 2 bulan lalu. Saya pun menempah tiket untuk mereka. Sungguh berkat perjalanan kali ini kerana pertalian darah saya dengan Aceh juga dengan Sultan Malikus Saleh itu adalah melalui ayah. Dan ada kemungkinan ibu turut memiliki titisan darah ini, melalui satu cabang yang berkembang di Tanah Bugis...
.